Jumaat, 21 Jun 2024

KEMBARA HOUSEBOAT KENYIR SEBELUM RAYA HAJI




Tasik Kenyir adalah merupakan sebuah tasik buatan dengan keluasan 38,000 hektar. Terletak di daerah Hulu Terengganu bersempadan dengan Negeri Kelantan di sebelah barat dan Negeri Pahang di sebelah selatan. Pembinaan Empangan Jenagor yang siap pada tahun 1986 menyebabkan wujudnya Tasik Kenyir yang menenggelami beberapa batang sungai yang sedia ada, bukit-bukit serta tanah tinggi juga turut tenggelam, namun puncak-puncak yang melebihi 138 meter tingginya telah muncul sebagai pulau-pulau yang menghiasi perairan Tasik Kenyir. Kesannya lahir lah 340 buah pulau kecil dan besar. Kemuncak tertinggi di sekitar Tasik Kenyir ialah Gunung Gagau yang tingginya pada kedudukan 1,376 meter. Kedudukannya juga istimewa kerana ia bersempadankan 3 buah negeri iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan.


Tasik Kenyir turut mempunyai sebuah perkampungan orang asli kaum Senoi dari rumpun bangsa Semoq Beri yang terdiri daripada 20 keluarga, terletak di Sungai Berua iaitu kira-kira 32 km daripada Pengkalan Gawi dan 9 km dari Sungai Como. Air Terjun Lasir merupakan sebutan ramai dek kehebatan airnya yang terjun dari kira-kira 500 kaki dan membentuk kolam di setiap tingkatnya. Di samping itu, Air Terjun Saok, Air Terjun Tembat, Air Terjun Leban Terengganu dan Air Terjun Petuang adalah beberapa nama yang cukup sinonim dengan kedamaian di Tasik Kenyir.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan