Pemergian Abi Suffian bin Mohamad Azim atau Abichimaera atau
Ras al-Ghul atau Nayyir al-Fakka pada 23 Jun 2024 begitu mengejutkan aku, begitu juga
rakan-rakan yang lain. Sifat beliau yang budiman, pemalu dan unik membuatkan dia disenangi ramai. Hanya kenangan dan doa yang baik-baik meniti di
bibir kami semua apabila mendapat berita sedih tersebut.
Aku secara peribadi mengenali beliau begitu lama sekali, kalaulah benar ingatan aku ini kali pertama aku mengenali beliau ketika dia menulis surat sewaktu AU REVOIR menerbitkan “Su’ul Khatimah” pada tahun 2010 atau mungkin juga lebih awal lagi. Ya, beliau asalnya seorang penpal yang rajin menulis bertanyakan khabar berita hinggakan saban bulan aku tertunggu-tunggu utusan Ras al-Ghul dari Kuala Lipis itu. Dia meminati dan menyokong apa sahaja yang aku buat, tak kiralah menyunting zine, menulis lirik, mengubah lagu dan melukis, pasti dia akan membeli dan menyokong kesemuanya. Malah buku resipi masakan yang aku sunting pun dia terlibat menyumbangkan resipi Ungkep Daging Waras Kabare. Dia sebagai pengemar anime, sering juga mencadangkan kepada aku komik dan filem-filem anime yang pelik dan seram agar penulisan dan lukisan aku lebih gelap dan gila. Kemudian kami mula berutusan melalui WhattApp dan Facebook, beliau semakin rancak berkongsi cerita dengan aku apabila beliau berjaya merakamkan demo sulung “Taste my Blade” bersama kumpulan thrash metal yang diterajuinya iaitu HIDING FEAR. Kami berbual tentang segala-galanya sehinggalah aku merasakan dialah peminat no.1 aku ketika itu. Citarasanya unik, dia lebih gemar kumpulan old school death dan doom death yang tepu prinsip UG-nya dan kurang terkenal seperti DECEASED, OPPROBRIUM, AUTOPSY, ASPHYX, GREY SKIES FALLEN, MODAR, dan seangkatannya.
Kami bertemu beberapa kali, dia pasti menyokong dalam apa
jua projek yang aku bangunkan termasuklah WRECKÄR. Ketika kami diundang ke
Raub oleh arwah Fendi aka Jorn untuk gig Bertukang Malam-Malam pada tahun 2014, dia
tak jemu-jemu melayan karenah kami, dan bersama kami setiap saat. Kami pergi
mandi air terjun Chamang bersama kawan-kawan dari kumpulan ATOMIC DEATH,
HEREAFTER lepas gig itu. Kenangan manis juga kerana dapat makan nangka madu beramai-ramai pada hari itu.
Kemudian ketika kami diundang ke Johor oleh Eddie TFHM untuk
2 siri gig, di Stopzone dan The Wall pada tahun 2012, dia juga antara rakan
yang setia melayan karenah kami dan merakamkan kenangan manis yang kami
sentiasa bualkan hingga hari ini.
Antara yang bagus tentangnya lagi, dia tidak pernah expose
hal rumah tangganya di media sosial dan kekalkan ruang itu sebagai platform
aktiviti muzikal dan persahabatannya sahaja.
Apabila aku mula meminimalkan aktiviti muzik dan mula giat
dalam kegiatan dakwah, aku dapat merasakan hubungan kami mula merenggang, entah
bagaimana Abi memilih untuk bersetuju aliran agama mainstream dan gusar dengan
pendekatan salafi yang merupakan ‘cara beragama’ bagi aku. Mungkin
ustaz-ustaznya menasihatinya agar tidak terpengaruh dengan puak yang pentingkan
nas dan dalil seperti aku. Sejak itu dia pun tidak berminat dengan aktiviti
aku lagi. Tetapi aku OK sahaja, dan tetap berinteraksi dan menyapa beliau
setiap kali cicipan menarik tentang beliau melintas di dinding media sosial aku. Bagi
aku, dia selamanya rakan baikku. Aku sentiasa mendoakan segala kebaikan buat Abi
Suffian dan keluarganya.
Itulah sahaja yang dapat aku kongsikan tentang sahabatku
ini. Innalillahi waina ilayhi roji’un.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan