"Apabila melihat seorang wanita yang berpakaian lagaknya tidak Islamik, jangan sedetik pun menganggap dirinya rendah dari kamu. Andainya kamu fikir begitu, kamulah yang lebih rendah darinya. Percayalah, itu panduan yang diajar agama mu. Si dia mungkin mempunyai hubungan erat dengan Tuhannya yang kau tidak tahu. Jiwanya mungkin begitu mulia berbanding kamu. Si dia mungkin ada 1 kelemahan yang diperlihatkan. Entah kamu ada 50 kelemahan yang terlindung..." - Mufti Ismail Menk
Apabila aku menterjemahkan kata-kata Mufti Ismail Menk di atas dan kongsikan di media sosial, terdapat bermacam-macam penafsiran rakan-rakan yang membacanya, kebanyakan orang akan mengatakan “ ha! Ni untuk yang suka menghukum orang macam dia tu Tuhan!”, si wanita yang sudah biasa berpakaian seksi akan mengatakan “Kami seksi tak semestinya jahat OK!”, rata-rata muslimah pula akan memprotes “Kalau camtu takyah tutup tutup ni semua!”, yang jenis cemburu pula akan mengatakan “ Abang duk share ni sebab suka tengok pompuan seksi-lah tu!”…
Malah kata-kata Mufti Menk ini turut diucapkan semula oleh Sultan Johor dalam membidas kritikan seorang menteri dan rakyat terhadap pakaian seorang gimnas yang terlalu seksi sewaktu mengondol pingat emas di Sukan S.E.A Tahun 2015.
Ada kawan-kawan rocker mengingatkan sisipan video seorang lelaki Indonesia berambut dreadlock mengimamkan solat dengan bacaan yang merdu, “jangan pandai menghukum luaran sahaja!” kata mereka.
Tahukah anda, kata-kata Mufti Menk ini sebenarnya ialah sebahagian dari saranan untuk tazkiatun nafs? Tazkiatun nafs bermaksud “penyucian jiwa” kerana jiwa akan kotor malah akan rosak jika tidak dibersihkan. Ini kerana iman terhasil dari gabungan dua elemen iaitu hati nurani dan badan. Dua elemen ini merangkumi setiap amalan jiwa (hati) dan amalan badan (jasmani).
Bagi yang mengenali aku, mereka mungkin melihat aku sebagai pembenci aliran tasawwuf dan tarikat. Ini salah faham, bahkan suatu ketika dahulu aku sangat dipengaruhi dengan aliran kesufian (buktinya boleh dibaca dalam lirik-lirik demo Ahmad Ra1m1 “Elektro Qalbu Pendosa” 2014) aku tidak menolak konsep tasawwuf 100%, cuma apabila aliran atau ajaran sesuatu tarikat itu sudah mirip kerahiban atau kesamian dan larut dalam ilmu falsafah, pasti aku akan tolak. Mereka sudah tersesat! Seharusnya aliran-aliran tasawwuf ini merincikan proses-proses penyucian jiwa di dalam kerangka wahyu dan as-sunnah bukan bercampur aduk dengan elemen-elemen agama lain dan dalil akal yang tidak sihat.
Kesucian hati atau jiwa sangat dititik beratkan dalam Islam kerana iltizam atau niat sesuatu perbuatan itu asalnya terbentuk di hati nurani, sabda Nabi salallahu alaihi wasallam “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang akan mengikut apa yang diniatkan.” [Hadis riwayat Muslim # 1907].
Menurut Ibn Qayyim az-Jawziyyah r.a “Amalan hati adalah pokok sedangkan amalan badan itu ialah pelaksana yang menyempurnakannya. Sesungguhnya niat itu umpama roh sedangkan amalan itu laksana jasad. Apabila roh meninggalkan badan, maka ia akan mati. Maka, mempelajari hukum-hukum hati lebih penting daripada mempelajari hukum-hukum badan.” (Badaai’ul Fawaa-id hlm. 511).
Maksudnya Ibn Qayyim ialah dalam konsep iman, kedua-dua bahagian iaitu jiwa dan jasmani itu sama pentingnya, namun amalan hati mendahului dan melebihi amalan badan.
Seorang yang telah membersihkan kotoran dan penyakit pada jiwanya tidak akan terkesan dengan keserabutan yang menimpanya, segala yang berat menjadi ringan. Manakala seorang yang kotor jiwanya diberatkan dengan dunia bahkan dengan benda isu-isu remeh. NGO dan selebriti bertelagah pun dia jadi gelisah, marah, mahu turut masuk campur walaupun tidak tahu hujung pangkal? Padahal itu semua kerja-kerja kebajikan arus perdana yang digarap sebagai hiburan berbayar alaf baharu. Namun dia di rumah gundah gulana. Dia merasakan dirinya bagai mempunyai authoriti untuk menyiasat dan mengubal segala-galanya melalui Facebook.
Jadi bagaimana kita sepatutnya perlu berinteraksi dengan kata-kata Mufti Menk di atas?
Pertama, kita perlu tahu dalam kajian fiqh sesuatu perbuatan itu dinilai secara zahir, apa yang terkandung di dalam hati hanya Allah yang mengetahui. Nabi salallahu alaihi wasallam sangat marah apabila mengetahui seorang sahabat telah membunuh musuh yang mengucapkan kalimah syahadah ketika lehernya hampir ditebas sewaktu perang, dia tetap dibunuh oleh sahabat tersebut yang menganggap itu hanya muslihat musuh. Sabda nabi “Adakah kamu telah merobek hatinya sehingga kamu tahu apa yang dikatakan atau tidak?”. (Riwayat Muslim #158).
Rujuk juga kisah Abdullah atau digelar "himar" merupakan seorang sahabat nabi yang sering membuat nabi tertawa dan gemar meminum arak, dia sering tertangkap membuat banyak perkara-perkara honaq (nakal) yang lain, malah dia disebat oleh Nabi sendiri ketika tertangkap sedang minum arak, namun apabila orang mencaci maki Abdullah, nabi melarang dan mengatakan walaupun begitu sifatnya dia tetap mencintai Allah dan RasulNya (Riwayat al-Bukhari). Oleh itu perlu difahami, tidak redha dan geram dengan perbuatan tidak bersolat, berjudi, mencuri, tidak menutup aurat dan sebagainya yang diharamkan Islam itu benar sifatnya. Ini kerana setiap yang halal dan setiap yang haram sudah dinyatakan Quran dan hadis nabi namun penilaian kita terbatas setakat perbuatan itu sahaja. Tak boleh kita misalnya apabila tertengok pemuda memakai t-shirt kumpulan rock dan berambut panjang mengatakan “Baju hodoh, rupa macam hantu, confirm sembahyang pun tak pernah dia ni!”. Bukti jiwa kita tak tenang…
Kedua, buat mereka yang tidak menutup aurat, sepatutnya dia merenung jauh ke dalam diri. Bukannya bertindak juah pula seolah-olah kebaikan atau pahalanya sudah cukup besar hingga dia abaikan larangan Allah dan Nabi agar tidak mendedahkan aurat. Watak orang yang insaf akan melihat dirinya sebagai pendosa dan sentiasa ingin bertaubat dan memperbaiki kesilapannya. Bahkan dosa-dosa kecil jika dilakukan berulang setiap hari, diremehkan dan dipamerkan, akan berubah menjadi dosa besar.
Anas bin Malik berkata – “Sesungguhnya kalian mengerjakan amalan (dosa) di hadapan mata kalian itu tipis seperti rambut, namun kami (para sahabat) yang hidup di masa Nabi Salallahu alaihi wasallam menganggap dosa semacam itu seperti dosa besar.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, no. 6492).
Nabi salallahu alaihi wasallam bersabda “Barangsiapa yang berasa gembira dengan kebaikannya dan merasa sedih dengan keburukannya maka dia adalah mukmin”. (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Jangan sesekali rasa rendah dan terbuang kerana kelemahan diri, dan jangan pula rasa diri mulia dan berada pada tingkat yang lebih tinggi daripada orang lain di sisi Tuhan maka sesiapa pun layak menegur dan menasihati dirinya. Bukankah agama ini nasihat dan teguran itu selalunya pedih untuk diterima. Bersabahlah. Orang kita sering salah faham dengan maksud teguran berhikmah, ia bukan bercakap dengan lembah gemalai dan lembik sebaliknya dakwah hikmah yang disarankan dalam Quran bermaksud berdebat dan menasihati dengan ilmu, kemahiran dan teladan.
Ketiga, Fahami konteks sebenar ucapan Mufti Menk. Adakah ucapan beliau itu untuk menghalalkan perbuatan yang Allah haramkan yakni mendedah aurat? Sudah tentu tidak. Mufti Menk berkata begitu agar kita sedar bahawa kita sendiri juga banyak aib, namun Allah menutupnya lalu kita nampak mulia menurut pandangan sendiri atau orang lain. Sepatutnya kita insaf. Ini kerana Mufti Menk juga berkata di waktu yang lain “In this age of nudity, the more you reveal the cheaper you are regarded, even if the world makes you feel you are liberated. Modest dress plays a key role in purification of the soul & deep inner contentment”. (ringkasnya, akhirnya pakaian yang sopan juga akan membersihkan jiwa dan memberi ketenangan yang sebenar). Dunggulah orang yang mengunakan ucapan Mufti Menk ini untuk berpakaian sesuka hatinya. Bukti jiwa tak tenang…
Kemudian, kita lihat kepada diri sendiri. Kata-kata itu sepatutnya memberikan kesan kepada diri sendiri, tidak sepatutnya kita acukan kepada orang lain agar memahami kita bagaikan kata-kata itu tadi suatu papan kenyataan untuk isytihar kewujudan diri. “Kalau macam ini aku pun nak keluar pakai skirt pendek, seksi bukan tak solat OK!” kata-kata macam ini tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang muslimah yang beriman, kenapa dia boleh terfikir nak jadi macam itu?. Berbalik kepada prinsip yang pertama tadi, orang akan menilai sesuatu dari zahirnya sahaja. Di sinilah bermulanya proses tazkiatun nafs apabila kita sedar nasihat itu untuk diri kita sendiri, bukan untuk orang lain. Sepatutnya dia akan rasa “Alhamdulilah, Allah beri taufik kepadaku untuk menutup auratku, dan menutup pula aibku. Aku bertaubat dari buruk sangka terhadap saudaraku”. Ini kerana sabda Nabi “Tidak beriman (sempurna iman) seseorang itu sehingga dia kasih kepada saudaranya sebagaimana dia kasih kepada dirinya sendiri.” Hadis riwayat al-Bukhari #13). Tetapi kita tak mampu melakukannya kerana kita iri hati. Kita menutup aurat dalam ketepaksaan atau kerana adat sahaja, kerana masyarakat setempat melihat wanita yang menutup aurat sebagai perempuan beradab. Ini bukti jiwa tak tenang….
Jadilah jiwa-jiwa yang tenang….
يَا أَيَّتُهَا النَّفْسُ الْمُطْمَئِنَّةُ﴿٢٧﴾ارْجِعِي إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً مَرْضِيَّةً﴿٢٨﴾فَادْخُلِي فِي عِبَادِي
Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Rabb-mu dengan hati yang redha lagi diredhai-Nya! Kemudian masuklah ke dalam (jamaah) hamba-hamba-Ku, dan masuklah ke dalam surga-Ku!
(Quran, surah al-Fajr :27-30)
- Ra1m1
satu perkongsian yang bagus, tuan
BalasPadam