Rabu, 21 Julai 2010

PEKERJAAN



“Kekadangkala aku terasa sangat terhina dan bosan dengan kerja yang aku lakukan. Seringkali pula aku rasa kagum dengan ketentuan dan rezeki yang telah dikurniai Nya”.

- Raimi, 21 Julai 2010

Isnin, 19 Julai 2010

KEDAMAIAN TERENGGANU

Sepanjang minggu ini aku berada di Terengganu atas urusan kerja, namun kali ini agak istimewa kerana aku dan rakan setugas Ridzuan, ditempatkan di Sumai Apartment Hotel yang beroperasi belum mencecah 2 tahun. Aku difahamkan ini adalah hotel berkonsep apartment pertama di Malaysia. Ternyata kami mendapat keselesaan sepenuhnya serta berbaloi dengan nilai.

Kami sampai di Kuala Terengganu pada jam 6.00 pagi dan terus berjalan mencari menara masjid untuk solat dan tidur disitu sementara hari siang. Apabila terjaga sahaja pada jam 11.00 pagi, kami difahamkan oleh kariah masjid berkenaan bahawa Sumai Hotel terletak bersebelahan dengan masjid berkenaan yang aku sudah terlupa namanya.


Sumai Hotel terletak bersebelahan Prima Beach Hotel dan menganjur ke pesisiran pantai Batu Burok yang ombaknya seolah-olah mengamit kehadiran kami. Jadi setiap petang setelah selesai urusan kerja, aku akan berjogging di persisiran pantai Batu Buruk. Turut aku heret bersama Ridzuan yang pastinya terpaksa mengikut aku jika tidak pasti dia buntu di dalam bilik sementara menunggu waktu makan malam.

Sepanjang 4 hari di Sumai, boleh dikatakan setiap hari kami akan berjogging 4-5km di pesisiran pantai tanpa mengira hujan lebat atau panas terik. Pada sebelah malamnya pula kami akan berjalan kaki pula hampir 4-5km untuk menikmati kopi atau makan di Killiney Kopitiam yang terletak di bersebelahan Euro Fun Fair. Pada hari terakhir, aku temani Ridzuan membeli keropok ikan di Pasar Payang yang terletak 2 km dari Killiney Kopitiam. Terima kasih kepada Amy yang sudi datang menghabiskan masa bersama di Killiney. Sebagai info tambahan Killiney Kopitiam wujud sejak 1919, sebuah kopitiam Hainan yang terkenal dengan charcoal-grilled bread toast dan berasal dari Killiney Road, Singapura.







Rabu, 7 Julai 2010

MUHAMMAD DAN HERCULES


 
Antara kaedah dakwah Rasulullah SAW adalah melalui surat yang diutuskan kepada raja-raja dan juga ketua-ketua kabilah. Surat-surat dakwah itu meskipun ditujukan kepada raja dan ketua kabilah, tidak bererti ia hanya untuk individu berkenaan sahaja. Apabila ianya diutuskan kepada raja, bermakna sasarannya juga termasuk rakyatnya. Apabila seorang raja menerima kebaikan, maka ia akan menganjurkan kebaikan kepada rakyatnya. Itulah matlamat akhir dakwah Rasulullah, seruan tauhid kepada manusia seluruhnya.

Antara pemerintah yang menerima surat baginda adalah Kisra, Raja Parsi, Kaisar (Ceasar) Raja Rom, Najasyi Raja Habshah, dan banyak lagi.

Hercules atau dikenali sebagai Herokla turut menerima surat dakwah baginda sewaktu beliau menjadi raja Rom. Rasulullah melantik Dehyah al-Qalbi untuk menyampaikan surat ini kepada pemerintah Rom tersebut. Hercules yang mendakwa dirinya penganut agama samawi yang diwahyukan kepada Nabi Isa atau dikenali sebagai Jesus Christ tidak dapat menerima baginda sebagai pelengkap kepada syariat para rasul terdahulu dan sebagai nabi akhir zaman. Sebagaimana yang termaktub didalam Injil yang asal, hingga sebahagian besar pendita Yahudi dan paderi Nasrani mengenali Muhammad atau Ahmad lebih daripada mereka mengenali anak mereka sendiri.

Protokol berdakwah dan mengadakan hubungan diplomatik mengunakan surat ini disarankan oleh para sahabat baginda yang memahami protokol dan tatacara raja-raja memerintah. Maka dengan ini, baginda mempunyai sebentuk cincin sebagai cop mohor. Cincin ini diperbuat daripada perak dan diukir padanya perkataan Muhammad Rasulullah. Sebagai ketua kerajaan, pengunaan cop mohor rasmi dalam urusan surat menyurat adalah suatu kemestian. Kerajaan-kerajaan lain tidak akan menerima sebarang surat yang tidak mempunyai cop rasmi. Dan kesediaan Rasulullah menerima cadangan ini tidak berlandaskan wahyu, membawa maksud bahawa Islam membuka ruang kepada penganutnya menerima sebarang buah fikiran yang membawa kebaikan dan tidak bercanggah dengan asas Islam.

Antara kandungan surat Rasulullah SAW kepada Hercules berbunyi:

Dengan nama Allah yang pengasih lagi penyanyang. Salam sejahtera terhadap mereka yang mengikut petunjuk Allah. Aku menyeru Tuanku Herokla supaya menerima Islam, kerana dengan memeluk Islam nescaya tuan akan selamat. Sekiranya tuan menerima Islam, maka aku berdoa kepada Allah SWT supaya memberikan ganjaran pahala kepada tuan dua kali ganda. Katakanlah, ‘ Hai Ahli Kitab, marilah kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah melainkan Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain sebagai Tuhan selain Allah...”

Demikian antara kandungan surat Rasulullah SAW yang disertakan bersama petikan ayat suci al-Quran daripada surah Ali Imran ayat 64. Surat itu dibacakan oleh wazir kerajaan Rom dihadapan Hercules, keadaan menjadi gempar apabila Hercules meminta pandangan rakyat jelatanya mengenai kandungan surat tersebut. Masing-masing membantah, dan menjunjung kayu salib beramai-ramai sebagai bantahan dakwah baginda. Hercules menjelaskan beliau sekadar menguji keimanan rakyat Rom dan menolak seruan baginda. Rakyat Rom seterusnya sujud dihadapan Hercules sebagai menunjukan pendirian dan pegangan kukuh terhadap agama mereka.

Baginda tidak pernah berkecil hati apabila ada dikalangan raja-raja yang menolak seruan dakwahnya, termasuklah Hercules. Namun peristiwa yang menguji kewibawaan Rasulullah apabila utusan baginda Haris bin Umair Azdi dibunuh oleh Syurahbi, gabenor Busyra iaitu sebuah negeri jajahan Rom di pinggir laut Mediterranean.

Ia mendorong baginda mengistiharkan perang terhadap keangkuhan pemerintah Busyra. Seramai 3000 pejuang telah tampil menyahut seruan jihad ini. Peperangan ini tetap disebut oleh penulis sirah Islam sebagai Guzwah Muktah walaupun tentera muslimin tidak dipimpin oleh Rasulullah SAW sendiri sebagai panglima. Ini kerana ai adalah peperangan yang besar semasa hayat baginda dan dikirim untuk menentang ratusan ribu tentera musuh.

Perang ini berlaku di wilayah Muktah (kini dikenali sebagai Kark) menyaksikan 100 000 orang tentera dikerahkan oleh Syurahbi dan 100 000 orang tentera lagi dikerahkan oleh Hercules sebaik sahaja mengetahui pergerakan tentera muslimin. Menjadikan jumlah semuanya 200 000 orang tentera kuffar sedang mara ke Muktah.

Peperangan yang dasyat ini menyaksikan 3 orang panglima perang yang dilantik oleh Rasulullah SAW sendiri sebelum berangkat pergi gugur syahid, iaitu Zaid bin Harisah, Saidina Jaafar, dan Abdullah bin Rawahah.

Antara peristiwa yang mengkagumkan berlaku disini, Saidini Jaafar melompat turun dari kuda dan memotong kaki kudanya sendiri kerana bimbang akan melarikan diri dari musuh yang mengasaknya begitu hebat sambil melaungkan syair;

"Alangkah gembiranya hati ini apabila terkenang pada taman syurga. Alangkah indahnya apabila diri ini semakin hampir taman yang indah itu. Taman yang amat selesa untuk dihuni, dengan kejernihan air yang menyegarkan apabila diminumnya. Dan bangsa Rom, biarkan dengan keangkuhan Rom nya. Hampir benar azab menimpa kaum yang durjana itu. Manusia kafir yang keturunannya adalah generasi zina. Menjadi kewajipan ke atasku untuk membunuhnya”.

Saidina Jaafar rebah dengan 50 liang tikaman dibadannya. Manakala kata-kata Abdullah bin Rawahah turut membangkitkan semangat juang tentera muslimin;

Sesungguhnya kita berperang dengan musuh selama ini, bukan kerana jumlah tentera kita lebih ramai daripada tentera musuh. Bukan juga kerana senjata perang kita lebih sempurna, ataupun kerana bekalan makan minum kita lebih banyak. Sebaliknya kita berperang semata-mata kerana agama Allah SWT. Oleh itu, marilah kita terus mara ke hadapan. Kerana di hadapan kita, Allah telah sediakan satu daripada dua pilihan yang terbaik, iaitu sama ada kita mencapai kemenangan menewaskan musuh ataupun mati syahid.

Khalid bin Walid dilantik menjadi panglima perang selepas ketiga-tiga panglima yang dilantik Rasulullah SAW sendiri gugur syahid. Khalid yang bijak didalam strategi dan muslihat peperangan telah memecahkan tentera muslimin kepada 3 bahagian, mengundurkan dan mengarahkan tentera muslimin datang semula dari pelbagai arah. Suasana luar biasa itu telah menyebabkan Hercules dan Syurahbi merasakan tentera muslimin mendapat bantuan yang lebih besar jumlahnya dari mereka dan mengambil keputusan meninggalkan medan perang. Kejayaan Khalid dalam strateginya adalah untuk menimbulkan rasa gusar dan gerun kepada kaum kuffar yang sememangnya takut mati. Pada masa yang sama bantuan dari Allah yang mendatangkan rasa gerun dan takut kepada tentera kuffar walaupun jumlah mereka yang lebih besar.

Di Madinah, Rasulullah SAW telah menerima perkhabaran kematian 3 panglima angkatan tentera muslimin. Diriwatkan oleh Imam Bukhari daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW amat bersedih dan menitiskan air mata di khalayak ramai. Berita itu baginda umumkan dengan linangan air mata kepada orang ramai, sabdanya;

Bendera perang Muktah dijulang oleh Zaid bin Harisah, panglima perang yang pertama, dia gugur syahid akibat tikaman senjata musuh. Bendera perang dikibarkan pula oleh panglima perang yang kedua, iaitu Saidina Jaafar bin Abu Talib, dia juga gugur syahid. Seterusnya bendera perang dijulang oleh Abdullah bin Rawahah, dia turut gugur syahid di medan Muktah. Akhirnya bendera perang itu dijulang oleh Pedang Allah (Saifullah) sehingga Allah SWT memberi kemenangan kepada angkatan muslimin.

Rasulullah SAW menyebut Pedang Allah, Saifullah, gelaran yang diberikannya kepada Khalid bin Walid.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...