Isnin, 11 Oktober 2010

OUR LADY OF FATIMA


Lihat foto di atas. Foto ini saya ambil sewaktu menghantar 2 orang anak buah ( boleh panggil anak buah ka? Sebab saya umur baru 30-an manakala anak buah masing-masing 70-an?) untuk mengikuti kelas bimbingan bagi mualaf di PERKIM, Perlis. Jika itu anda rasa ironik, tunggu dulu! Kelas ini terletak sebelah menyebelah antara gereja Our Lady of Fatima. Dan anak buah saya seorang adalah bekas penganut Kristian Katolik dan seorang lagi penganut Protestant. Sungguh ironik sekali!

Jika anda tahu bagaimana penganut Katolik dan Protestant berbalah hujah, anda pasti tahu bagaimana kesabaran dan ilmu pengetahuan sangat perlu apabila anda berada ditengah-tengah situasi tersebut. Dan bagaimana pula anda perlu bijaksana dalam memahami keperluan rohani mereka keduanya.

Bagaimanapun, setiap yang berlaku adalah kehendak Nya. Disini saya ingin memberi sedikit maklumat, kepada yang sering salah faham terhadap Kristian apatah lagi media-media di Malaysia seringkali melaporkan dan sering memfitnah mereka. 

Pernah anda tertanya-tanya kepada diri anda, apakah maksud Church of Our Lady of Fatima? Adakah ia ada kaitan dengan puteri Rasullulah s.a.w, Fatimah az-Zahra binti Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim?

Mari kita lihat dahulu siapakah Fatimah az-Zahra ( bukan Siti Fatimah ya?!.. Siti Khatijah, Siti Aminah, nama Siti itu nama tambahan dari nusantara ini, Siti sebenarnya membawa erti ‘orang tua’). Jadi jika anak anda baru lahir dinamakan Siti Nur misalnya, ertinya adalah orang tua cahaya lah. Hehe. Oleh itu sila ambil perhatian nama asal tokoh-tokoh Islam dan nama timbangan mereka. 

Fatimah dilahirkan pada hari Jumaat 20 Jamadil Akhir yaitu tahun kelima sebelum Nabi s.a.w. menjadi Rasul. Fatimah Az Zahra puteri kesayangan Nabi s.a.w. mendapat gelaran Athahirah (wanita suci) al-Mubarakah (yang diberikahi Allah) dan yang paling sering disebutkan adalah Fatimah Az-zahra (bunga yang mekar semerbak). Dia juga digelari Al-Batuul, iaitu yang memusatkan perhatiannya pada ibadah atau tiada bandingnya dalam hal keutamaan, ilmu, akhlak, adab, hasab dan nasab. Fatimah az-Zahra menyaksikan sendiri betapa halangan dan rintangan yang telah dihadapi ayahandanya dalam memperjuangkan Islam. Pernah ketika Nabi s.a.w. dihina, dimaki hamun, malah diletakkan najis binatang ketika Nabi s.a.w. sedang sujud, menyembah Allah s.w.t., dengan tangisan kesedihan Fatimah Az-Zahra membersihkan tubuh Nabi s.a.w. dari kotoran yang taburkan oleh kaum Quraisy.

Siapa pula Fatima yang dimaksudkan oleh pihak gereja?

Fátima atau Fatima adalah nama sebuah pekan di Portugal yang menjadi terkenal setelah terjadi kejadian aneh pada tahun 1917. Fatima terletak kira-kira 123 kilometer dari bandaraya Lisbon. Our Lady of Fátima (dalam Bahasa Portugis: Nossa Senhora de Fátima) adalah gelaran kepada Virgin Mary ( Mariam, ibu kepada Yeshua atau Isa atau Jesus ) yang dikatakan menjelma di pekan Fatima dan disaksikan oleh 3 orang kanak-kanak iaitu Lúcia Santos, Jacinta dan Francisco Marto. Terdapat juga pihak yang memberi gelaran Our Lady of the Rosary of Fátima kepada wanita suci tersebut. Bagi pihak Kristian Katolik mereka secara rasmi menetapkan penjelmaan itu sebagai kejadian sebenar dan wajib untuk dipercayai.

Harapnya kedua-dua perkara ini telah jelas dan usah gusar membuta tuli.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan