Jumaat, 19 Ogos 2011

NOCTURNAL SLAVES MAGAZINE (ISSUE NO. 1, 1994)


Malam ini tiba tiba terasa hendak mengemas sebuah kotak lama yang tersorok atas di atas sebuah almari dalam studio. Rupanya kotak itu sarat mengandungi zine-zine purba yang terselamat dari banjir besar di Perlis beberapa tahun yang lalu. Apabila terpandang sebuah zine yang unik ini, terpanggil pula rasa untuk mengulasnya memandangkan zine ini adalah khazanah muzik lasak tanahair. Bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk membacanya, Nocturnal Slaves adalah majalah rasmi Black/Death metal yang pertama di Malaysia yang dicetak mengunakan kaedah off-set atau cetakan toner power (tidak pasti, ia macam majalah sekolah rendah dahulu) dalam hitam dan putih. Jelas menunjukkan si editornya mengetengahkan produksi professional sejak dari dahulu lagi. Antara nilai sentimental dalam majalah ini, ia disunting dengan huruf BIOS dari era IBM DOS. Anda kenal siapa editor Nocturnal Slaves magazine ini?


Kepada pembaca-pembaca majalah Karisma sudah tentu anda mengenali penulis yang banyak sekali membuat liputan muzik berat dan temubual bersama kumpulan-kumpulan underground bernama Xul Metal Storm. Xul Metal Storm atau Zulhisham adalah editor kepada majalah Nocturnal Slaves ini yang bantu oleh rakan baiknya Intheran Krishnasamy. Intheran turut aktif menyumbangkan ulasan-ulasan muzik keras di dalam majalah Karisma. Sebelum itu, Zulhisham telah menyunting sebuah majalah muzik ektrim secara professional yang bernama Metal Storm. Majalah ini merupakan kesinambungan kepada Nocturnal Slaves yang dikomersialkan (boleh dibeli di semua kedai buku) dan dipersembahkan di dalam Bahasa Melayu. Tanpa menghiraukan tanggapan umum dan isu negatif black metal yang semakin hangat ketika itu, Zulhisham tetap memuatkan kandungan yang bahaya dan berat membuatkan majalah itu terhenti pada isu ke-2 sahaja. Ia adalah kehilangan besar pada masa itu kerana Metal Storm adalah sebuah harapan baru bagi media muzik berat yang semakin ketandusan. Selang beberapa ketika Zulhisham kembali menyunting sebuah majalah muzik bernama Gua Punya Info yang diolah lebih ringan dan agak santai. Namun, atas beberapa permasalahan Gua Punya Info turut berkubur selepas mengeluarkan satu isu.

Kembali kepada Nocturnal Slaves, majalah ini menampilkan hampir semua isi kandungan beritipatikan black dan death metal. Zulhisham turut dibantu oleh Abaaner Incendium dari Key Of Alocer magazine dan Hades dari kumpulan Twilight. Jika anda perhatikan gaya penulisan dan ekplorasi yang dilakukan oleh Zulhisam di dalam Nocturnal Slaves tidak berubah seperti mana apa yang anda dapat lihat dalam majalah-majalah beliau selepas itu. Ulasan yang diberikan padat dan seringkali diletakkan fakta sejarah. Citarasa muzikal Zulhisham turut sama sejak dari dahulu lagi.

 

Menariknya, isu pertama Nocturnal Slaves ini dijadikan sebagai tribute kepada Euronymous, gitaris MAYHEM dan pelopor atau raja black metal Norway. Sebuah biografi yang sarat merangkumi kewujudan Mayhem, dan kumpulan yang bernaung disekelilingnya seperti Abruptum, Morbid, Old Funeral kini Burzum, Amputation kini Immortal, Darkthrone, Emperor dan Enslaved. Mayhem dan Aradia (Malaysia) turut dijadikan sebagai poster esklusif di dalamnya. Saya tampalkan poster itu di pintu bilik dahulu dan telah koyakkan kini kerana sudah tidak meminati muzik dari Mayhem. Antara temubual yang menarik di dalam Nocturnal Slaves ini adalah bersama Impiety ( masih mengunakan logo berdarah ketika itu), Darkthrone, Anubi ( foto wajah cantik walaupun pakai corpse paint dan minum tuak di chalet tengah rimba), Abigail, dan Misanthrope. Diselitkan juga ulasan album serta artikel-artikel unik mengenai bunuh diri dan sebagainya. 

Zulhisham juga pada ketika itu mewujudkan sebuah distro ( distro UG pertama di Malaysia ) bernama Kaprikornus Distribution yang berfungsi untuk mengedarkan demo-demo, kaset dan t-shirt kumpulan metal antarabangsa di Malaysia. Kaprikornus Distro sempat bertahan selama beberapa tahun dan berjaya mengeluarkan beberapa list barangan untuk dijual sebelum terus berkubur.

Mengimbas kembali ketika zaman mengutus surat kepada Zulhisham di era Nocturnal Slaves dan memesan barangan menerusi Kaprikornus miliknya. Saya sering membayangkan Zulhisham mungkin seperti kebanyakan editor zine underground pembengis yang akhirnya menjadi pemuzik seperti Varg Vikerness, atau yang gila seperti Metallion, David Horn, Nuno Santos dan sebagainya. Sehinggalah akhirnya kami bertemu pada sekitar tahun 2003 ketika BLACKFIRE sedang dalam proses merakamkan album sulung, kami sering bertemu untuk makan tengahari dan berbual-bual. Zulhisham adalah adalah seorang yang kacak, berbudi bahasa dan lucu. Bidang kewawartawanan adalah darah dagingnya.

Zulhisham adalah salah seorang penulis yang mampu meriwayatkan sejarah pekembangan muzik berat di Malaysia sejujurnya dan kekal tepu berpendirian bawah tanah sehingga kini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan