Ahad, 21 Ogos 2011

THINK SMART ACT BLUR ZINE, ISSUE # 3 1998




Semua undergrounders seantaro dunia tahu pada lewat 90-an Malaysia adalah negara Asia Tenggara yang paling produktif menerbitkan zine-zine yang unik dari berbagai cabang muzik underground. Kebanyakan editor pada dekad itu rata-rata remaja berusia belasan tahun dan memberi sepenuh jiwa raga dalam menghasilkan sesuatu yang mereka minati walaupun dalam serba kekurangan ( budget, peralatan, sumber, sokongan serta kerjasama rakan & keluarga). Walaubagaimanapun, itulah yang harus dilalui oleh editor zine atau kumpulan muzik underground secara am-nya.

Think Smart Act Blur adalah sebuah komik zine yang disunting oleh Naan dan Zack yang turut memuatkan beberapa kandungan lain bersifat indie. Sesuatu yang menarik mengenai penghasilan zine, anda tidak perlu hiraukan censorship, apa bahan yang anda hendak letak, reka letak, atau apa sahaja, asalkan ia bertepatan dengan kehendak hati anda sendiri. Orang suka baca anda dapat ramai pembaca, orang tidak suka, anda ubah sikit resepi. Namun, kepuasan anda hanya bersifat peribadi. Tiada keuntungan disini. Jadi antara bahan bacaan unik disini banyak berkisar tentang luahan rasa ( maklumlah zaman persekolahan, banyak fikir pasal perhatian umum, poser, trendy, girlfriends), salinan surat penyesalan kepada awek kerana berfoya-foya dengan gadis lain oleh salah seorang editornya turut dimuatkan disini ( lawak + pilu, hehehe!) dan puisi dari rakan-rakan wanita mereka.

 
Muzik surf dijadikan tema untuk isu ke-3 ini jadi sumber-sumber yang dicedok dari internet bulat-bulat dimuatkan disini antaranya sejarah muzik surf, biografi Dick Dale dan kamus surfing. Muzik surf ini bagi yang tidak mengetahuinya adalah muzik vintage, pada asalnya dimainkan secara mentah, tiada lirik, ketukan drum yang ringkas dan gitar dimainkan dengan skala rock & roll dengan kesan reverb sahaja. Begitu juga bass gitar. Pada asasnya, ia bertemakan ombak, pantai, luncur air dan bikini. Tetapi evolusi kini telah berlaku, muzik surf turut dimainkan dengan penambahan bermacam-macam alat muzik lagi, berbagai-bagai kesan bunyi, dan lirik yang berkisar tentang berbagai-bagai topik.




Terdapat dua komik yang dimuatkan disini, yang pertama USIOP ( Underground Scene In Other Planet ) yang boleh dikatakan agak tulen dari segi idea dan lukisan nya. Bersifat sarkastik, menceritakan beberapa orang remaja aktivis muzik underground yang mempunyai masalah dengan kerajaan di planet tersebut, turut diperlihatkan konspirasi kerajaan dalam kecanggihan teknologi planet tersebut. Dan sebuah siri komik lagi berjudul KONFUSE yang lebih kearah fantasi. Gaya lukisan komik ini dan humor yang diketengahkan begitu banyak dipengaruhi oleh kartunis Gayour.


Tidak diketahui samada zine ini berjaya diterbitkan sehingga kedua-dua siri komik tersebut menemui pengakhirannya? Dan tidak juga saya ketahui adakah kesudahan editor-editor zine ini menjadi kartunis tersohor?

Secara ringkasnya, Think Smart Act Blur adalah sebuah zine yang unik dan hebat, jika ditolak kandungan yang dicedok dari internet. Tiada pengenalan sidang redaksi dan alamat disertakan disini. Jadi saya terlupa dari mana asalnya zine ini (mungkin KL?) dan siapa lagi yang terlibat didalamnya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan