Selasa, 23 Ogos 2011

THY UNHOLY ABYSS, ISSUE # 3 1996


Anda semua pasti tahu mengenai zine ini atau sekurang-kurangnya pernah mendengar namanya? Thy Unholy Abyss zine sangat popular pada zamannya kerana lahir di era kebangkitan black metal Norway dan tidak salah lagi ini adalah zine black metal. Isu perbalahan antara pengikut Euronymous (guitaris Mayhem) dan Varg Vikerness (Burzum) pun masih panas. Editornya Amir Hidayat mempunyai cara tersendiri dalam membuatkan zine ini tampak matang, kemas dan mudah dihadam. Beliau mengunakan mesin taip elektronik, kertas A4 berkualiti tinggi, digital xerox dan reka letak dengan teknik gunting dan lekat. Saya sukakan reka letak yang disusun beliau, ada pegenalan, ada meja kandungan, temubual disusun mengikut tarikh diterima, dan foto-foto yang jelas tidak seperti zine lain ketika itu. Pilihan kumpulan-kumpulan adalah yang terbaik dan hampir tidak diketemui langsung kumpulan yang ‘idup segan mati tak mau’ dalam zine ini.



Seronok pulak membaca ulasan-ulasan demo dan album sulung kumpulan-kumpulan yang telah ditilik akan menjadi kuasa muzik berat dunia kini. Antara album sulung yang diulas adalah dari Gorgoroth, Moonspell, In The Woods, Opera IX, Arcturus, Orphaned Land manakala demo –demo saya sendiri teringat sentuhan mereka hingga ke hari ini yang diulas adalah EVOL “The Dark Dream Quest”, SETHERIAL “A Hail To The Faceless Angel”, NECROPSY “Blind Faith” dan ELYSIAN FIELDS. Oh! Hey, 7”EP DIMMU BORGIR “Inn I Evighetens Mørke” turut diulaskan. Mereka masih menyanyi dalam bahasa Norway ketika itu. Walaupun masih diperingkat bayi baru lahir, muzik mereka amat segar. Itulah kehebatan pemuzik Norway yang tidak boleh dinafikan.

Temubual menarik dimuatkan adalah bersama ZEPHYROUS (mana pergi band ini ya?), DARK FUNERAL, MORTUARY DRAPE, LORD BELIAL, ABIGAIL, EQUINOX dan banyak lagi. Soalan yang dikemukan adalah sama, namun cara jawapan yang diterima membuatkan kita tertarik untuk membacanya. 

Thy Unholy Abyss zine pada asalnya mempunyai 2 orang editor, seorang lagi bernama Syam yang meninggalkan Amir meneruskan zine ini seorang diri mulai isu ini. Saya turut mempunyai isu ke-2 dan ke-4 tetapi telah hilang tanpa dikesan. Thy Unholy Abyss adalah antara zine paling mempengaruhi saya untuk mewujudkan Kemenyan zine suatu ketika dahulu. Bagi saya, zine ini walaupun serba purba masih tidak dapat ditandingi oleh produk d.i.y metal kini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan