Dvd ini adalah hadiah dari Mat Kodeng ketika bermalam di Pandan Indah 2 tahun yang lalu. Selalunya Mat Kodeng akan hadiahkan aku dvd merapu B-grade yang beliau tersalah beli. Tetapi ini hebat! Bagi mereka yang sukakan filem thriller dan jenayah psiko, ini kategori ‘mesti’ tonton.
Sebuah filem dari negara kelahiran Lars Ulrich dan King Diamond, mungkin agak sukar untuk anda perolehinya di kedai-kedai DVD biasa. Suatu ketika dahulu saya ada berbual-bual mengenai filem ini bersama Svest dari kumpulan ambient/darkwave Denmark iaitu Sick Room 7, beliau sendiri terkejut bagaimana saya memperolehi dvd ini. Svest teman wanitanya pergi menonton wayang cerita ini, menurut Svest teman wanitanya kecut perut selepas menontonnya!
Jika anda berjaya mendapatkan filem ini pastikan ia mempunyai terjemahan Inggeris. Kisahnya bermula apabila Jacob (seorang jurnalis akhbar “The Times”) sekeluarga dikunjungi oleh seorang lelaki gemuk, weirdo namun berbudi bahasa bernama Anker Jensen yang menyatakan hasrat hatinya untuk melamar Julie (adik Jacob). Jacob agak sangsi dengan perhubungan mereka kerana hanya berkenalan melalui internet chatting selama 6 bulan dan tidak diketahui latarbelakangnya. Lebih merisaukan Jacob, benarkah Anker menyintai Julie yang mengalami kerosakan otak kerana cuba membunuh diri selepas dikecewakakan kekasih lamanya dengan terjun ke dalam laut ( air laut Denmark yang sejuk menyebabkan otak Julie rosak). Namun ibu meminta Jacob untuk bersabar dan menerima permintaan dan menghormati adiknya. Semoga adiknya melupakan kisah lalu dan berjaya mengharungi tekanan perasaan bersama seseorang yang menyayanginya.
Maka, perkahwinan Anker dan Julie berlangsung seperti yang dirancang. Namun pada malam majlis tersebut, ketika semua orang dibuai mimpi. Mereka dikejutkan dengan kematian Julie dibilik air kerana membunuh diri dengan mengelar tangannya. Anker Jensen menangis tak berlagu. Jacob sekeluarga benar-benar kecewa dengan apa yang berlaku.
Selang beberapa hari ketika mengemas barang-barang milik Julie, Jacob menjumpai sebuah buku milik Anker, selepas membelek-belek buku tersebut, jatuh sepotong keratan akhbar lama mengenai ucapan takziah kepada seorang wanita yang dibuat oleh Anker. Jacob melihat potongan akhbar mengenai ucapan takziah kematian adiknya yang dibuat oleh Anker. Kata-katanya sama. Ini membuatkan hati Jacob gusar dan meminta bantuan isterinya Nina (yang juga seorang jurnalis) menghubungi akhbar tersebut untuk mendapatkan alamat Anker. Anker telah menghilangkan diri sejak kematian adiknya dan menukar no telefon.
Maka berangkatlah Jacob ke rumah Anker jauh di sebuah pekan kecil yang sunyi bernama Mørke. Boleh dikatakan pekan Kodiang lebih padat dari Mørke. hehe! Polis pun hanya bertugas seorang diri dalam suatu masa dan hanya memandu Volvo 240 wagon. Hehe!. Dengan bantuan polis, jumpa jua Jacob dengan rumah Anker. Masing-masing terkejut, Anker terkejut bagaimana Jacob boleh menjejakinya, manakala Jacob terkejut bagaimana Anker boleh bertemu dengan seorang gadis baru untuk dikahwininya hanya dalam beberapa hari malah mendapat kepercayaan untuk menguruskan rumah ladang milik gadis itu. Lebih mengejutkan Jacob, gadis bernama Hanne itu turut cacat seperti adiknya.
Jacob menyewa motel di Mørke malam itu, fikirannya rungsing. Dia mengesaki adiknya telah menjadi mangsa kepada Anker. Tetapi malam itu Anker datang ke motel, memberi penjelasan dan meminta agar Jacob tidak menganggu hidupnya.
Keesokkan pagi Jacob ke rumah Hanne menyiasat, dalam masa yang sama didapati kes atau modus operandi yang dijalankan ke atas Hanne hampir sama dengan Julie. Iaitu perkenalan melalui internet. Anker pulang tiba-tiba dan membawa Jacob ke bangsal dan menyelongkar sebuah kotak lalu memberikan sepucuk surat bunuh diri yang didakwa tulisan Julie ditemui semasa kejadian malam perkahwinan itu. Jacob sebak dan terperdaya dengan surat itu. Beliau akhirnya mengambil keputusan untuk pulang.
Pada malam itu, Jacob menerima sms dari isterinya mengenai alamat Rikke (wanita yang diucapkan takziah oleh Jensen sebelum kematian Julie dalam keratan akhbar). Namun Jacob mengabaikannya dan menganggap kes ini telah selesai.
Ketika dalam perjalanan pulang, Jacob ternampak papan tanda Knabel. Pekan tempat tinggal Rikke yang tidak jauh dari situ. Selepas befikir sejenak, Jacob ke rumah Rikke. Rumah kosongnya telah usang dan telah ditinggalkan. Dari kesan-kesan tinggalan tahulah Jacob bahawa Rikke adalah seorang yang cacat. Malah sebuah foto Anker turut dijumpai. Jacob bergegas kembali ke Mørke dan menyelinap ke bangsal Anker. Dibongkarnya kotak-kotak lama Anker mendapati banyak vcd-vcd lama, slip-slip pembelian morphine, dan foto-foto lama serta keratan ucapan takziah. Jacob mencuri 2 keping vcd perkahwinan Anker. Apabila menontonnya Jacob terkejut kerana ucapan-ucapan disetiap perkahwinannya adalah sama. Ini membuatkan Jacob menantikan hari perkahwinan Anker dan Hanne untuk mencari kebenaran.
Pada malam perkahwinan Anker dan Hanne, Jacob datang buat kacau. Namun tiada apa-apa berlaku malah Hanne tidak diapa-apakan, namun keesokkan harinya Hanne menghubungi Jacob meminta untuk datang ke rumah mereka. Ketika Jacob sampai Hanne berada dalam tab mandi dan kelihatan lesu, namun Jacob tidak perasaan kelainan itu. Jacob tetap melayan Hanne berbual kerana menghormati Hanne sebagai OKU, sebab sebelum itu Hanne ada beritahu dia sukakkan Jacob dan dulu dia lebih cantik dari kakaknya. Malah Hanne sebelum itu memberitahu lelaki gemuk bukan citarasanya. Dalam perbualan itulah, Hanne beritahu dia jadi begitu bukan disebabkan kemalangan tetapi kerana ingin membunuh diri. Terkejut Jacob, malah lebih terkejut apabila dia dapati rupanya Hanne telah menghiris tangannya di dalam tab mandi.
Jacob ditahan kerana dituduh cuba membunuh, Hanne tidak mati namun berada dalam kritikal. Kesan morphine dalam darah turut dijumpai doctor membuatkan kes menjadi lebih rumit. Jacob direman. Namun tanpa disangka-sangka Anker datang ke balai polis menyerahkan surat bunuh diri yang ditulis oleh Hanne. Jacob dibebaskan. Semasa dalam perjalanan pulang, Anker mengajak Jacob ke rumahnya kononnya untuk memberi bantuan kerana kereta Jacob rosak. Padahal beliau telah rosakkan semasa Jacob kena jel.
Ketika sedang minum Mochacino itu baru Jacob perasaan, ia telah dicampur morphine. Anker berterus terang kegiatan beliau selama ini dengan mengunakan internet chatting beliau mencari mangsa-mangsa yang pernah kecewa dengan hidup dan cuba membunuh diri tetapi tidak berjaya. Pada Anker, dia menolong mereka-mereka ini menunaikan hajat yang tidak kesampaian tersebut. Beliau mengunakan campuran kopi & morphine tersebut untuk meminta mangsa mengarang surat dan membunuh diri sendiri atau dia sendiri yang mengelar tangan mangsa.
Jacob yang telah lesu, dibawa ke laut. Cadangan Anker adalah untuk terjun bersama-sama ke dalam air laut yang sejuk itu. Sebagai wira, Jacob tetap mampu bergelut dengan Anker di dalam laut sebelum Anker kaku dan membatu ke dalam dasar laut.
Mungkin pengakhiran yang agak kurang baik, tetapi dari segi emosi nya babak tersebut cuba dipadankan apabila Jacob terjaga di hospital. Membuatkan beliau terkenang perasaan kecewa yang dialami adiknya ketika cuba membunuh diri di dalam laut.
Secara keseluruhan plot-plot ceritanya adalah menarik dan penuh logikal. Lakonan watak Anker memang terselah dengan gaya tidak bersalah, gemuk ala ala comel gitu tetapi sangat jahat. Runut bunyi piano nada rendah berbaur ambient sangat bersesuaian dipadankan disetiap babak. Suasana hening di Denmark turut membuatkan filem ini sangat-sangat murung.
Bintang: 4.5/5
Bintang: 4.5/5
Tiada ulasan:
Catat Ulasan