Khamis, 8 September 2011

POPCORN MAGAZINE ISSUE # 10



Saya tidak pernah membeli sebarang komik keluaran Gempak Starz™, namun kadang-kadang mungkin setahun sekali ada terbelek-belek atau terbaca juga komik Gempak yang dibeli adik saya. Ini kerana saya kurang berminat hasil lukisan ala anime. Pada asasnya, saya memang kurang meminati jalan cerita komik anime, dan koleksi komik-komik yang saya ada seperti Ghost Rider, Nightbreed, Spiderman, semuanya untuk rujukan lukisan semata-mata. Bermakna, saya membeli komik bila lukisan itu cantik di mata saya. Itu sahaja, kalau hendak kumpul setiap isu. Itu bukan kegilaan saya.

Majalah ini dihasilkan sebagai satu media untuk memperkenalkan latarbelakang artis-artis komik melalui temubual, biografi, tips-tips lukisan, perkembangan aritis komik terutama dari Malaysia, dan siri komik pendek. Di dalam isu ini terdapat dua komik pendek iaitu 3 On a March yang dilesenkan oleh Humanoids Inc, Los Angeles dan Sweet Machine dari kartunis tersohor Malaysia, Puppeteer.


Editor Komik Popcorn, Slaium turut memaklumkan majalah komik sains fiksyen dewasa dan fantasi, HEAVY METAL ( issue summer special 2011) telah memuatkan lukisan-lukisan dari artis Malaysia seperti Puppeteer, Puyuh, Kromosom, Redcode, Eisu, Popia dan Slaium sendiri. Heavy Metal adalah sebuah majalah komik antarabangsa yang diterbitkan oleh Kevin Eastman, iaitu salah seorang pencipta Teenage Mutant Ninja Turtles.

Sekali baca majalah Popcorn ini anda sudah mengenali senario komik tanahair yang pada saya hebat. Jika tidak masakan sudah ada majalah seperti ini khas untuk publisiti artis-artis komik?! Antara paparan menarik isu ini adalah temubual bersama godfather komik pertarungan dari Hong Kong yang terkenal di zaman 80’an iaitu Li Chi Tak dan temubual bersama Cebulski yang merupakan anak emas Marvel dan orang yang bertanggungjawab mencari bakat-bakat baru serata dunia untuk menjadi artis Marvel.

Majalah ini dicetak dengan kertas dan warna berkualiti dan mengunakan bahasa pengantar Inggeris sepenuhnya. Harga RM15.90 (semenanjung Malaysia), SG$12.90 dan US$10.90 ( bermakna turut diedarkan dinegara lain). Saya pasti akan menantikan isu selanjutnya. 

Extra: Popcorn turut mengalu-alukan bakat-bakat baru untuk menyumbang karya mereka yang akan dibayar mengikut beberapa persetujuaan. Syaratnya komik tersebut mestilah dihasilkan dalam bahasa Inggeris, tamat dalam 4- 8 mukasurat, bersaiz A4, warna penuh (tidak kira digital atau manual), tiada aksi yang melampau atau menyentuh sensitiviti agama atau bangsa atau keganasan. Dan anda adalah pemilik hakcipta karya tersebut.

Hubungi: Slaium

Tiada ulasan:

Catat Ulasan