Sabtu, 1 Oktober 2011

THOR (2011)


Semalam saya menonton filem ini berdasarkan saranan dari rakan-rakan yang mengagumi setiap filem adiwira yang diadaptasi dari karya komik. Ini adalah antara sentuhan Stan Lee yang merupakan aset Marvel  Komik dan Marvel Studio sehingga kini, yang mana Stan Lee kini semakin galak menerbitkan filem pula. Saya menjadi terpanggil untuk mengulas filem ini berdasarkan begitu besar pengaruh Thor di dalam pembentukan irama Heavy Metal dari negara Scandinavia dan lebih penting mengulasnya di dalam bahasa Melayu kerana hampir semua masyarakat Barat mengenali Thor.

Filem ini bersandarkan komik klasik sejak zaman 60-an terbitan Marvel, tetapi Thor (lakonan Chris Hemsworth) pada hakikatnya masih disembah oleh serata-dunia terutama di Norway dan Sweden sebagai Tuhan Halilintar yang gagah perkasa. Apa yang dapat kita belajar di sini, manusia fitrahnya perlu mempunyai Tuhan. Dan apabila Tuhan itu diciptakan berdasarkan khabar angin, cerita mulut ke mulut, logikal akal sahaja, maka hampir kesemua kepercayaan di dunia yang bersandarkan kepada fakta ini menjadi hampir menyerupai sesama sendiri. Manusia di timur, barat, utara, selatan sama sahaja sebenarnya. Apabila seseorang itu lebih kuat dari yang lain, bijak mentadbir dan mempengaruhi yang lain, punyai karisma maka jadilah dia Tuhan. Dia adalah tuhan menjelma dalam bentuk manusia, kata mereka-mereka ini. Mereka yang hatinya benak. Jika Hang Tuah sempat merantau ke Norway, mungkin dia telah menjadi Tuhan di sana. Seperti penukul Thor yang dikatakan dibuat dari bintang, berbagai-bagai mitos juga kita dengar tentang keris Taming Sari?



Maka, Thor walaupun tuhan tetap kekal dalam bentuk seperti manusia punyai hidung untuk bernafas, makan ayam golek, jatuh cinta walaupun tinggal di dunianya, Asgard (dunia Tuhan). Paling lucu, Odin (Tuhan) bapa kepada Thor sakit jantung bila Loki (adik angkat Thor) gertak mengapa culik dia semasa bayi dahulu? Loki anak raksasa asalnya.

Secara keseluruhan, bagi saya ini filem SYIRIK dari mitos Norway. Bagi seorang dewasa, ia tidak lebih dari hiburan yang melucukan dan faktor yang mungkin menarik adalah kesan CGI yang dihasilkan Marvel.  Tetapi bagi saya Iron Man lebih kemas dan terperinci hasil visual nya. Namun bagi kanak-kanak, ia sedikit sebanyak boleh menjerat akidahnya. Tolong jangan ambil mudah bila ada unsur syirik!

Raksasa ais yang menjadi musuh berzaman Odin masih boleh diperbaiki lagi kerana saya merasakan dalam X-Men, Marvel boleh menzahirkan rupa bentuk raksasa yang lebih hebat. Oleh itu, tanpa rasa bersalah saya hanya boleh member pujian kepada lakonan watak Tuhan Perang, Odin yang dibawakan oleh Anthony Hopkins. Dan saya ada sikit-sikit ‘terminat’ gaya Natalie Portman.. siapa yang tidak? Hehe!

Mitos Odin dan anaknya Thor terlalu banyak digunapakai dalam filem dan muzik, filem Marvel terbaru yang turut diadaptasi dari komik, Captain America turut ada ‘bontot’ Thor yang mana kuasa magis diperolehi oleh Division Hydra, iaitu jabatan R&D Nazi adalah mengunakan batu kuasa tinggalan Thor. Hehehe. Manakala jika anda peminat metal sejati tidak mungkin anda tidak perasan keimanan terhadap Thor dan Odin oleh kumpulan – kumpulan seperti Bathory ( Quorton menafikan fahaman ini dipenghujung karier beliau), Manowar, Amon Amarth, Thor’s Hammer, Immortal, Enslaved, Helheim, Ragnarok, dan tidak terkira lagi. Jika anda ingat kumpulan Viking metal dari Malaysia, Ravenlord turut memuja Odin!?

Antara isu panas yang timbul dari filem ini yang membuatkan abang-abang Viking marah adalah watak  Heimdall yang dilakonkan oleh lelaki kulit hitam, Idris Elba sebab mereka percaya semua tuhan kulit putih?!

Bintang: 2.5/5

Tiada ulasan:

Catat Ulasan