Khamis, 2 Februari 2012

TIPS CEMERLANG UNTUK PESAKIT


Ibu saya memberikan saya buku ini, katanya ‘orang macam kita kena baca buku ini. Aku bagi pinjam aja nanti hang bagi balik’. Ibu mempunyai bermacam-macam penyakit, kami berdua mempunyai tekanan darah tinggi, dan baru-baru ini saya terkiyal-kiyal kesorangan sejurus bangun dari tidur seperti hendak lumpuh, rupanya kandungan asid urid tinggi dalam darah. Saya kena gout. Oleh itu, nikmat makanan laut telah diambil dari saya.

Saya tekun bersenam dan cuba mengambil makanan seimbang setiap masa. Namun tidak dapat saya pastikan bagaimana kesudahan hidup ini. 

Buku karangan Syeikh Badiuzzaman Said Nursi ini benar-benar membuka minda dan mata hati saya mengenai penyakit. Sesungguhnya penyakit tidak dapat dielakkan. Ia pasti hinggap kepada sesiapa sahaja tanpa mengira agama, bangsa, umur dan jantina. Bagi orang mukmin, sakit sebenarnya guru yang tidak berkata-kata, tetapi ia banyak mengajar dan mendidik. Penyakit kecil atau paling parah adalah takdir Allah yang mempunyai maksud tertentu. Allah itu Maha Pengasih, dan didatangnya penyakit bukanlah untuk menyusahkan hamba Nya. Buku ini telah mencungkil hikmah disebalik ujian yang ditimpakan itu. Penyakit yang dideritai sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan sifat-sifat terpuji.

Buku ini turut mendedahkan jenis-jenis penyakit jasmani dan rohani, kaedah rawatan, nasihat, dan diakhiri dengan dua pucuk surat dari Syeikh Badiuzzaman Said Nursi kepada seorang anak muridnya dan seorang doktor yang mengandungi nasihat kepada keduanya.

Tiada bahagian di dalam buku ini yang tidak membawa pengertian yang mendalam terhadap hidup saya. Rungkaian mengenai penyakit rohani menarik perhatian saya kerana penyakit rohani sebenarnya menimbulkan akibat buruk yang jauh lebih serius dari penyakit jasmani. Seseorang yang mempunyai penyakit rohani boleh dikesan oleh sifat berikut:

1.       Lemah Daya Kerja (malas dan hilang semangat untuk maju)
2.      Tumpul fikiran (sukar melihat kebenaran dan buta mata hati)
3.      Kedangkalan Perasaan (tidak pandai bersyukur dengan nikmat tuhan)
4.      Gelisah dan Keluh Kesah (tiada ketenangan jiwa)
5.      Liar terhadap kebenaran ( tidak senang mendengar mutiara hikmah)
6.      Buruk sangka (hati yang sentiasa curiga terhadap Allah dan orang lain)
7.      Suka menghasut (suka memfitnah, dan mencetus kekecohan dalam masyarakat)
8.       Menaruh hati terhadap wanita bersuami ( keinginan untuk berzina)

Kesengsaraan dan penderitaan penyakit banyak disebut didalam hadis-hadis Rasulullah saw dan firman-firman Allah swt yang menyarankan kita agar menghadapinya dengan penuh kesabaran. Segala penyakit walaupun hanya gatal, atau letih sekalipun akan mengugurkan dosa-dosa dan ditulis kebaikan padanya. Itulah khabar gembira yang menghiburkan hati orang-orang beriman.

Sebuah kisah dari Atha’ Bin Abi Rabbah, Ibnu Abbas berkata kepadaku” Mahukah kamu ditunjukkan seorang wanita ahli syurga?”. Aku menjawab “Tentu sekali!”. Dia berkata “Seorang wanita yang hitam berjumpa dengan Rasulullah saw dan berkata “Sungguh aku ini kerasukan syaithan dan tersingkup auratk ketika datang saatnya. Maka doakan aku, wahai Rasulullah”. Lalu Rasulullah bersabda;

Jika kamu bersabar, maka kamu akan dapatkan syurga dan jika kamu inginkan aku mendoakanmu, maka kamu akan sembuh”

Maka wanita itu berkata : aku pilih untuk bersabar”. Kemudian melanjutkan perkataannya “ Sungguh tersingkap auratku”

Maka Rasulullah saw mendoakannya (supaya aurat wanita itu tidak tersingkap)” – hadis riwayat Bukhari

Dapatkan buku ini dengan harga RM8.00 dari Pustaka Azhar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan