Isnin, 9 April 2012

WAHABI: SESATKAH MEREKA?

Menyingkap fahaman paling kontroversi

Saya gagal untuk mendisplinkan diri dengan membaca sebuah buku baru setiap bulan. Beberapa hari sebelum menjelang Aidilfitri saya menjenguk kedai buku Popular dan tanpa sempat membelek tajuk-tajuk lain, saya terus sambar buku ini dihalaman Pilihan Popular kerana waktu beroperasi kedai tersebut telah tamat.

Saya sangat suka mengupas permasalahan yang melanda fahaman Wahabi. Pernah suatu ketika dahulu saya membangkitkan isu Wahabi di dalam forum Anak Perlis yang mengundang berbagai komentar yang benas dan tidak kurang juga melulu.

Saya lihat jika isu ini dibangkitkan di Malaysia, apa yang dapat kita lihat tujahan melulu kelompok tertentu melabelkan kelompok bertentangan adalah wahabi. Oleh kerana tidak membaca doa qunut, tidak membuat majlis tahlil, tidak berarak meraikan Maulidur Rasul, tidak membuat binaan di kubur, dan sebagainya. Manakala, kelompok yang tidak penah melabelkan mereka berfahaman wahabi pula dengan mudah juga mengkafirkan kelompok yang lain.

Dalam satu filem Hollywood, Body Of Lies si hero ada menyatakan terrorists berfahaman Wahabi? Amerika pun dah berlagak pandai dalam gerakan salafi eh?

Benarkah? Inilah yang sebahagian besar kita faham tentang Wahabi?

Buku ini adalah diterjemahkan daripada tesis ijazah sarjana pegajian Islam dan ditambah dengan beberapa fasal yang lain oleh Hersi Mohamad Hilole, PhD dan diterbitkan oleh PTS Millenia dengan cetakan pertama pada tahun ini, 2012.

Buku ini mengulas secara terperinci bermula dari Maksud Salafi, Kehidupan Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab, Persekitaran beliau, Wahabi dan Permurnian Tauhid, Dimensi Sosiopolitik bagi Memurnikan Tauhid dalam Aliran Wahabi, Polemik dalam Mentafsir Beberapa Isu Akidah, Konflik Isu Pengkafiran dan Tawassul, Sikap Gerakan Wahabi pada Beberapa Golongan Islam dan Gerakan Wahabi dalam Bidang Dakwah. Semua disertakan dengan pandangan dan rujukan Pro Wahabi, Anti Wahabi dan Orientalis. Lengkap dengan indeks bahan rujukan serta biblografi. Satu tesis yang hebat!

Melalui pembacaan ini saya dapat faham, beberapa aspek penting dalam perjuangan Wahabi yang menjurus kepada kaedah dan fahaman dakwah serta islah. Ia bukan sebuah mahzab seperti kebanyakan orang Malaysia faham. Bahkan, pengikut Syeikh Muhammad bermahzab Hanbali.

Syeikh Muhammad Abdul Wahab dibesarkan di wilayah Njad yang merupakan daerah paling mundur pada ketika itu. Beliau merantau berguru diserata tanah Arab dan penah mendirikan beberapa pondok sewaktu pengembaraan beliau sebelum kembali ke Njad yang ketika itu hidup di tindas dibawah kekuasaan ketua kabilah (Syed and Shariff). Diriwayatkan umat Islam ketika itu turut mengamalkan perbuatan syirik manakala ulama tidak memainkan peranan mereka. Malangnya kenyataan itu hanya disokong oleh penulisan Pro-Wahabi. Dan lebih ektrim, penulisan mengenai keruntuhan akhlak muslimin turut dinyatakan mereka merebak ke serata dunia. Tesis ini turut menyatakan penulisan dari Syeikh Muhammad sendiri kebanyakannya telah tiada dan tidak diketemui lagi, yang banyak dijadikan rujukan kini adalah penulisan pengikut-pengikut Wahabi.

Apa yang saya dapat lihat konflik utama yang berlaku antara pengikut wahabi dengan kelompok Islam yang lain bukanlah kerana doa qunut (hehe!) atau perjuangan menentang bidaah. Jika dikira, hadis menentang bidaah digunapakai oleh semua mahzab.

Perbezaan pemahaman tauhid dan isu kafir mengkafir serta munculnya pengikut-pengikut wahabi yang taksub kepada ulama mereka menjadikan perjuangan mereka sebagai ancaman kepada mereka yang bertoleransi dan tidak aggresif.

Petikan dari penulis; ia adalah usaha sederhana daripada pihak saya bagi memperjelaskan dakwah salafi Wahabi yang diasaskan oleh syeikh Muhammad bin Abdul Wahab pada kurun ke -12H. Saya dapati ada pelbagai pandangan orang ramai perihal dakwah itu. Ada yang mengatakan ia adalah dakwah salafi sunni, iaitu salaf yang mengutamakan sunnah, bahkan ada yang mengatakan ia adalah akidah salafus soleh, semoga Allah meredai mereka semua. Mereka yang berfahaman dengan dakwah Wahabi wajib diikuti secara perkataan dan perbuatan.

Sebahagian pula berpendapat gerakan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab adalah gerakan bidaah. Menurut mereka gerakan itu setaraf dengan Qadiani, Baha’i dan aliran-aliran al-Batini. Oleh yang demikian, sesetengah negara Islam masih melarang penyebaran gerakan itu di negara mereka hingga ke hari ini. Bagi pihak yang lain, kita mendapati beberapa negara mengarahkan umat Islam mengikutnya dan tidak membenarkan aliran lain dalam Islam. Perkara ini sudah diketahui dalam kalangan orang awam dan sesetengah pihak. Demikian ragam pandangan orang ramai perihal dakwah Wahabi. Ada diantara mereka yang mencela, memuji, menyokong ataupun mengkritik.


Dr. Yusuf al Qaradawi dilaporkan berkata dalam sesawang Libyan national movement, Wahabi adalah gerakan fanatic buta yang menganggap gerakan mereka paling benar tanpa salah dan menganggap yang lain selalu salah tanpa ada kebenaran sedikit pun.

Dr. Wahbah Zuhaili dalam wawancara bersama al-Jazeera menyatakan, Wahabi adalah orang yang suka mengkafirkan majority Muslim selain dirinya sendiri.

Sesatkah wahabi?

Namun ada pula rekod, Dr. Yusuf al Qaradawi dalam Figh al-Aulawiyyat memujinya, ..”Muhammad bin Abdul Wahab memelihara benteng tauhid daripada syirik yang mencemari pencaran tauhid dan dikotori kesuciannya, menulis buku-buku dan risalah-risalah dalam perkara itu, serta bangkit menanggung bebanan secara dakwah dan praktikal dalam memusnahkan gambaran-gambaran syirik”.

Dr. Wahbah Zuhaili juga pernah memujinya dalam Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al Thani ‘Asyar dengan menyebut “ Beliau adalah suara kebenaran paling berani, pendakwah terbesar untuk islah atau pembaikan, membina umat, jihad, dan mengembalikan individu Muslim kepada berpegang pada jalan al-salaf al-salih yang terbesar iaitu dakwah Muhammad bin Abdul Wahab pada kurun ke-12 hijrah..”

Buku ini bagus kerana ia mengemukakan fakta jelas, dalil dan nas tanpa memihak kepada mana-mana pihak sebaliknya membiarkan pembaca menganalisis dan menentukan apa yang mahu diimani.

“Salafi bermaksud kembali kepada iman yang mudah, lunak dan tanpa pertelingkahan. Ia bukan jambatan bagi meningkatkan pengaruh sesetengah pendapat ataupun jarring yang dipasang oleh orang jahil dalam masyarakat bagi memerangkap orang yang tidak berpengalaman”
- Syeikh Muhammad al-Ghazali

Klik untuk membeli buku ini.