Ahad, 14 April 2013

YA RAHMAN, YA RAHIM


Seronok bila masjid kampung dah dinaiktaraf, dingin, suasana menceriakan, dan ramai ulama yang bijaksana datang memberi kuliah. Dr MAZA memang dekat hubungan beliau dengan masyarakat Perlis walaupun hanya 2 tahun beliau menjadi mufti disini. Cuba mencontohi bagaimana orang dulu-dulu mengaji, ini antara beberapa nota ringkas yang sempat aku catatkan pada kuliah dan sesi soal jawab bersama Dr MAZA.

- Semua surah dalam al Quran kecuali at-Taubah bermula dengan ‘bismillah..”

- Sesiapa yang menceritakan tentang Tuhan menurut Islam jika TIDAK berakhir penjelasannya dengan Ya Rahman dan Ya Rahim (sifat Nya yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang) adalah salah dan dia telah memberi gambaran salah mengenai wajah Tuhan dan nabi Nya.

- Dalam Islam lahirnya aliran SUFI; menekankan banyak aspek kasih sayang dan cinta melalui rahmat Tuhan. Tetapi sesetengah sufi mula tersasar apabila hanya menumpukkan cinta dan kasih sayang tanpa syarat. Kerana dalam cinta juga perlu ada peraturan, maknanya syariat. Undang-undang adalah asas rahmat. Manakala aliran SALAFI; adalah baik kerana cuba membawa dan mengekalkan keaslian apa yang dibawa dari zaman nabi, tetapi hilang essence, dan kontang cinta, kasih sayang dan rahmat apabila hanya menekankan hukum-hakam sahaja. Islam dilihat kering dan tandus. Oleh itu, sebaiknya, berada ditengah-tengah.

- Syariat adalah dasar kepada ‘rahmat’.

- Menurut Imam Fakhr al-Razi, agama = adil dan ehsan. (contoh mudah; diwajibkan memberi pakaian, perlindungan dan makan minum kepada isteri, beli beberapa helai baju setahun dah cukup untuk ‘keadilan’, namun membeli lebih dari itu, yang cantik, dan anggun adalah ‘ehsan’. Atau memberi RM2 kepada anak sebagai wang saku ke sekolah untuk makan minum telah cukup. Namun memberi RM3 untuk kegunaan lain adalah ‘ehsan’.) begitulah dalam hal lain. Ia adalah paksi perundangan Islam. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memerintah kamu supaya berlaku adil dan ehsan” (Surah al-Nahl : ayat 90).

- Dakwah adalah underground movement. ( yang ini aku suka dengar!). Dakwah adalah sesuatu yang ‘jelas’ tetapi organisasinya ‘senyap’.

- Abu Dzar dalah pengasas sosialis menurut puak sosialis. Ini kerana kelantangan beliau dalam menyuarakan hak kekebasan pegangannya, dan cara beliau dalam mendidik diri untuk mencari kebenaran.

- Amanah perlu diberikan kepada ahlinya. “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil, sesungguhnya Allah dengan (suruhanya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.” (an-Nisa’ ayat 58)

- Allah tidak berfirman berikan jawatan pemimpin hanya kepada orang Saleh sebaliknya kepada ahli nya yang bermaksud manusia yang pandai dalam bidangnya. Jika dia seorang bukan Islam, tetapi berdaya upaya dan amanah, boleh dipilih jika kepimpinannya memberi keadilan untuk semua, amanah dalam tugas dan meningkatkan kemajuan kerana di Malaysia dia tidak boleh menganggu urusan agama Islam. Namun jika diberikan terlalu banyak mereka itu dipilih hingga boleh mengubal dasar yang menganggu kesejahteraan agama adalah dilarang.

- Apa hukum mengundi? Wajib walaupun tiada pilihanraya zaman Nabi, tiada parti zaman Nabi, kerana perlunya memilih orang yang menyebabkan keadilan berlaku di dunia ini.

- Surah an Nissa ayat 59 yang selalu di seleweng ; Taati ulul amri dikalangan kamu. Tetapi yang betulnya; maksudnya ulul amri atau pemimpin yang beriman dengan Allah dan Rasul bukan sebarangan pemimpin.

- Sekarang adalah musim orang mahukan agama. Ertinya, agama telah mempunyai nilai pasaran dikalangan masyarakat urban. Agama adalah a new form of entertainment. Oleh kerana arus perbandaran dan pembangunan yang pesat, manusia makin tiada masa untuk mengenal agama. Jika mahu berguru, belajar kitab, kita sibuk dengan kerja harian. Jauh di dalam hati kita kosong dan perlukan sesuatu. Fitrah manusia perlukan beragama. Jadi kita mencari, mencari dengan cara yang mudah dan moden serta mengikut trend terkini. Kita mudah berasa diri cukup agama dengan menghadiri kuliah-kuliah yang diserikan dengan nyanyian, lawak jenaka, kerana kita nampak ia sebagai hiburan. Dan ia bentuk agama yang kita suka.

- Tidak salah mencuba kaedah baru dalam mengajar agama, membuat jenaka. Tetapi apabila pulang dari kuliah adakah kita akan membincangkan syariat atau lawak baru yang kita dengar setiap kali kuliah? Boleh tetapi berpada-pada wahai ustaz…

- Tidak salah menyanyi, kerana kebanyakan ustaz sudah upgrade ke bidang nyanyian. Malah artis masa kini lebih mendapat tempat di hati peminat jika memakai songkok atau jubah tidak kira apa pun lirik yang dinyanyikannya. Tidak salah menyanyi, kerana menurut Dr MAZA, orang dengar lagu Celine Dion pun kita tak marah… tetapi biar berpada-pada.

- Tidak salah untuk berzanji, berzikir beramai-ramai, kerana trend terkini di negara lebih maju dari Malaysia pun sekarang ini mengadakan majlis berzikir beramai-ramai dalam satu stadium adalah perkara biasa. Tetapi pernahkan kita bertanya apa yang kita mahu sebenarnya, hiburan cara Islam atau mahu mempelajari syariat nya? Sekali lagi Dr Maza menegaskan, kita tidak larang ke konsert apa pun, asalkan jelas apa yang kita mahukan.

- Sifat 20 untuk kenal Tuhan. Usaha oleh ulama seperti Abu Hassan Ashaari, harus dihormati kerana zamannya telah muncul pemikir barat, logikal yang perlu beliau hadapi. Tetapi tidak semestinya dengan menghafal sifat 20 baru kita dapat tahu kewujudan Tuhan. Sesiapa yang membaca al Quran pasti kenal Tuhan.

- Memilih pemimpin; walaupun diberi hak memilih tetapi tidak tahu / kenal siapa yang dipilih tetap tidak memberi apa-apa makna oleh kerana tiada ilmu terhadap apa yang dipilih.

- Oleh itu hak bersuara perlu diberi kepada kedua-dua pihak. Dan jangan salahguna harta awam untuk berkempen. Keadilan harus diberikan kepada semua.

- Jangan puja tokoh. Jangan taksub ulama. Membuat baju-baju berwajah tokoh, dengan alasan lebih baik dari memakai baju bergambar haiwan dan sebagainya. Dan merasa diri lengkap agama atau pejuang agama dengan baju-baju sedemikian. Atau taksub dengan sesiapa sahaja yang mendakwa diri keturunan nabi. Nabi sendiri tidak dapat menyelamatkan keturunannya jika melakukan kemungkaran. "Barangsiapa suka dihormati manusia dengan perhormatan dalam bentuk berdiri, maka hendaklah dia bersiap sedia dengan tempat duduknya di Neraka." (Hadis Riwayat Ahmad, hadis sahih) Anas bin Malik radhiyallahu 'anhu berkata, "Tidak seorang pun yang lebih dicintai oleh para sahabat daripada Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Salam. Tetapi, bila mereka melihat Rasulullah Shallallaahu 'alaihi wa Salam (hadir), mereka tidak berdiri untuk beliau. Ini adalah kerana mereka mengetahui bahawa beliau membenci perkara tersebut." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, hadis sahih) Yang dimaksudkan dengan berdiri di dalam hadis ini adalah berdiri dengan tujuan untuk mengagungkan seseorang. Jelasnya, nabi tidak suka dengan cara begini, tetapi jika budaya setempat atau tidak melakukannya boleh mencetuskan pergaduhan maka eloklah dituruti. Tetapi jika dalam masyarakat semuanya Islam, apakah mereka masih asing dengan hadis ini?

Di hari kewafatan Rasulullah SAW, Abu Bakar berkata "Kalau saudara-saudara menyembah Muhmmad, maka sesungguhnya Muhammad telah wafat. Tetapi kalau saudara-saudara menyembah Allah, maka sesungguhnya Dia tetap hidup selama-lamanya ". seterusnya beliau membacakan Al-Qur'an Surah Ali Imran ayat 144.

- Agama merentas semua parti. Boleh berhujah, boleh berbalas pandangan. Tetapi diharamkan memutuskan ukhwah. Dalam masjid semua sama.

- Jangan pangkah calon yang tidak pernah datang solat jemaah di masjid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan