Dr. Zahazan Mohamed merupakan antara pendakwah dan
ulama kegemaran saya. Ini merupakan buku pertama oleh beliau yang saya beli
yang mana sebelum ini saya lebih suka mendengar kuliah dan ceramah oleh beliau
sahaja. Kisah-kisah di dalam buku ini disusun dan dipetik berdasarkan
kitab-kitab sejarah yang muktabar yang merekodkan kisah luar biasa yang
didatangkan oleh para nabi, para sahabat dan para wali dengan izin Allah SWT
menjadi al-bayyinat dan al-ayat, iaitu bukti tanda-tanda kebenaran dakwah
mereka. Terdapat juga kisah-kisah Israiliyat menceritakan kisah-kisah yang
terjadi pada bani Israel dengan maksud untuk mengambil pengajaran, nasihat dan
dijadikan teladan.
Semuanya disusun kemas dengan bahasa yang mudah dan penuh
hikmah bersama-sama ilustrasi ringkas. Ada rujukan fakta dibawah setiap muka
surat dan glosari sebagai rujukan kitab dan penulis asal. Antara kisah popular yang mungkin anda penah dengar adalah
kisah Nabi Musa berguru dengan Nabi Khidir, Air keluar dari jari-jemari
Rasulullah SAW, Pokok-pokok yang datang kepada Rasulullah SAW, Bulan terbelah,
Khalifah Umar memasak untuk rakyatnya, dan sebagainya.
Kisah-kisah lain adalah lebih hebat dan luar biasa dan amat
menakjubkan. Buku ini amat wajar dimiliki dan dicadangkan kepada para rakan
taulan.
Lebih hebat kisah-kisah dalamnya kebanyakan mengembalikan
kita kepada zaman dakwah Rasulullah dan kisah nabi-nabi sebelum syariat nabi
SAW. Kita dapat lihat kebanyakan kaum jahiliyah, musyrikin, yahudi beriman pada
Allah, mengakui Allah adalah tuhan mereka tetapi menyekutukan dan berlaku
syirik. Maka dengan itu, nabi dan rasul diutuskan untuk memberi keterangan
hakiki. Bahkan umatnya turut berjuang dakwah bersama bukan mempertikaikan
‘Allah’ itu milik siapa?
Telah jelas Allah itu Tuhan yang wajib disembah dan yang
satu. Malah sebelum Muhammad diangkat menjadi nabi lagi, kaum Quraisy telah
kenal Allah itu adalah Tuhan. Cuma mereka syirik dan enggan menerima syariat.
Sayidina Umar r.a (Khalifah yang menguasai semua negara
Islam ketika itu) berasa bertanggungjawab terhadap orang yang susah dan
dizalimi. Pada masa yang sama, beliau tidak berasa teragak-agak untuk
menjatuhkan hukuman kepada orang yang enggan menunaikan kewajipan agama. Beliau
tidak memilih kasih (berat sebelah) dalam perkara berkaitan hak-hak Allah.
Pernah satu ketika, ada laporan sampai kepadanya bahawa anak
gabenor Mesir lantikannya iaitu Amru bin al-‘Ash r.a telah memukul lawannya
yang mengatasi beliau dalam perlumbaan kuda. Alasannya ialah beliau ibnu
al-akramin (anak orang yang mulia) sedangkan pemuda Qibti itu merupakan rakyat
biasa. Sayidina Umar r.a menjemput kedua-dua pihak yang terlibat dan setelah
mengesahkan kebenaran tragedi itu, maka beliau menyuruh lelaki Qibti itu
bertindak balas terhadap anak gabenor kerana perbuatannya.
Sebagai tambahannya, Amru turut dicemeti oleh Umar r.a
seraya beliau mengumandangkan kalimah yang hebat; “Sejak bilakah kamu boleh
menjadikan manusia sebagai hamba walhal ibu-ibu mereka telah melahirkan mereka
dalam keadaan merdeka?”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan