Jumaat, 14 Jun 2013

MOTOR PERTAMA KU


Motor pertama aku adalah Honda GBO yang dibeli dari sebuah kedai pajak gadai di Mata Ayer pada tahun 1997 dengan harga RM800. Hari itu adalah antara hari paling gembira dalam hidup aku, mungkin juga saat yang aku paling ingat dalam hidup aku. Aku tidak pernah mempunyai motorsikal hingga tamat zaman sekolah, masuk itm, sehinggalah zaman mula berkerja. Kali terakhir aku menumpang motor rakan-rakan aku ketika kerja di kilang membuat pukat di Padang Besar dengan GG. Kami bekerja setiap malam 10 malam hingga 7 pagi dengan menaiki Suzuki RC. Masing-masing tiada lesen dan tiada wang. Hampir setiap hari aku harap makan malam ehsan dari GG. Aku tetap kenang jasa GG hingga ke hari ini. Paling aku ingat, hampir setiap pagi kami terbabas masuk dalam semak samun kerana tertidur atas motor. Kerja kami setiap malam menjaga mesin. 5 minit pun tidak boleh duduk. Supervisor sangat garang dan kerek. Gaji kami ketika itu RM400 sebulan.

GG sedang santai

Motor aku bernombor WAH 9444. Mak aku gadai rantai emas. Satu-satunya barang kemas yang dia ada dan dibeli sendiri olehnya dengan duit dia sendiri sebelum berkahwin. Mak aku tiada barang kemas lain. Tidak penah mendapat hadiah emas, intan, berlian dari ayah aku. Setiap kali aku teringat jasa ini. Air mata aku jatuh. Sewaktu itu aku berjanji akan menebus semula rantai tersebut dengan menyimpan gaji sedikit demi sedikit setiap bulan. Tetapi aku gagal. Rantai lesap.

Hidup tidak mudah buat aku. Aku kerja Kilang pilling, kedai besi, kilang speaker, mengecat, kedai nasi kandar, tebang pokok, segala macam hinggalah aku dapat kerja di Kilang Gula Pada tahun 1999. Aku berulang-alik setiap hari dengan GBO itulah selama 6 tahun, kira kira 20 km setiap hari. Hujan panas, salji hitam, ribut habuk, siang dan malam. Paling terhina, GBO aku sering jadi mainan kerana asyik rosak dan hanya boleh mencapai kelajuan 60km/h.

Aku bayar semula duit rantai dan beli rantai dan gelang yang lebih mahal kepada mak aku 11 tahun kemudian. Aku tidak sesekali lupakan janji. 


Baru baru ini aku diperkenalkan dengan Ed March oleh seorang dewa motor, Duha. Baru aku sedar betapa ‘cool’ nya GBO aku. Ed March membuktikan enjin GBO ciptaan Jepun ini adalah antara kejuruteraan motorsikal cup paling hebat penah dihasilkan dalam sejarah dunia. Lebih mengagumkan Ed March menunggang C90 miliknya dari Malaysia ke England dengan penuh gaya. Ed ke Artic, Finland, Jerman hanya dengan motorsikal ini. 

Mad Duha

Berbalik kepada dewa motor, mungkin tarifnya berbeza buat anda. Sewaktu aku berkerja di Kilang Gula dahulu aku kenal seorang yang aku anggap dewa motor. Ini kerana dia di antara belia remaja yang mampu memakai motorsikal paling ‘cool’ di kampungnya. Beliau jadi popular kerana setiap gadis dikampung ingin mendampinginya kerana dapat membawa mereka ke pekan setiap hujung minggu. Beliau juga pemangsa yang telah mengorbankan ramai gadis-gadis yang kepingin membonceng motor Suzuki RG nya.

Itulah dewa motor bagi aku sebelum ini yang hanya ada GBO.

Duha, aku lihat beliau hanya menunggang motor buatan Asia, asessori mampu pakai, tiada beban poket, tiada fesyen, tiada trend, malah telah menunggang serata pelosok Asia Tenggara hanya dengan motor Yamaha LC. Bila bercakap tentang motorsikal, beliau akan bercakap dari aspek teknikal. Ia bukan cakap budak kaya dengan minat motor kuasa tinggi yang penuh trendy dan fashion. Ini cakap dewa motor sebenar.

Aku mula pasang cita-cita untuk baik pulih GBO aku yang tersadai di bawah rumah.

Setiap lelaki pasti sukakan deruman bunyi engin motorsikal walaupun serendah mana CC nya. Ini kerana lelaki dijadikan untuk menunggang! Ayoh!

1 ulasan:

  1. inspiring.terus teringat kat Honda EX5 depan rumah yang dah berabuk bersawang. Dulu digunakan utk ulang alik melaka-temerloh tiap tiap minggu dan Cheras-temerloh.haha

    BalasPadam