“Himpunan Pengalaman Dan Kisah Seram Yang Tak Mungkin Dilupakan”
Kita gemar ditakutkan oleh kisah seram, walaupun kita sendiri tidak mahu melalui pengalaman seram. Tetapi pengalaman ditakuti adalah suatu pengalaman mistik yang sering kita bangga jika melaluinya. Malah sejak wujudnya media elektronik, hiburan bercorak ‘ketakutan’ adalah sesuatu yang menguntungkan dan sangat bernilai komersil. Penulis buku ini, saudara Jarr Nadjmuddean pada perkiraan saya lebih kurang segagan atau muda beberapa tahun dari saya. Dan tercetusnya penerbitan buku ini apabila penceritaan beliau di twitter mendapat sambutan ramai. Yang mana, beliau akan memuatkan siri-siri cerita seram tepat jam 12 tengah malam pada setiap malam Jumaat. Jadi kisah dari twitter milik beliau ini dibukukan dan dipasarkan. Logo twitter terbalik pada kisah (23 kisah) mungkin simbolik pada cetakan buku ini. Cetakan buku yang saya miliki ini adalah yang ketiga, cetakan pertamanya pada November 2012. Saya berpendapat buku ini amat laris sekali!
Jarr Nadjmuddean adalah seorang pemuda kelahiran Terengganu, menulis dengan kaedah yang sangat santai dan pada hemat penerbit melalui prakata adalah berdasarkan pengalaman Jarr sendiri yang dikatakan memiliki kebolehan melihat hantu. Jika dinilai dari segi gaya bahasa, memang buku ini tiada haknya dalam khazanah bahasa Melayu kerana pengunaan ‘bahasa pasar’ dan ‘bahasa rojak’. Agak mengecewakan kerana, penerbit tidak menyunting semula penceritaan Jarr dari Twitter supaya lebih berseni untuk dibukukan. Mungkin kisah dari pengalaman sendiri, mereka tidak mahu menjejaskan penceritaan santai dari Jarr. Ia seolah-olah mendengar cerita dari mulut rakan rapat anda sendiri. Tetapi kisah-kisah lain yang diceritakan semula dari Jarr seperti Hantu Mek Kerinting, Puaka Bukit Depu, Pintu Alam Ghaib, Paya Hitam, Kampung Sinsing kedengaran dongeng dan telah berkali-kali secara tipikalnya diceritakan oleh masyarakat Melayu. Betul atau tidak, cerita sedemikian telah biasa kita dengar berzaman. Namun kisah yang diceritakan semula ini digarap lebih baik bahasanya berbanding pengalaman beliau sendiri.
Saya menyukai gaya tulus beliau bercerita mengenai pengalaman beliau yang memuatkan fakta, nama tempat, waktu dan sedikit keadaan persekitaran pada waktu itu. Ia mirip Othman Wok, tetapi Othman Wok adalah penulis kisah seram yang lebih berseni dan halus.
Beberapa pengalaman penulis di Setapak, KL juga membuatkan saya tersenyum mengingatkan rumah sewa saya di Setapak suatu ketika dahulu.
Buku ini sesuai dijadikan bahan bacaan hiburan tanpa mengambil serius isinya. Tiada penghargaan terhadap bahasa melayu dalam buku ini dan sayang sekali , Jarr tidak mengunakan kesempatan ini untuk ‘islah’ atau mungkin menyalurkan ‘dakwah’. Saya kesal dengan kisah-kisah yang lebih menjurus orang ramai mempercayai tahyul dan khurafat. Saya juga kesal apabila membaca banyak kisah beliau yang mendorong kepada kepercayaan wujudnya roh jahat, roh arwah kembali, roh menganggu orang ramai. Dimana kita sebagai orang Islam wajib mempercayai Allah swt Maha Berkuasa memelihara roh disuatu alam bergelar Barzakh sementara menanti akhirat dan roh orang yang mati tidak akan sewenang-wenangnya kembali ke dunia ini melainkan qarin atau syaitan yang merupabentuk sebagai si mati untuk memesongkan akidah dan iman manusia.
Kita mungkin akan menganggap buku-buku dengan beberapa ayat seperti Masya Allah, Subhanallah, ustaz, tawakal sebagai benar dan beretika. Jangan kita lupa, buku-buku agama sendiri pun ada yang ditulis mengunakan hadis palsu dan menjatuhkan hukum mengunakan nafsu.
Mungkin inilah penyebab larangan dari pemikir-pemikir Islam agar tidak membenarkan buku-buku tahyul diterbitkan malah dijadikan koleksi melebihi kitab-kitab agama di rumah-rumah kita. Tidak salah mahu bercerita tentang alam ghaib, malah ia adalah salah satu dari rukun Iman. Tetapi ceritalah selayaknya sebagai seorang Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan