Rabu, 27 November 2013

MENGEMBARA KE SATUN


Mad Duha sudah setahun berjanji mahu membawa saya makan daging bakar di Satun yang dikatakan sangat enak dan original intipati nya. Maka hari ini tanpa perancangan yang rapi. Kami bertolak dari Kangar jam 12.00 tengahari.

Sebelum saya ceritakan pengembaraan mencari juadah tengahari pada hari ini, ada baiknya saya ceritakan sedikit sebanyak mengenai Satun atau nama asalnya SETOI. Namun seorang orang Melayu-Siam disini tetap memanggilnya Setoi. Satun merupakah salah satu wilayah Thailand yang dahulukalanya merupakan sebahagian dari Negara Kedah sehinggalah ke era Tanah Melayu pada 1813 ia dikenali sebagai Mukim Setoi. Jika bukan kerana tindakan Kerajaan British memisahkan Setoi dari Tanah Melayu pada 1909. Setoi sudah pasti sebahagian dari Perlis kini. Namun syukur. Setelah ke sana sebentar tadi, saya gembira melihat pembangunan yang diterima mereka. Jauh lebih hebat dari Perlis. Jika mereka kekal menjadi Perlis apalah nasib mereka? Ada Tun Dr. Mahathir ingat Perlis semasa ‘baginda’ memerintah dahulu?

Setoi hanya sebelah menyebelah dengan Kuala Perlis jika dilihat kedudukan geografinya. Beberapa tahun lalu ada cadangan diusulkan kerajaan Malaysia untuk mewujudkan sebuah jambatan menghubung Kuala Perlis ke Setoi. Namun pihak Thailand tidak setuju dan tidak memberi sebarang respon dalam usaha tersebut. Mungkin gabenor yang mentadbir Setoi dan warganya tidak mahu menjadikan Setoi sebagai satu lagi hub pelacuran dan maksiat jika jambatan ini didirikan?

Hampir 70% penduduk Setoi beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu pelat Kedah tidak seperti Melayu-Siam di Patani, Narathiwat dan Yala. Muslim Setoi juga tidak ambil pusing dengan puak pemisah dan lebih menumpukan pada kegiatan ekonomi; berniaga dan bertani serta perikanan.

Kata orang (kata orang ya!! Bukan pandangan peribadi), gadis-gadis Melayu-Siam dari Setoi memiliki kecantikan yang lebih unik dan memikat dari wilayah-wilayah Melayu-Siam yang lain? Itu masih dalam kajian saya..! hihihi

Berbicara dengan pergerakan muzik bawah tanah pula, saya pernah menyaksikan persembahan sebuah band old school death metal yang bergelar NAWHALS. Mereka adalah pemuda-pemuda dari Setoi. Jadi saya berpendapat scene muzik berat di Setoi masih muda dan diterajui oleh remaja-remaja yang bakal menjadi mentor suatu masa nanti. Saya masih menantikan material sulung dari NAWHALS kerana pada gig tersebut mereka banyak memainkan lagu-lagu cover.


Kami sampai di Sempadan Wang Kelian- Ban Prachan tepat jam 1.00 tengahari. Sebelum itu kami singgah di pekan Kaki Bukit Gua Kelam untuk tukar wang. Saya hanya tukar 300 baht. Dan kali ini kami memilih untuk mengunakan border-pass yang turut kami buat waktu itu juga. Bagi yang tidak tahu, Border-Pass slip ini hanya dikeluarkan kepada penduduk tetap Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis sahaja. Bayaran RM10 dikenakan untuk slip yang hanya boleh digunakan dalam tempoh 6 bulan ini dan terhad untuk perjalanan tidak melebih 25 km (kini mungkin lebih KM?) dari sempadan.

Ketika di Wang Kelian ini baru saya dan Mad Duha tersedar. Kami masing-masing tidak ingat langsung untuk membawa geran motorsikal dan insurans kenderaan Thai. Malas untuk kembali semula ke Kangar. Kami nekad teruskan perjalanan tanpa isytihar motorsikal dan tanpa sebarang dokumen kenderaan. Hahaha! Jangan sesekali cari nahas cuba macam kami. Kalau kena roadblock atau kemalangan nahas nanti!

Sebaik menyusuri Ban Prachan, jelas terasa keselesaan jalanraya yang lebar dan rata. Kebanyakan jalannya lurus membolehkan kami untuk memecut full-throttle dan hanya berhati-hati pada selekoh tajam. Kami merentas pergunungan Sankalakhiri, melalui Thaleban National Park, kawasan tasik dan perikanan air tawar, kalau anda seorang rider kental. Pasti anda suka!




Kami melalui 4 check-point Polis/Tentera Thai, tetapi hanya 2 yang beroperasi hari itu. Di hati agak cuak kerana tidak membawa geran kenderaan dan check-point mereka seperti kubu tentera siap diletakkan benteng pasir. Tetapi tiada sebarang sekatan dibuat.

Kami tiba di bandar Setoi jam 1.40 tengahari. Bandar Setoi jika saya boleh gambarkan, sebuah bandar yang tersusun sepanjang jalan yang terus membawa ke lautan Andaman. Ia bukan bandar yang kompleks dan padat. Tetapi kawasan perbandarannya luas, besar dan terancang. Setoi mempunyai hypermart-hypermart seperti Tesco, Macro, segala macam francais fast food, Sekolah agama yang cantik-cantik mengadap pemandangan bukit dan kebun-kebun yang indah, kolej-kolej teknologi Islam, madrasah, penuh dengan masjid-masjid yang unik-unik bentuknya; berkubah krom dan emas, Wat juga ada, seluruh pelusuk bandar hanya restoran masakan Islam, semua mampu berbahasa Melayu.

Cuma satu perkara yang negatif di sini. Kesedaran bahaya lalu lintas mereka sangat teruk! Tidak kisah lampu isyarat, membawa kenderaan berat sebelah kanan, motor dimotifikasi menjadi kenderaan lain dan sebagainya. 


cucur ikan ni ada rasa tom yam


Kami tiba di restoran yang dituju. Nama kedainya ditulis dalam bahasa Thai. Terlupa pula mahu bertanya pada pekerjanya yang cantik molek. Ketibaan saya disambut sekumpulan Polis Malaysia yang turut tiba pada masa yang sama. Pakcik-pakcik Polis kagum tengok motor no plat RF. Mereka semua lagi kagum bila dengar kami datang berdua naik motor hanya kerana hendak makan daging bakar! Hahaha! Pakcik-pakcik Polis veteran semua datang untuk mesyuarat kerjasama 2 negara di Hatyai. Jadi ada pemandu pelancong bawa mereka ke sini kerana kemegahan masakan restoran ini! Aha!


Kami order daging, ayam, grill sendiri pakai dapur steamboat, ke som ikan siakap, telur itik dadar 2 biji, sayur kangkung dan kobis, cucur ikan, air Fanta 2 botol dan nasi putih 3 pinggang. Secara keseluruhan, memang daging dan ayam grill tersebut sangat sedap! Seolah-olah kenangan cinta pertama sewaktu berlari-lari ditepi pantai takala menyuap cebisan daging ke mulut! ( tiru scene dalam Gods of Cookery! Hehe) Heran juga bila diteliti hanya ada minyak bijan, begitu juga kuah sup campur kangkung dank obis yang kelihatan sangat ringkas tetapi mengena! Telur itik sangat sedap. Mungkin lebih dari 20 tahun saya tidak makan atau berjumpa dengan telur dadar itik! Ia seolah-olah kenangan sewaktu kanak-kanak di rumah tokwan dahulu berulang lagi! Huhuhu.




Yerp! Ada ralatnya. Rupanya masak ke som ikan siakap sangat pedas. Ektrim pedasnya. Kami tidak mampu makan melainkan Mad Duha membungkusnya dan repair dirumah nanti. Tambah air! Hehehe.

Keseluruhan hanya 420 baht. Okay! Berbaloi. Kenyang gila.

Kami terus ke Tammalang Port untuk tinjau suasana dan jamu mata. Motor aku bermasalah ketika tiba di sebuah lampu isyarat. Ia mati tiba-tiba dan gagal dihidupkan semula dengan electric starter. Jadi untuk setiap hentian. Saya guna kick starter. Letih! Ferry di jeti ini membawa penumpang ke Pulau Langkawi, Pulau Tarutao dan pulau-pulau berdekatan. Tambang ke Koh Langkawi adalah 180 baht. Sama sahaja harganya dengan ferry di Kuala Perlis. Itu bermakna jaraknya pun hampir sama. Ada sebuah teluk bernama Ao Phante Melaka. Tetapi kami tidak tahu di mana? 







Kami kemudian ke Masjid Mambang untuk solat jamak dan qasar. Kalau dari istilah Melayu kuno mambang adalah ‘jin’. Betul? Kemudian kami melawat Istana Tengku Kudin yang digazet sebagai Satun National Museum. Tengku Kudin bin Kumae dari Kerajaan Kedah Tua merupakan pemerintah asal Setoi. Istana ini telah diubahsuai oleh jabatan kesenian Thailand dengan pelbagai pengaruh dari Eropah termasuk Spain yang boleh jadi telah mencacatkan keaslian dan merosakkan sejarah Islam di situ. 





Setelah mengisi semula petrol yang tersangat mahal kami bergerak pulang dengan kelajuan maksima. Kami sampai di rumah tepat jam 4.20 petang. Mungkin di masa akan datang kami sempat ke Koh Lipe yang dihuni puak Moken, (digelar Gypsies Lautan Andaman) yang menjadi tarikan utama Setoi dan pelancong dari Barat kini. Koh Lipe dengan dibangunkan dengan pelbagai kemudahan memandangkan potensi yang dimilikinya.

Ringkasan perjalanan;

Petrol: Rm20
Border-Pass: Rm10
Tips Immigresin Thailand: Rm1
Makan: RM20
Jarak dari Kangar (return): 182 km
Masa: 4 jam 20 minit
Masalah: motor terus dibawa ke bengkel. Masalah pendawaian. Tiada bayaran. Lega!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan