Jumaat, 27 Disember 2013

PENANGGAL (2013)


Promosi yang rancak dan prebiu yang menarik mengenai filem ini hampir-hampir membuatkan saya menonton file mini di layar perak. Saya diselamatkan oleh Sly yang mempersembahan filem penulisan dan arahan terbaru beliau HOMEFRONT dibintangi oleh Jason Statham. Akhirnya saya berkesempatan juga menontonnya melalui DVD yang dibeli oleh adik pada malam ini.

Secara ringkasnya keseluruhan filem boleh saya nilaikan sebagai lemah, kebanyakan penonton mungkin berasa tertipu dengan kata-kata komersial dan strategi penerbit untuk melariskan filem yang diusahasama oleh gergasi perfileman tempatan Astro dan Grand Brilliance. Ia seperti sebuah projek mega yang pastinya memberikan sentuhan visual yang menakjubkan.

Tetapi ia hanya impian.

Namun saya mempunyai banyak aspek lagi untuk memuji filem tulisan dan arahan Ellie Suriati yang merupakan seorang aktor yang hebat dan berseni. Rasanya telah banyak sinopsis mengenai filem Penanggal ini telah diceritakan diakhbar-akhbar dan blog-blog. Saya terus kepada perkara yang patut diberi pujian;

- Ellie seorang penulis dan pengarah yang bertanggungjawab dan murni kaedah penceritaannya. Dimana kebanyakan penerbit dan penulis filem seram Melayu ketika ini rakus mengarang filem-filem tahyul dan khurafat. Semuanya mengenai si mati kembali menjadi hantu (roh kembali) yang menyimpang dari akidah Islam. Ellie menampilkan cerita hantu yang benar-benar nyata. Hantu yang wujud dari jelmaan syaitan hasil dari amalan ilmu hitam.

- Era filem ini boleh dikatakan zaman medieval nusantara, bermakna era Melayu paganism masih wujud. Syiar Islam yang telah sedia ada masih dalam proses untuk sebarkan secara sistematik. Jadi ia nampak logikalnya si Murni , Ummi Nazeera seorang kanak-kanak yang diselamatkan oleh ‘kadam’ Mak Ajeng yang merupakan seorang pengamal ilmu hitam setelah keluarganya mati dibaham harimau. Dibesarkan oleh dukun dan tinggal didalam hutan membuatkan Murni jahil agama. Ellie sering menekankan imbasan semula, Murni melihat budak-budak sebayanya pulang dari mengaji al-Quran. Ia memberi ekpresi Murni turut ingin menjadi normal dan menjadi sebahagian dari masyarakat sekelilingnya .

- Murni mewarisi ilmu hitam secara saka dari Mak Ajeng yang mati selepas membaham mangsa terakhir. Dihalau oleh orang kampung asal mereka dan ke sebuah rumah tinggalan Mak Ajeng dipinggir sebuah kampung yang penah dihantui Mak Ajeng suatu ketika dahulu dan turut diusir. Peliknya rumah ini tidak pula dibakar? Sedangkan kegemaran orang kampung zaman itu adalah membakar rumah dukun ilmu hitam. Dengan mengunakan sihir, Murni berupaya menutup pandangan orang ramai dari nampak rumahnya.

- Mengetengahkan kehadiran komuniti Arab di Tanah Melayu. Ellie bijak meletakan fungsi dua clans peranakan Arab-Melayu Al-Saggaff dan al-Attas apabila memperlihatkan mereka ini menyebarkan islah melalui perkahwinan antara clans dan masyarakat setempat serta usahawan hartanah yang menjadi pegembeleng ekonomi setempat.



- Syed Yusuff al-Attas digambarkan seorang yang sangat bertolak-ansur. Tidak menghukum, malah sempat mengajar syahadah kepada Murni yang jahil agama sebelum mati. Pujian patut diberi pada Ellie untuk babak ‘dakwah’ ini. Dakwah tetap berjalan pada sesiapa pun, malah hidayah Tuhan tetap akan sampai meskipun pada pendamping syaitan. Jika Dia kehendaki.

- Syed Yusuff yang warak juga tidak terlepas dari sihir. Sedikit logikal diterapkan. Murni juga seorang wanita yang ingin berpacar setelah sekian lama menghuni di hutan dan hanya berteman pak kadam nya. Jika filem Hollywood, watak Syed Yusuff pasti disihir hingga berselingkuh dengan Murni.

Aksi silat. Elok benarlah tahap yang ditunjukkan oleh Ellie sebab kareografi kita setakat ini masih belum boleh menampilkan kehebatan pencak silat dalam filem dengan salingan gerak acrobat. Aksi sebegitu boleh menaikan adrenalin penonton jika dibuat dengan baik seperti yang telah dilakukan produksi Thailand. Tetapi jika pengarah Malaysia menirunya, pasti jadi drama kung fu Hong Kong. Setakat ini masih belum ada yang berjaya.

Manakala perkara yang negatif dan perlu diperbaiki (memang tak boleh diperbaiki lagi tetapi untuk diteliti masa akan datang);

- Watak Fasha Sanda, Syarifah Zaharah berlari sana-sini mempamerkan buah dada yang mulus memang PERLU ada. Malah pengarah IQ genius seperti Quentin Tarantino turut memanipulasi aset wanita-wanita cantik dalam filem seramnya. Cuma tolong berikan sedikit ‘sense’ bagi watak Syarifah Zaharah tersebut, wanita Arab menemui tunangnya Syed Yusoff al-Attas di dalam bilik bersendiran. Dan kemiangan Syarifah Zaharah ingin mandii perigi malam-malam buta di kampung yang diserang Penanggal amat kurang wajar sekali!

- Syed Umar, adik kepada Syed Yusuff yang diolah sedikit bengis dan handal bersilat. Tidak memberi apa-apa impak. Sebaliknya clans al-Saggaff dan al-Attas tidak diketahui lebih hebat bersilat berbanding pendekar Melayu. Islah dan dakwah Tanah Melayu tidak sehebat Wali Songo yang memerlukan perjuangan senjata antara warga kufar tempatan.

- Apalah Ketua Kampung, Mahaguru silat,Latif Bogiba tunggukan? Sehingga menantunya, cucunya, anaknya, Yus Waisar mati baru mereka ingin bertindak? Jika dilihat anaknya sendiri pandai menyeru Penanggal untuk beradu kekuatan. Ketua kampung seharusnya telah mengetahui niat anaknya apabila melihat keris diselit dibelakang pinggang ketika keluar buat kali terakhir. Malah ketua kampung tidak kurang hebatnya bertarung dengan penanggal bersama Mahaguru dibabak-babak akhir. Maknanya JKK dari zaman purba hingga wujud Umno pun asyik leka ek?

- Seluruh kampung telah digemparkan dengan pembunuhan bersiri. Malah semua mengetahui kampung mereka diganggu Penanggal. Ellie telah mengabaikan suatu petua tradisi dan utama dalam mengelak gangguan penanggal. Duri dan runcing di bawah dan di tingkap rumah. Sekurang-kurangnya biarlah hanya rumah yang tidak berjaga-jaga sahaja diserang penanggal.

- Dukun sihir tempatan yang baru pulang dari menuntut. Tewas begitu sahaja dengan Murni apabila ular sakti diseru tiba-tiba membelit pak Dukun. Tiada drama. Sayang sekali, sepatutnya ada babak pertarungan disitu.

- Kerja CGI atau kesan visual berkomputer masih ditahap amatur. Permulaan cerita dimana sang pungguk bertenggek diranting pokok sudah kelihatan murah dan amatur. Inikan pula apabila kepala si Murni ingin putus dan terbang serta saat kepala kembali bersambung dengan badan. Ia hanya sekadar produksi tele-movie. Hey! Drama bersiri Supernatural, Grim, pun lebih teliti CGI nya?!

- Penanggal Ellie diberikan pertahanan diri berupa muntah asid seperti Alien. Namun pandangan yang terhad seperti penglihatan Predator. Pada pertarungan terakhir antara penduduk kampung zaman pendekar. Semua orang kampung hanya membawa keris dan obor. Tiada panah. Tiada lastik. Pendekar Melayu memang bangang, bukan tak tahu penanggal tu kan terbang?!

- Sinematografi? Biasa sahaja. Paling celaru dan gagal memberi keunikan semasa babak Murni keluar bersiar-siar pasar pagi. Sepatutnya teknik itu digunapakai sebagai pandangan mata Penanggal. Buka ketika babak tawar-menawar di pasar.

- Watak khadam sebagai pembantu kepada tukang sihir samada khadam itu terdiri dari jin atau manusia memang benar. Dan selalunya penyihir pasti mempunyai khadam. Tetapi apabila si khadam itu seperti hunchback of Notre Dame memang tidak seram lagi lah jadinya!

- Paling saya tertanya-tanya dalam filem ini. Mengapa pada babak permulaan cerita ini seorang budak melaungkan azan, kemudian orang-orang kampung turut ikut. Kemudian budak itu turut ikut ke dalam hutan ke pondok Mak Ajeng untuk membunuh penanggal. Apabila murni keluar, ketua kampung menunggu keputusan budak tersebut? Apa releven budak itu? Siapakah beliau. Hahaha! Ustaz budak kah?

Bintang: 2/5

Tiada ulasan:

Catat Ulasan