Isnin, 19 Mei 2014

YAK BOK TE! ZINE (MALAYSIA)



Saya mengetahui kewujudan Yak Bok Te! melalui rekomendasi Ahmad Nizang, DUM DUM TAK. Setelah meneliti beberapa lukisan Amin Landak, selaku pelukis dan penulisnya di laman facebook. Saya tertarik untuk membelinya. Walaupun telah beberapa minggu memesan zine ini hanya hari ini saya dapat menatapnya dan baca dengan penuh rakus. Bukan kerana khidmat penghantaran yang tidak cekap atau khidmat pelanggan yang cuai, Amin dari awal-awal lagi memaklumkan kepada saya beliau agak sibuk dengan rutin harian dan hanya ada kelapangan pada minggu ini untuk menguruskan Yak Bok Te!. Sekurang-kurangnya beliau bukan kaki rip-off!

Pertama sekali saya ingin puji kualiti lukisan beliau yang cantik. Tidak dicemari elemen anime, berprinsip dan punyai jati diri. Saya hormati sentuhan Amin Landak. Sketsa-sketsa beliau ringkas dan menyentuh hampir semua permasalahan sosial dan politik tempatan. Semua mesej sarcastik yang diketengahkan mudah difahami dan membuatkan saya tersenyum sendirian memikirkan realitinya.


Dalam isu # 1 Yak Bok Te! banyak memaparkan senario masyarakat tetapi untuk isu # 2, pena lukisan beliau lebih tajam dengan isu-isu semasa dan politik.

Saya berharap Yak Bok Te! zine akan kekal berkarya untuk banyak isu lagi dan menjadi antara satu bahan eksport dari Kelantan yang dikenali selain budu dan sticker ‘wajah tok guru’.

Yak bok te! adalah perkataan yang tidak mempunyai sebarang maksud dipinjam dari bahasa Kelantan. Ia sering disebut ketika melatah dan terkejut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan