Ahad, 22 Jun 2014

THE SECRET LIFE OF WALTER MITTY (2013)


Beberapa filem Ben Stiller sebelum ini adalah gagal sepenuhnya bagi saya. Tetapi aktor yang terkenal dengan filem komedi romantik kali ini kembali dengan sentuhan magis nya. Filem ini diterbitkan dan diarahkan oleh Ben Stiller sendiri ini digarap dari cerita klasik pendek karangan James Thurber. The Secret Life of Walter Mitty ini mengisahkan seorang lelaki bujang naïf yang berusia 42 tahun yang berkerja sebagai pengurus aset negatif bagi majalah LIFE. Walter dalam diam meminati seorang ibu tunggal, Cheryl (lakonan Kristen Wiig) yang baru bertugas di pejabat beliau dan cuba untuk mendekati melalui sesawang cari jodoh e-Harmony.

Walter seorang yang bermasalah psikologi, iaitu beliau kuat berangan –day dreamer. Dan masalah Walter semakin rumit apabila pengurusan majalah LIFE memutuskan untuk membuat rombakan besar-besaran bagi menutup bahagian-bahagian tertentu terutamanya unit cetakan bagi mewujudkan majalah elektronik. LIFE akan menerbitkan isu cetakan yang terakhir dengan kulit depan dari jurugambar tersohor Sean O’Connor. Lebih rumit, Walter telah menghilangkan negatif no.25 yang harus dijadikan kulit majalah LIFE yang terakhir dicetak sebelum dibubarkan unit tersebut.

Walter akhirnya memberanikan diri mendekati Cheryl, dan atas dorongan wanita itu dan motivasi untuk menyiapkan tugas terakhirnya. Walter memulakan pengembaraan menjejaki Sean yang old school, tidak ada rumah tetap, tiada telefon, dan tiada kamera digital. Walter menjejak Sean berdasarkan klue-klue dari foto-foto yang datang bersama pakej surat yang dihantar oleh Sean termasuk sebuah dompet yang dihadiahkan kepada Walter sebagai penghargaan atas kerjasama mereka berdua selama ini. Walter berharap negatif itu tidak dikirimkan padanya dan masih berada ditangan Sean.

Padahal negatif no.25 telah Sean selitkan dalam dompet yang dihadiahkan pada Walter sebagai kejutan dan teka-teki. Namun Walter yang tidak dapat merungkai teka-teki nota dari Sean dan kecewa apabila gagal menjejaki Sean di Iceland lalu bertindak membuang dompet tersebut.

Siri-siri pengembaraan Walter memang unik, tidak logik dan lucu. Tetapi sangat menghiburkan , manakala penekanan dalam kerja grafik serta CGI sangat-sangat mengkagumkan. Saya sendiri tidak pasti samada lanskap-lanskap Himalaya, Iceland, Afghanistan, itu benar atau tidak. Ia menakjubkan. Terdapat aksi Ben Stiller bertumbuk dengan Adam Scott yang memang ganas dan penuh akrobat tetapi ia cuma mimpi dan aksi-aksi skateboarding ketika mengajar anak Cheryl dan menuruni lereng gunung berapi kelihatan seperti benar-benar dimainkan oleh Ben Stiller.


Pemilihan runut bunyi terutamanya dari David Bowie “Major Tom” adalah pemilihan yang cukup sempurna dengan watak Walter yang kaki khayal. Malah Adam Scott yang merupakan pengurus unit online majalah LIFE mengelar Walter sebagai Major Tom. Tiada unsur lucah atau anti-agama dalam filem ini, ia sesuai untuk tontonan keluarga dan santai. Filem seperti ini memberi harapan pada dunia percintaan dan kebahagiaan… hehehe apa aku mengarut ini, semakin sentimental pulak dah! Ben Stiller jelas semakin berumur, dah beruban namun masih kekal macho dan romantik.

Kisah Walter walaupun dibuang kerja dan jatuh miskin tetap berakhir dengan kegembiraan kerana dia berjaya juga menawan hati wanita pujaannya.

"TO SEE THE WORLD, THINGS DANGEROUS TO COME TO, TO SEE BEHIND WALLS, TO DRAW CLOSER, TO FIND EACH OTHER AND TO FEEL. THAT IS THE PURPOSE OF LIFE".


Bintang: 4/5

Tiada ulasan:

Catat Ulasan