Sempena Hari Raya Eid-Fitri 1435H ini rasanya bosan juga dengan posting-posting mengenai muzik lasak dan menongkah arus perdana. Sebagai berkongsi kegembiraan di hari lebaran, eloklah saya berkongsi resipi ayam bakar yang diciptakan khas untuk menjamu selera bersama keluarga. Saya namakan resipi ini AYAM PANGGANG PAWANG RIMAU untuk memberikan aroma ‘heavy metal’ kepada sajian ini. Silalah mencuba;
BAHAN-BAHAN
Seekor ayam siap di potong
1 labu bawang putih
6-9 batang serai (lebih banyak lebih baik, saya suka banyak)
2 labu bawang besar
4 inci halia
3 sudu serbuk jintan kasar
3 sudu serbuk jintan halus
3 sudu serbuk ketumbar
6 sudu madu atau gula melaka (ikut citarasa masing-masing)
3 sudu lada hitam
3 sudu Caynne Pepper (ganti serbuk lada biasa pun ok)
Garam secukup rasa
2 sudu sos tiram
3 sudu cuka epal
Penyembur minyak biji bunga matahari (kalau susah dapat ganti dengan mentega)
KAEDAH
Kukus atau rebus ayam tanpa air dalam jangka masa yang singkat (dalam 5 minit) agar isi dan kulitnya menjadi melekit supaya mudah menyerap rempah ratus.
Kisarkan bawang putih, bawang besar, halia, serai, serbuk jintan, ketumbar, lada hitam, sos tiram, cuka epal, garam, Caynne pepper sehingga sebati tetapi jangan terlalu lumat.
Gaulkan rempah yang dikisar itu bersama ayam yang telah direbus atau kukus. Setelah sebati. Tuangkan madu atau gula melaka. Kemudian gaulkan semula. Seterusnya perap di dalam peti sejuk selama 4 jam.
Bakar dengan dapur arang untuk mendapat hasil yang menyeramkan. Sembur minyak biji bunga matahari semasa memanggang dan mengolek ayam di atas bara.
Sajian untuk 2 orang sahaja jika anda metalhead sejati. Orang biasa 6 orang.
resipi: Raimi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan