Sabtu, 2 Ogos 2014

MENJEJAKI PATTANI DARUSSALAM


MUSAFIR MERENTAS PATTANI, SUNGAI KOLOK, RANTAU PANJANG KE KOTA BHARU

Saya sebenarnya telah lama ingin menulis mengenai Kesultanan Melayu Pattani dan apa yang mereka hadapi zaman berzaman. Tetapi kelayakan untuk menulis bagai tidak saya miliki kerana saya belum pernah menjejak kaki ke wilayah tersebut yang asalnya adalah sebuah negara berdaulat. Mana tidaknya negara, mereka pernah mempunyai Sultan dan kerajaan sendiri yang lebih awal dari kerajaan Melaka. Keinginan untuk mengembara ke sana saya pendam hari ke hari hinggalah pada hari Raya keempat 1435H bersamaan (Khamis) 1 Ogos 2014 ini tanpa sebarang perancangan rapi dan keadaan tergesa-gesa. Saya bersama seorang sahabat lama, GG Buntal tergerak hati untuk ke Kelantan dengan meredah wilayah bergolak Selatan Thailand ini. Saya dan GG Buntal telah berkawan sejak 22 tahun yang lalu. Masing-masing dengan haluan sendiri, GG Buntal aktif dengan dunia sukan motor dan dagangan alat ganti motor manakala saya dengan kerja sosial. Kami bertemu semula secara kebetulan kerana urusan mengimport alat ganti motor dari Thailand dan secara kebetulan kami terdetik untuk mengembara ke Kelantan melalui jalan Siam. Namun bagi saya perjalanan ke Pattani adalah yang utama dan sangat diidamkan. Kami berdua tidak pernah ke Pattani sebelum ini. 

SOSIAL DAN PENGARUH MASYARAKAT PATTANI

Bercerita mengenai Pattani, sebagai orang Perlis kami memang tidak asing lagi dengan masyarakat Pattani. Suatu ketika dahulu, arwah datuk saya mengupah orang-orang dari Pattani apabila tiba musim menanam padi di sawahnya. Restoran masakan panas di seluruh Kedah-Perlis hampir semuanya dikuasai mereka selain restoran India. (hatta hingga ke Mekah jika anda mahukan masakan Melayu ia diusahakan oleh orang Pattani). Malah banyak orang-orang Perlis mempunyai sanak-saudara dan keluarga dari rumpun Pattani. Hebatkah Pattani? Memang hebat! Mereka diantara Kerajaan Melayu-Siam paling tua di nusantara, merupakan pusat pemasyhuran institusi pondok yang digelar “CERMIN MEKAH”. Kehebatan orang Pattani dilihat dari bagaimana mereka mempertahankan bahasa Melayu, rakan-rakan Siam saya sendiri memaklumkan ada beberapa kampung di Pattani yang langsung tidak mahu bertutur dalam bahasa Thai. Wanita-wanita mereka mempertahankan hijab sebagai identiti dan fasyen kebanggaan. Mereka memartabatkan sekolah-sekolah pondok. Meletakkan ulama ditempat yang tinggi. Kebanyakan mereka tinggi budi bahasa, dan jarang sekali kita jumpa orang Pattani yang ‘bachul’ dikalangan lelaki. Jati diri mereka yang kuat pada akar umbi Islam hingga setiap orang Siam yang beragama Islam pasti dipanggil orang Pattani. Dan darah kepahlawanan mereka yang agung dibuktikan dengan kewujudan pusaka Meriam Seri Pattani, Silat Gayong Pattani dan juga Tomoi.

Walaupun kebanyakan gadis-gadis Pattani yang berhijrah ke Malaysia rosak menjadi tempat mangsa penyakit sosial dan tempat melampias nafsu lelaki-lelaki tempatan. Jangan kita meletakan mereka semuanya di kelas yang sama. Saya pernah bertanya, kenapa mereka tidak bersetuju dengan kerajaan Thailand selain memperjuangkan kemerdekaan atau menuntut hak autonomi ke atas Pattani. Mereka menjawab, Thailand bertindak mendiskriminasi penduduknya mengikut agama. Wilayah Pattani mundur dari kemajuan, anak-anak Pattani walaupun cemerlang akademik dan berpendidikan tinggi hanya berpeluang tipis untuk mendapat pekerjaan di sektor kerajaan apatah lagi pentadbiran. Warga Pattani lebih digalakkan menceburi bidang pertanian. Manakala anak-anak muda bergantung pada Malaysia samada melibatkan diri dalam dagangan barang atau berhijrah untuk berkerja di Malaysia.

SEJARAH KEJATUHAN KERAJAAN MELAYU PATTANI

Menurut Nik Anuar Nik Mahmud (Pensyarah Sejarah dan Pengerusi Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, UKM). Kerajaan Pattani Darussalam wujud sejak abad ke -19 dan dicemburi oleh jiran terdekatnya, Kerajaan Sukho-Thai. Walaupun berusaha beberapa kali untuk menaklukinya, mereka gagal sehinggalah akhirnya mereka berjaya menakluki negara Pattani pada tahun 1785 dengan bantuan British. Manakala Sultan Kedah, Sultan Abdullah menyerahkan Pulau Pinang kepada Kompeni Hindia Timur Inggeris pada tahun 1786 sebagai ganjaran bagi mempertahankan Negara Kedah dari Sukho-Thai. Sebaliknya British membelot apabila Thai menyerang pada 1821. Gerakan anti-Thai bermula di Kedah, pejuang Melayu Kedah dan Pattani berjaya membebaskan Kedah-Pattani pada 1830-an, tetapi campurtangan kompeni yang membuat sekatan di Kuala Kedah (seperti yang diriwayatkan oleh Sherard Osborn, bukunya The Blockade of Kedah in 1838) berjaya melumpuhkan pejuang Kedah-Pattani. Sheikh Daud bin Abdullah al Fatani, ulama besar Pattani bangkit dengan fatwa jihad ke atas Thai yang dianggap kafir harbi (kafir yang menganggu negara Islam) menyemarakan perjuangan Melayu yang menyebabkan British mengkaji semula kerjasamanya dengan Thai. Dalam sejarah Kedah menceritakan Mufti Kedah, Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani mengutus surat kepada Sheikh Abdus Sahamad di Mekah memaklumkan umat Islam Pattani sedang berjihad mempertahankan agama dan watan (negara) mereka. Sheikh Abdus Sahamad kembali ke Pattani bersama beberapa orang panglima Melayu untuk membantu gerakan jihad . Ada catatan menyatakan Sheikh Abdus Sahamad berfungsi bukan sebagai panglima tetapi bertindak sebagai ulama sufi bertasbih, bertahmid, berzikir dan berselawat mengiringi para panglima berperang. Bagi pengikut tasawwuf mereka mendakwa Sheikh Abdus Sahamad ghaib dalam peperangan. Bagi yang tidak. Sheikh Abdus Sahamad dikhabarkan gugur sebagai syuhada.

Kebangkitan jihad yang tidak pernah luntur itu telah mengugat perdagangan kompeni di Melaka. Gabenor Negeri-Negeri Selat, Bonham menasihatkan Rama III menyerahkan kembali kuasa memerintah kepada Raja Melayu. Tanpa sokongan kompeni Thai tidak akan dapat menahan kebangkitan pejuang Kedah-Pattani. Atas nasihat itu, pada tahun 1842 Rama III mengembalikan kuasa kepada Raja-Raja Melayu.

Pada hujung abad ke-19, kedamaian mula tergugat apabila Chulalongkorn bertekad menghapuskan pemerintahan Raja Melayu dan mengantikan dengan sistem ‘Thesaphiban’. Raja-Raja Melayu membantah dan malah merayu British di Negeri-Negeri Selat dan Negeri Melayu Bersekutu untuk membantu dan menghalang Thai, jika tidak mereka akan meminta bantuan kuasa-kuasa Eropah yang lain. Gabenor Frank Swettenham berjanji untuk berunding dengan Chulalongkorn namun gagal, sebaliknya Chulalongkorn menangkap Raja-Raja Melayu atas tuduhan derhaka dan bersubahat dengan kuasa asing. Maka sejak 1902 Pattani dan beberapa negeri sekitarnya telah ditadbir oleh Gabenor Thai. Raja-Raja Melayu ditipu lagi. British kemudiannya mengiktiraf Pattani, Narathiwat, Yala, Setul, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu sebagai The Siamese Malay States walaupun sedar orang Melayu menentang.

Bagaimanapun kebimbangan orang Melayu akan bangkit berjihad dengan bantuan kuasa Eropah yang lain, membuatkan British mendesak Thai menyerahkan kesemua negeri Melayu itu kepadanya. Namun Thai hanya bersetuju menyerahkan Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah kepada British. Perjanjian penyerahan di Bangkok pada 10 Mac 1909 menyaksikan Sungai Golok dijadikan sempadan baru antara Thai dan Tanah Melayu. Pattani terpisah dengan negeri-negeri Melayu yang lain, dan mereka menjadi rakyat Thai secara paksa kerana ketika itu penaklukan diterima pakai undang-undang antarabangsa untuk memiliki jajahan. Pattani menjadi mangsa undang-undang antarabangsa yang tidak adil.

Orang Pattani seterusnya menerima layanan buruk apabila ditakbir sebagai koloni bukan sebagai sebahagian dari Thailand, zaman pemerintahan Field Marshall Pibul Songgram, seorang tentera dan pelampau nasionalis telah memaksa orang Melayu menukar nama, bercakap bahasa Thai dan mengamal kebudayaan Thai termasuk menghormati patung Buddha yang bertentangan dengan akidah Islam. Orang Melayu yang ingkar akan dihukum berat. Selalunya yang menjadi mangsa adalah para ulama.

Bagaimanapun peluang untuk pembebasan kembali bersinar apabila Thai bersubahat dengan Jepun menyerang Tanah Melayu, Burma dan merampas semula Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah pada 1943. Orang Pattani percaya apabila tamat perang, Thai akan dihukum British dan dapat membebaskan Pattani.

Apabila perang tamat pada 1944, pemimpin Pattani merayu kepada British supaya mereka dibebaskan dan dicantumkan dengan Tanah Melayu. Tetapi ditolak atas alasan mereka bukan rakyat British. Lagipun British memerlukan Thai sebagai negara penampang apabila munculnya pemberontakan Parti Komunis Malaya. Tanpa Thai, British akan menghadapi kesukaran untuk mengalahkan komunis.

Keadaan darurat itu telah digunakan Thai untuk menindas dan menekan pemimpin Melayu. Guru Haji Sulung, ulama Pattani terkenal ditangkap dan dibunuh hanya kerana memohon status autonomi kepada Pattani. Tengku Mahmud Mahyideen yang memperjuangan percantuman Pattani dengan Tanah Melayu diracun hingga maut. Askar Thai membunuh penduduk kampung tidak bersalah seperti di Kampung Belukar Samak dan Dusun Nyior. Masyarakat dunia tidak ambil peduli walaupun rayuan demi rayuan dikemukan pada PBB, Liga Arab, Pakistan, Mesir dan lain-lain. Malah mereka dinasihat meninggalkan Pattani dan berhijrah ke Tanah Melayu jika tidak tahan berada dibawah pemerintahan Sukho-Thai.

Orang Pattani adalah masyarakat yang sabar dan beriman. Tuntutan pembebasan mereka dituduh sebagai usaha untuk mengganas. Ketidakadilan yang diterima membawa kepada tertubuhnya pertubuhan-pertubuhan yang memperjuangkan kemerdekaan Pattani, seperti Barisan Revolusi Nasional, Barisan Nasional Pembebasan Pattani, Pattani United Liberation Organisation dan banyak lagi yang bermula sejak 1960-an.

Perjuangan orang Melayu Pattani jika dikaji, begitu banyak persamaan dengan penindasan saudara-saudara kita di Chechen yang bertarung dengan kuasa hebat Russia dan Palestine yang menentang kuasa buas Zionist Israel. Bagaimana anda rakyat-rakyat Malaysia mahu membantu Palestine? Sedangkan saudara serumpun bersebelah negara ini dibunuh dan dihina pun kita tidak mampu berbuat apa-apa? Bahkan hendak berkelana ke dalam wilayah yang penuh dengan kereta kebal, kubu, artileri pun anda dah fikir hidup dan mati?

Tolonglah kembali ke realiti. Sedar kemampuan diri.

PERJALANAN

Kami masuk ke Thailand melalui pintu sempadan Padang Besar kira-kira jam 4.00 petang mengunakan Triton dan minyak yang telah diisi penuh. Pintu sempadan Padang Besya (sebelah Thailand) dikawal oleh pihak tentera disebabkan terdapat rusuhan dari penyeludup-penyeludup petrol dan diesel disitu beberapa hari lalu. Tiada siapa ditembak dan dikasari kerana ia bukan melibatkan sentimen agama. Keuntungun penyeludupan subsidi minyak pula berpihak kepada Thailand. Maka perusuh terselamat. Disebabkan kami belum pernah ke wilayah Pattani dan tidak mempunyai kelengkapan GPS. Kami ke kedai telekomunikasi untuk membeli sim kad telefon Thailand. Saya telah mempunyai sim kad DTAC yang saya beli semasa ke Bangkok untuk menonton tour BEHEMOTH yang masih aktif dan hanya perlu tambahnilai. GG Buntal mendaftar AIS yang dikatakan laju capaian internet dan GPRS bagi kawasan Selatan Thai. Hampir sejam kami di kedai dan cuba untuk mendaftar dengan bantuan jurujual kad tersebut namun tetap gagal. Kami bergerak ke Ban Khlong Ngae yan popular dengan pasar pakaian terpakai (bundle) dan memecut dengan kelajuan 100-120 kmph menyusuri jalan kampung/dusun. Disepanjang perjalanan kebanyakan penduduk beragama Islam, kegiatan ekonomi mereka tertumpa pada ladang getah, hasil dusun, menganyam atap nipah, membina gazebo buluh, terdapat sebuah masjid agam yang sedang dalam pembinaan di kawasan pedalaman ini. Seni binanya indah, pintu gerbang di ukir 2 bilah keris gergasi tercacak ke tanah dan 2 buah meriam Seri Pattani di luar gerbang. Rasanya anda boleh singgah dan bersolat disini pada Hari Raya Aidil Adha nanti. Kami sampai di daerah Nathawi kira-kira jam 5.20 petang. Talian DTAC saya langsung tidak mempunyai capaian bermula disini hingga sepanjang perjalanan, begitu juga talian AIS milik GG Buntal yang hanya boleh membuat panggilan tetapi langsung tiada capaian internet. Memandangkan GG Buntal bukan metalhead, terpaksalah saya mendengar radio Era dan Sinar FM. Ya, sejak tentera memerintah Thailand, rangkaian radio Malaysia boleh didengari dari seluruh wilayah selatan Thailand. Mungkin pihak tentera Thailand menaiktaraf sistem capaian gelombang radio bagi mengesan aktiviti-aktiviti pemisah. 










Bagi yang tidak peka, sebuah bom kereta telah diletupkan di pekan Betong minggu lalu dan seorang bilal ditembak ketika perjalanan pulang dari masjid beberapa minggu lalu. Wilayah Pattani tidak akan aman seperti yang dijanjikan pemisah Pattani, kekejaman tentera Thai yang membunuh beramai sanak saudara mereka di Matsayit Krue Se (masjid Kerisek), Masjid al-Furqan dan Tak Bai pasti akan dituntut bela. Darah dibayar darah. Jadi disepanjang perjalanan kami hingga ke Nathawi ini, boleh dikatakan kami telah melepasi hampir 20 sekatan tentera, berselisih dengan berbagai-bagai kereta perisai, jeep dan trak yang lengkap dengan senjata berat. Sekatan juga dilakukan dilorong-lorong kampung. Boleh dikatakan kebanyakan tentera bersikap agak mesra, iyalah setiap sekatan hanya menempatkan 4-5 orang tentera. Jika mereka bersikap bengis dan sombong dikawasan asing bagi mereka sudah tentu buruk padahnya. Bukan mereka yang memerhati gerak laku penduduk. Sebaliknya gerak geri mereka yang dipantau penduduk. Silap langkah pasti maut. Begitu juga kami sebagai rakyat Malaysia, tentera boleh sahaja menembak kami tanpa sebarang sebab. Thailand dibawah pemerintahan mereka. Pattani kawasan merah. Tembak! Jika salah letakkan senjata api pada mayat sebagai bukti si mati adalah penganas. Tetapi kita orang Melayu Islam, kami megah. Maut hanya Tuhan yang tentukan. Kebanyakan penduduk memberikan kerjasama yang baik bila ditanya panduan jalan walaupun papan tanda jelas. Kami hanya ikut arah ke Narathiwat. 2 orang penduduk yang kami tanya, kedua-duanya ada parang tersedia di dalam bakul motorsikal. Menandakan mereka sentiasa sedia untuk sebarang kemungkinan. 











MASJID KERISEK

Hajat untuk bersolat di sini akhirnya dimakhbulkan Tuhan. Rasa gembira tidak kepalang bila melihat kelibat rumah ibadat ini dari jauh. Hari ini juga menempatkan sebuah tapak pasar malam bersebelah masjid ini. Suasana agak meriah. Tempat ini menjadi seolah-olah kawasan tarikan pelancong, banyak remaja-remaja tempatan yang riadah disini. Kebanyakan gadis-gadis masih lagi memakai pakaian hari raya. Saya menunaikan solat jamak Zohor-Asar di sini. Kolah air wuduk nya masih mengunakan sumber air telaga. Dindingnya jelas mencoretkan kisah perjuangan panglima Islam. 





















Menurut sejarah dari sarjana Thailand, Masjid Krue See dibina pada tahun 1583 dan pembinaannya terbengkalai kerana perebutan kuasa antara Sultan Pattani dan adiknya. Manakala lagenda siam pula memberi elemen khurafat dengan mengatakan masjid ini tidak dapat disiapkan kerana terkena sumpahan adik kepada pemerintah Pattani ketika itu kerana tidak restu abangnya memeluk agama Islam. Manakala penduduk sekitarnya terdiri dari masyarakat Jawa, Melaka dan Arab.

Manuskrip Hikayat Siantan, menyebut tentang seorang bangsawan dari China yang bernama Lim Tai Kim melarikan diri ke Siantan kerana konflik diraja dan diberi perlindungan oleh Sultan Johor. Pada usia 22 tahun beliau berangkat ke Pattani dan memeluk Islam dan menukar nama kepada Ya’qub. Beliau berkahwin dengan kerabat Diraja Pattani bernama Raja Cik Cahaya. Oleh kerana kebijaksanaan yang dimiliki, beliau telah dilantik menjadi Syahbandar dan turut menjadi arkitek pembinaan masjid Kerisek. Pelat Pattani menyebabkan Ya’qub menjadi Aqub, Aqub, Aguk dan lama-kelamaan kekal sebagai Tok Aguk. Tok Aguk meninggal dunia pada tahun 1568 dan dikuburkan di Tanjung Aguk.

Sejarah Negara Kedah (suatu ketika dahulu Kedah adalah negara) merakamkan Tun Syaaban ( lebih dikenali sebagai Hang Tuah) pernah berkhalwat dan iktikaf di masjid Kerisek sewaktu dalam operasi mengejar rombongan Raja Bersiong yang melarikan diri ke Siam. Maka tidak hairanlah masjid Kerisek turut dikenali sebagai “Pintu Gerbang Hang Tuah”.

Jika ditanya adakah saya mempercayai kewujudan Tun Syaaban? YA. Saya percaya kisah beliau digarap sebagai mitos kerana menjadi ancaman kepada monarki dan seterusnya penjajah Belanda, British, juga tidak mahu kisah patriotik dan kepahlawanan beliau menjadi aspirasi kebangkitan orang Melayu.

Kisah kepahlawanan memang sudah tertulis di tanah Pattani, Raja Haji pahlawan dunia Melayu paling agung juga pernah belajar agama dari Syeikh Ali bin Faqih yang berasal dari Pattani. Kehebatan Raja Haji mengalahkan Tun Syaaban/Hang Tuah dan pahlawan nusantara yang lain kerana kebolehan beliau berperang bukan sahaja di daratan tetapi juga di kawasan maritim. Kisah beliau juga tercatat sebagai sejarah yang dibuktikan dengan data dan fakta.

Kajian dari sarjana UKM, menafikan teori masjid kerisik adalah sebuah bangunan yang tidak siap. Tinjauan mereka menunjukan konsep binaan dan susunan batanya mirip Timur Tengah manakala gerbang dan tingkap menyerupai konsep moor di Sepanyol. Nama Kerisek juga dikesan mempunyai mempunyai pengaruh Jawa kerana ulama-ulama Jawa turut datang belajar di Pattani selain di Pasai, Acheh. Nama Gresik di Surabaya yang terdapat makam Syeikh Malik Ibrahim (wali Songo) mirip kepada Krisik di Pattani. Terdapat persamaan antara Masjid Kudus yang dibina Sunan Kudus dan Masjid Kerisek. Pintu gerbang Masjid Kudus mirip binaan Gapura, malah mereka mengunakan putih telur mengantikan peranan simen bagi menyusun batu bata.

Apa yang benar-benar menaikkan nama Masjid Kerisek bukan kaedah binaan, bukan Hang Tuah, bukan Sheikh Abdus Sahamad, bukan Tok Aguk. Tetapi ia adalah tragedi berdarah yang menjadi parut dan titik kebangkitan jihad gerilla yang tidak akan padam lagi.

Pada 2002 risalah seruan jihad di Pattani telah dikeluarkan seorang guru bagi memperingati generasi muda mengenai tanggungjawab mereka terhadap agama dan tanahair. Pergerakan ini telah dikesan kerajaan Thai dan pada 28 April 2004 sejarah telah merakamkan peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Masjid Kerisek. Peristiwa ini berlaku sewaktu jemaah baru sahaja menunaikan solat, tiba-tiba mereka dikepung oleh tentera Thai. Mereka dengan kejam membunuh jemaah masjid Kerisik yang tidak bersenjata walaupun perintah General Chaovalit hanya mengepung dan berunding. Perintah bunuh datang dari istana Raja Thai melalui General Panlop Pinmanee. Seramai 34 orang pemuda Pattani berumur 16 hingga 34 tahun telah gugur syahid. Mereka ditembak dengan senjata berat. Malah helicopter Apache turut digunakan untuk menjatuhkan bom di kubah masjid. Korban ini menjadikan api perjuangan pembebasan rakyat Pattani semakin marak. Kejadian ini berlaku semasa pemerintahan Perdana Menter Thaksin Sinawatra.

Seandainya peristiwa ini tidak melibatkan orang Melayu Islam, sudah tentu penyelesaian yang lebih baik akan diambil. Ini dibuktikan dengan apa yang sedang berlaku di Bangkok. Walaupun penunjuk perasaan merampas kereta perisai dan merampas Parlimen tetapi mereka masih belum ditembak dan dianiaya.

Jika anda pernah membaca travelog saya ke Setol @ Satun sebelum ini mengenai kecantikan gadis di sana. Apabila menjejakkan kaki ke Pattani hari ini. Tidak boleh disangkal lagi, kata-kata orang itu salah. Gadis-gadis dari wilayah Pattani ini lebih cantik dan anggun pada pandangan saya.

Kami berhenti di Masjid Kerisek kira-kira 30 minit sebelum meneruskan perjalanan. Dan singgah di Tesco Lotus untuk membeli makan ringan dan minuman. Kira-kira 1 KM dari Tesco Lotus (bukan hypermart tetapi kedai runcit biasa) Nathawi ini terdapat 7 Eleven, yang saya kira satu-satunya perusahaan franshais yang terdapat (mungkin ada lagi di dalam-dalam kampung, tetapi mustahil?) di daerah Nathawi, Thepa dan Nong Chik. Begitu juga dengan stesen minyak, jika anda mempunyai masalah pundi kencing. Sudah tentu bahaya. Boleh dikatakan kubu tentera lebih banyak dari fasiliti awam di sini. Anda akan sedari betapa sukar untuk kita jumpa sekolah pendidikan sekular, stesen bas, stesen petrol, pondok bas, kedai telekomunikasi, bank atau mesin ATM, bengkel kereta (tetapi ada sebuah kedai half-cut trak dan 4x4 di Yaring atau Sai Buri), atau restoran esklusif. Kebanyakan kedai-kedai makan di sepanjang jalan diusahakan oleh orang Islam, jadi jangan risau untuk singgah. Tetapi kebanyakannya hanyalah warung seolah-olah zaman purba seperti filem-filem Melayu klassik. Namun saya pasti makanannya sedap sekali. 








Wilayah Pattani adalah kawasan Thailand paling kaya dengan sumber dan menurut laporan dari blogger Siam, hampir 35% bahan export Thailand diperah dari wilayah ini. Namun Pattani yang beratus tahun ditadbir Thailand tetap kekal sebagai daerah paling mundur dan termiskin di sana.

Dari pemerhatian saya pada setiap kubu-kubu dan sekatan tentera yang mana kami terpaksa lalui hampir 50-60 sekatan. Sukar untuk saya terima jika kerajaan Thai menyatakan segala yang mereka buat ini adalah sesuatu program bagi mencapai perdamaian. Ini bukan lagi politik biasa atau isu perkauman sebaliknya ia adalah konflik agama. Jika tidak masakan kubu-kubu kebanyakannya didirikan di wat-wat, manakala jika anda amati segala siri pembunuhan yang berlaku pasti media dan kerajaan Thai akan kaitkan dengan pemisah. Pihak tentera akan melaporkan siri-siri pembunuhan seperti tembakan rambang di masjid al Furqan di Narathiwat ( pada 8 Jun 2009 – 11 orang jemaah mati di tembak ketika sedang rukuk) adalah rancangan pemisah Pattani untuk mengapi-apikan kebencian antara pengikut Buddha dan Islam. Dan yang terkini pada hari pertama bulan Ramadhan pertempuran telah berlaku mengakibatkan kematian 3 orang anggota polis daerah Takbai, 10 orang lelaki bersenjata turut merampas rifle dan pistol mereka. Insiden pada tahun 2014 ini bermula tegang kembali apabila 3 orang kanak-kanak berumur 3-9 tahun ditembak mati didepan rumah selepas pulang dari masjid pada Februari lalu. Ibu mereka yang sedang mengandung dan ayah juga ditembak di rumah tetapi terselamat. Rentetan dari itu, bermula kejadian membalas dendam, seorang isteri anggota polis ditembak dan dibakar ditengah pasar.

Jika dikaji semula dan kefahaman tentang apa yang dilakukan orang pemisah Pattani adalah jihad, bahkan tiada seorang pun yang AKAN SETUJU jika dikatakan pelampau Islam yang membunuh orang Islam sendiri ketika sedang solat di rumah ibadat sendiri. Nabi Muhammad sendiri melarang tenteranya membunuh orang KAFIR yang berlindung di rumah ibadat mereka ketika peperangan. Ia hanyalah putar belit media dan kerajaan Thai bagi menghalalkan operasi mereka dan mereka sendiri melabelkan pemisah Pattani adalah golongan yang sesat dalam kefahaman Islam.

Seperti Amerika yang menyerang Iraq dan Israel yang menyerang Palestine. Pihak Thai mengiklankan kepada dunia bahawa mereka dipihak yang betul dan bukannya penakluk yang kejam. Bagaimana Amerika mengambarkan tentera-tentera mereka kononnya berlaku ehsan, berbudi-bahasa dan suka membantu penduduk-penduduk setempat digambarkan agar mata-mata asing kabur sebagaimana mereka mengaburi kesan sejarah kerajaan Pattani yang merdeka. Boleh dikatakan setiap kubu-kubu tentera yang utama, mereka akan hiasi dengan billboard yang menunjukan tentera-tentera Thai bersalaman dengan ulama-ulama, tentera makan ais krim bersama kanak-kanak, tentera membantu warga emas malah di satu tempat itu, (kalau tidak silap daerah Yaring ) terdapat satu poster kartun tentera dengan wajah yang comel dengan tangannya menunjukkan simbol ‘I LOVE YOU’. Anda fikir ini membantu? Poster-poster ini dapat menghilangkan apa yang mereka lakukan pada kanak-kanak, masjid, orang-orang kampung yang tidak berdosa dan tidak bersenjata?

Saya mendapat tahu kebanyakan ahli-ahli keluarga mangsa-mangsa yang dibunuh turut melarikan diri ke Malaysia kerana bimbang akan diburu bagi menghapuskan generasi yang bakal bangun menuntut bela dan berjihad. Oleh sebab itu kerajaan Thai sering menuduh kerajaan Malaysia menyokong dan menaja pihak pemisah Pattani.

Kembali pada daerah Yaring, Yarang, Mayo, Panare, Sai Buri sebelum tiba ke daerah Takbai dan Ba Cho. Kami melalui kawasan bersebelahan pantai. Alangkah seronoknya jika mempunyai kenalan di daerah ini atau kawasan ini dibangunkan dengan pekan-pekan kecil yang mempunyai kemudahan-kemudahan hotel atau sebagainya. Namun jika anda bertolak awal pagi dari Padang Besar atau Bukit Kayu Hitam rasanya tidak mustahil untuk anda melawat pandai-pantai di Yaring dan Panare. Antara kawasan pantai yang sempat saya lihat petanda arah di jalan-jalan adalah Talo Kapo Beach, Panare Beach, Wadsukri Beach dan banyak lagi. Ketika menyusuri daerah-daerah ini merentas kampung-kampung seperti Ban Donrak, Ban Tanyong, Ban Kala Poe, Ban Batu, Ban Cha Pa Ko, Ban Ka Lu Pae, yang menjadi satu hiburan menyebutnya ada satu macam perasaan gembira bila melihat masjid yang unik-unik dan ada yang sangat besar dan megah berdiri di setiap 1KM.

Itu baru anda lihat di jalan besar, sebenarnya di dalam kampung yang rapat-rapat rumahnya pun ada terselit masjid. Kami sebenarnya tersasar jauh ke dalam kampung ketika di masjid Kerisek tadi dan terpaksa bertanya arah kepada orang tempatan untuk keluar semula ke jalan besar. Semua orang di sini baik-baik belaka apatah lagi bila tahu kami dari Perlis. Keadaan dalam kampung di sini mengingatkan saya seperti suasana di Indonesia.

Ketika kami makin menghampiri Takbai, Ba Cho ketika itu jam Malaysia dah menghampiri 9.00, kami berhenti disebuah masjid untuk ke tandas dan meneruskan perjalanan penduduknya sedang menunaikan solat Isyak. Sebenarnya di jalan raya waktu itu hanya ada kami, ini sedikit sebanyak memberi kegusaran. Jadi jika anda ke daerah berdarah ini terutamanya Takbai, yang menyaksikan 85 orang penduduk terbunuh ketika mengadakan demonstrasi tanpa sebarang senjata. Mahkamah Tinggi Thailand memutuskan tiada siapa bersalah dalam hal tersebut. Bagi keluarga si mati mereka diberi pampasan wang untuk membayar nyawa yang terkorban. 


Kami memasuki gerbang Sungai Kolok @ Golok kami ditahan dan diperiksa beg oleh tentera yang mengawal di situ. Kesukaran apabila mereka tidak tahu berbahasa Melayu atau Inggeris hanya bahasa Siam. Jadi saya terpaksa mengunakan bahasa isyarat untuk menerangkan kandungan beg dan arah tuju kami. Namun segalanya berjalan lancar. 
Kami melintasi Sungai Golok dan Immigresin Thai-Malaysia Rantau Panjang tanpa sebarang pemeriksaan dan tanpa ada sedikit rasa gusar. Benarlah khabar orang sebelum ini yang mengatakan pintu sempadan di sini lebih mudah bolos. Tentera-tentera Thai seperti kakitangan Immigresin dan Kastam kita. Sama sahaja. Leka dengan android dan smartphones masing-masing. Jam ketika itu menunjukan waktu 9.20 malam. Waktu yang sesuai untuk aktiviti penyeludupan kerana semua kakitangan kedua-dua pihak di sempadan sedang sibuk untuk mengetip kad tamat tugas. Bukan di Rantau Panjang sahaja malah ia pemandangan biasa disemua pejabat-pejabat dipintu sempadan. 




Terdapat sebuah stesen Petronas sebaik sahaja melepasi pinta sempadan. GG Buntal turun melepaskan hajatnya yang lama tertangguh. Lega benar. Saya sendiri hairan bagaimana beliau mampu menahan sepanjang pejalanan. GG Buntal kurang berminat turun dari traknya setiap kali kami berhenti. Dia lebih rela tahan kencing dari turun. Entah apalah yang difikirkannya?. Kesempatan berehat sebentar di stesen minyak, GG ambil peluang update facebook beliau. Lama beliau luah perasaan.

Kami berhenti di beberapa kedai makan disepanjang jalan untuk ke Kota Bharu yang berbaki 35KM lagi. Semuanya habis dan penuh. Benarlah kata beberapa rakan Kelantan yang saya hubungi, kesesakan lalu lintas di Kota Bharu masih di tahap kritikal. Kami membatalkan hasrat ke Wakaf Che Yeh kerana keadaan yang sesak dan padat.

GG Buntal seorang tidak berminat untuk mencuba penginapan yang baru, baginya BBP Hotel yang disewanya 2 bulan lalu di kawasan TESCO KB itu adalah cuba selesa. Jadi kami menghala ke situ. Banyak anak-anak tempatan dari kelab-kelab kereta masing-masing berkumpul, melaram dan bergambar di situ. Restoran-restoran dikawasan tersebut juga penuh dengan pengunjung. Kami akhirnya menemui satu-satunya restoran yang kurang pelanggan. Restoran Top Pizza. Ia bukan sahaja menyajikan makanan barat, tetapi semuanya ada. GG Buntal memilih menu istimewa restoran ini, nasi putih, daging bakar dan sup. Manakala saya mencuba chickenchop dan cheesy wedges. Pandangan saya, perkhidmatan yang diberikan adalah cemerlang dan pantas. Chickenchop saya rangup dan molek gorengannya. Sayuran dan hiasan juga tidak keterlaluan. Komen saya cuma pada sos black pepper mereka yang cair, jika ia adalah home made sause. Penambahbaikan perlu dilakukan agar sos itu kelihatan seperti sos. Bukan air berwarna. Manakala GG Buntal hanya memberi komen ‘ kedai ini TERBAIK’! Mungkin kena dengan seleranya. Saya mencuba sekeping daging bakarnya. Fuh! Rasanya seperti satay. 


Bilik katil bujang (2 katil sebilik) dengan harga RM70 telah habis ditempah maka yang tinggal bilik queen bed dengan harga RM110. Kami terima sahaja ketika itu jam pun dah menunjukan hampir 12.00 malam. Sebaik masuk ke bilik GG meberitahu ia adalah bilik yang sama seperti yang beliau sewa RM70 dua bulan lalu Cuma bezanya katil queen dan katil single. Wifi percuma tetapi sekadar dua bar. Kain cadar mungkin tidak disalin. Gatal dan seperti ada pijat. Begitu juga tuala yang kurang bersih. Tiada peti ais mini tetapi ada penghawa dingin.TV disediakan tetapi tiada remote control. Saya menghubungi receptionist, beliau meminta saya sendiri turun (kami ditingkat 2, tiada lift) untuk ambil remote sendiri. Khidmat pelanggan yang kurang memuaskan walaupun tiada wang cagaran dan pantas. Harapnya kali terakhir saya menginap di BBP Hotel. Berakhir sudah perjalanan seharian kami sejauh 340 KM dari Padang Besar ke Kota Baharu menerusi wilayah Pattani. Perjalanan yang sepatutnya hanya mengambil masa 4 jam 20 minit tetapi mencecah 6-7 jam oleh kerana terlalu banyak dari sekatan pihak tentera. 






Kami bangun awal pagi. Cadangnya mahu bersarapan pagi dengan Rimie, IN TORMENT / BLASPHMACHINE, maklumlah dah sampai Kota Bahru teringin juga mahu bertemu divisi Kelantan Metal Army. Malangnya beliau tidak membalas sms dan tidak angkat telefon. Mungkin masih dalam selimut. Kami lupakan Rimie dan terus ke Pasar Siti Khatijah. Lagipun itu sahajalah tempat yang kami tahu.

Makan sarapan pagi di Medan Selera Pasar Siti Khatijah, membeli beberapa senjata tradisional dan terus bergerak ke Rantau Panjang dan berada di pintu sempadan kira-kira jam 1.00 tengahari, saya minta GG Buntal singgah di Masjid Beijing untuk mengunakan tandas. Langsung saya terlupa yang hari ini adalah penghulu segala hari kerana kebanyakan orang yang singgah kelihatan seperti mereka yang dari tanah seberang. Saya benar-benar terlupa. Jika tidak pasti saya ambil kesempatan untuk mendengar khutbah di sini. Beberapa kali saya singgah di masjid di kawasan Kelantan sebelum ini (luar Kota Bahru), imam mereka mengunakan bahasa baku untuk membaca khutbah Jumaat, bukan loghat Kelate seperi yang dikhabarkan. 












Sempadan Malaysia kalau lalui hanya dengan mengangkat tangan. Pada waktu siang begini, pemandangan sempadan dari atas jambatan Sungai Golok memberi tafsiran yang jelas mengenai betapa sukarnya membenteras penyeludupan sejata api, petrol dan diesel, beras, pil kuda di kawasan ini. Sungai Golok yang memisahkan kedua negara langsung tidak membawa apa-apa makna. Kegiatan penyeludupan berlaku di depan mata. Jika operasi cegah penyeludupan dilakukan, kegiatan mereka akan terhenti sebentar dan bergerak semula aktif dalam beberapa hari. Saya harus memberi tabik hormat kepada kerana pada hemat saya pihak Kastam, Immigresin, UPP dan ADK Padang Besar lebih teliti terhadap setiap orang yang keluar masuk sempadan. 












GG Buntal seperti biasa lupa jalan. Kami bertengkar mencari pintu gerbang keluar ke Narathiwat dan akhirnya jumpa juga. Kami melalui jalan semalam dan memecut dengan lancar. Tiba di daerah Sai Buri baru apabila melihat penduduk-penduduk setempat beramai-ramai pulang dari masjid barulah saya sedar bahawa hari ini adalah Jumaat. Patutlah pihak tentera mudah sahaja angkat membenarkan kami melalui setiap sekatan kerana waktu tersebut penduduk tempatan sedang menunaikan solat sunat Jumaat.

Saya sangat berhasrat untuk singgah di Masjd 300 Tahun di kampung Talo Mano, Tambun Subo Sawo, Narathiwat. Namun GG Buntal singgah di masjid lain yang hanya 1 KM dari Masjid 300 Tahun yang dibina oleh Wan Hussein Az-Sanawi pada tahun 1624. Masjid ini didirikan dengan kayu sepenuhnya dan hanya mengunakan kekunci tanpa sebarang paku. Menara azannya mempunyai pengaruh senibina Cina. Saya sedikit kecewa namun melihat GG Buntal yang seperti biasa tidak mahu turun-turun dari kenderaan. Saya faham situasinya. Akhirnya kami bertemu dengan sebuah stesen minyak di Talo Mano ini. 









Menyusuri semula Masjid Kerisek yang terletak di sebelah kiri jalan. Suasana masih meriah di situ, sepanjang jalan kembali ke Perlis selain berselisih dengan berpuluh-puluh kereta kebal, trak tentera, tentera bermotosikal dan komando berjalan kaki, kami melihat remaja-remaja tempatan masih memakai baju Melayu, baju kurung dan kebaya cantik-cantik bersiar sekitar kampung. Suasana Aidilfitri masih dirasai di sini. Kami turut berselisih dengan sekumpulan pengayuh basikal mountain bike (mungkin orang Malaysia?) atau mungkin juga orang tempatan kerana ketika itu hari mula gelap dan mereka masih berada di kawasan ladang getah. Jika orang luar pasti mereka dalam keadaan agak tegang kerana jauh lagi destinasi mereka untuk sampai ke satu-satu pekan kecil.

Kami bergerak hingga ke Ban Na Ket. Saya ingat lagi di simpang tiga Ban Na Ket yang dekatan Sekolah Ban Na Ket itu kami sepatutnya mengambil arah kanan, tetapi GG Buntal tetap mara menghala ke Yala. Katanya mahu melihat pekan Yala, saya turuti kerana tidak tahu yang sebenarnya beliau dah hilang arah. Rupanya di daerah Yala lebih ramai tentera dikerahkan untuk mengawal keadaan setelah sebuah bom kereta diletupkan baru-baru ini. Hampir setiap 500 meter di pekan Yala pasti ada trak tentera, kereta kebal dan sekatan tentera. Apabila tiba di sempadan Yaha apabila GG Buntal bertanya arah kemana mahu dituju, barulah saya tahu. Beliau dah sesat. Kami hanya menurut kata hati hingga ke sebuah kedai 7 Eleven di pekan Yaha. Petunjuk arah ketika itu menunjukan sempadan Betong hanya 110 KM sahaja lagi. Saya bertanyakan kepada penduduk tempatan. Mereka sarankan saya untuk mengikut petanda arah ke Kadang, ke Sa Yoi dan ke Hatyai. Ketika di Saba Yoi melepasi kawasan pergunungan yang menjual kristal bukit dan kami terpaksa berhenti di hutan untuk membuang air kecil. Jam ketika itu mencecah 5.00 petang. Kami turuti petua tersebut hinggalah akhirnya kami kembali ke Nathawi dan kembali lega. Kami telah tersasar lebih 137 KM selama 3 jam. Namun dapat juga kami tinjau bagaimana keadaan di Yala, Yaha dan Saba Yoi sebagai pedoman dan pengalaman untuk masa depan. 




Kami seterusnya memecut ke Ban Da Nok untuk makan malam steamboat di situ. Hajat GG Buntal untuk menjamu selera steambout sejak bulan Ramadan lalu pun terlaksana. Biasa saja bahan dan rencahnya, bagi saya di Perlis lebih hebat malah harganya lebih murah. Bayangkan harga yang dikenakan RM24 seorang. Itu belum masuk minuman. Jika di Kangar, hidangan dengan lauk yang sama hanya dikenakan RM10 – RM13 dimana-mana restoran steamboat. Oleh itu,jangan sesekali ke sini. Bagi yang belum pernah cuba daging bakar, pulut durian atau pulut mangga. Bolehlah mencubanya di sini.

Kami keluar mengikut pintu Sempadan Bukit Kayu Hitam dan sampai di Kangar jam 10.30 malam. Saya menyimpan hajat untuk menyambut Aidil Adha tahun ini di Pattani.

~Raimi



Tiada ulasan:

Catat Ulasan