Jika anda seorang warga emas yang hidup merana di rumah kebajikan berbelas-belas tahun. Kenangan dan kesengsaraan sering bercampur gaul. Anda diiktiraf sebagai seorang pesakit jiwa lantaran kedukaan dan musibah yang melanda tiada henti. Kewarasan anda bergantung kepada ubat dan solat. Tidak pernah anda melupai saat indah bersama keluarga dahulu dan harapan untuk bahagia hanya tinggal impian sebelum anda melelapkan mata.
Tiba disuatu hari, anak yang anda rindui selama ini datang bersama lelaki yang anda cintai selama ini. Lelaki yang pernah menjadi suami anda suatu ketika dahulu dan menceraikan anda oleh kerana amarah dan takdir. Dia ingin bersama kembali menempuh sisa-sisa hidup bersama anda yang entah beberapa hari atau detik lagi. Begitu juga sang anak yang menerima anda seadanya. Gila atau waras. Cantik atau hodoh.
Tidakkah itu kebahagiaan? Atau sebahagian dari kebahagian? Itulah perkara yang terjadi hari ini. Dan sebagai orang yang melakukan ‘pembebasan’ klien tersebut kepada keluarganya. Ia memberi kesan besar dalam jiwa aku. Baginya, ia mungkin rahmat paling besar sempena kedatangan Ramadhan ini. Alhamdulilah.
Beberapa detik sebelum proses pembebasan ini, seorang rakan, Din (bukan ulama, bukan tahfiz, bukan professor, tapi tinggi ilmu dia) yang aku selalu rujuk bila ada konflik jiwa berkata;
"Kita orang biasa pun mengalami juga ‘lintasan sufi’ sesekali. Pernah tak sesekali.. bila-bila tanpa ada masalah apa pun, jiwa kita berkata bini aku lari pun aku tak kisah? Aku kena buang kerja pun aku tak kisah? Aku hidup dengan menunggang basikal pun aku x kisah? Hidup ini hanya buat Tuhan. Penah? Itulah lintasan sufi bagi orang biasa macam kita. Kadang-kadang jiwa kita bersuara. Tapi bagi ahli sufi, sepanjang hidupnya begitu…”
Aku merenung jauh, Din sering bermadah tepat pada masanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan