Jumaat, 11 Julai 2014

TRANSFORMERS: AGE OF EXTINCTION


Saya sebenarnya mahu merumuskan keempat-empat siri Transformers arahan Michael Bay dan usahasama antara Dreamworks serta Hasbro ini. Mungkin ada yang bertanya kenapa setelah siri keempat ini baru saya ambil keputusan untuk memberi ulasan? Sebabnya? Kecewa…

Saya bukanlah seorang peminat fanatik Transformers. Saya tidak mempunyai figura-figura Autobots dan Decepticons di atas meja, saya tidak memiliki sebarang baju Transformers, saya tidak pernah melekatkan logo Decepticons pada kereta saya (kebanyakan orang selalu pilih logo Decepticons sebab mereka canggih lagi jahat!) dan saya baru sahaja membeli 2 DVD mereka (part I dan II). Bagaimanapun sebagai mana kanak-kanak lain yang membesar sekitar tahun awal 80-an. Saya membesar dengan mengagumi Transformers. Saya tahu jalan cerita klassik mereka, saya masih boleh melukis logo Autobots tanpa sebarang rujukan dan paling penting saya masih dapat menyanyikan lagu tema mereka yang asal! Jadi saya berhak untuk mengulas filem ini.

Age of Extinction boleh dianggap siri filem Transformers paling mengarut pernah dihasilkan dan digarap dengan idea merapu jika mahu diselaraskan dengan 3 siri sebelumnya. Saya tidak tahu bagaimana mereka akan repair atau adjust jalan cerita untuk Transformers yang ke-5. Mungkin ‘kata pujangga’ ada benarnya, filem sequal yang menguntungkan akan tetap dihasilkan walaupun jalan ceritanya dah jadi bida’ah dan khurafat. hahaha! Jika boleh dikaitkan dengan filem ini. Saya menonton Age of Extinction sebanyak 2x bersama adik saya yang berusia 17 tahun. Dia menonton tanpa sebarang kritikan dan selesa. Baginya itulah Transformers. Dan itulah yang mahu Steven Speilberg, Roberto Orci, Alex Kurtzman dan konco-konco mahu generasi kini fahami dan terima seadanya. Manakala saya mengelupur dikerusi kerana geram dan terganggu kerana keaslian jalan cerita yang telah diubah sepenuhnya dan penuh dengan kecacatan. Andainya anda dapat lihat apa yang cuba saya terangkan jika dilihat dari kaca mata akidah? :)

Bagi saya Transformers (filem Transformers Michael Bay yang pertama) adalah karya agung. Walaupun jalan cerita dirombak dari siri kartun 1984 yang kita sedia maklum, ia digarap dengan sempurna dan walaupun jauh dari elemen logikal namun ada penekanan untuk cuba memberi sentuhan saintifik dan mekanikal. Saya boleh menerima bagaimana mereka mempamerkan Bumblebee walaupun diubah kepada muscle car dan seterusnya kereta sport. Bumblebee juga seperti kartun asal, sebuah robot yang suka bersosial dengan manusia, periang tetapi dinaiktaraf sebagai robot yang pandai bertarung. Begitu juga Optimus Prime dikekalkan sebagai trak dan yang lain-lain. Autobots tidak datang ke bumi mengunakan The Ark (Micheal Bay bijak memperkenalkan The Ark dalam siri 3) tetapi seperti datang dalam bentuk meteor-tahi bintang. Autobots dan Decepticons seperti kartun adalah dari sebuah ‘bangsa’ mesin yang hidup dengan tenaga dari AllSparks berperang sesama sendiri untuk merebut pemerintahan di Cybertron yang selayaknya diperintah oleh Optimus Prime. Autobots dibumi adalah ‘pelarian politik’ yang menyamar dalam bentuk kenderaan dalam masa yang sama mereka menjejaki The Cube, yang merupakan sumber kuasa yang sangat kuat dan boleh menjana Cybertron serta Transformers. Dalam siri satu ini, The Cube berjaya dimusnahkan bersama Megatron, dan pakatan manusia serta Autobots yang dinamakan NEST bermula sini. Amerika Syarikat memberi perlindungan dan membenarkan Autobots tinggal dibumi serta memburu saki-baki Decepticons. Terbaik!

Revenge of the Fallen masih berada dalam radius siri pertama. Pemburuan kuasa dan konflik politik Cybertron yang dibawa ke bumi. Dari filem ini kita dapat faham, rupanya sengketa Optimus Prime dan Megatron bermula apabila Cybertron hampir hilang sumber tenaga aslinya dan Cybertron seperti parasit yang memerlukan planet-planet yang mempunyai tenaga suria seperti bumi untuk kelangsungan hayatnya. Cybertron telah menghantar kapal-kapal untuk mengenal pasti planet-planet berpotensi untuk disedut sumbernya. Optimus Prime tidak setuju jika Cybertron memusnahkan planet yang mempunyai kehidupan. Oleh kerana itu Decepticons dan Autobots tidak sefahaman lagi demi meneruskan hidup mereka dan mempertahankan Cybertron. Optimus Prime dalam Revenge of the Fallen bertarung dengan hebat namun berjaya dibunuh oleh sekumpulan Decepticons. Seperti siri kartun Optimus Prime turut mati! Seperti Megatron yang berjaya dihidupkan oleh konco-konconya. Optimus Prime juga berjaya dihidupkan dibabak-babak akhir hasil pertolongan Sam Witwicky dan Jetfire (Decepticons jet pejuang yang memantau perkembangan dunia sejak berabad-abad lalu. Jetfire berperang bersama Autobots di Cybertron kerana perbezaan fahaman politik dengan Megatron) melalui pedoman dan ilham dari ‘roh-roh’ Prime yang lalu. Dari sini kita difahamkan Transformers bukan sekadar mesin tetapi mempunyai roh. Begitu juga tenaga The Cube yang tidak boleh dimusnahkan tetapi beralih formasi. Jika anda pernah menonton animasi Transformers: Beast Machine, Optimus Prime berjuang untuk mengekalkan unsur organik dan sering berkomunikasi dan bermeditasi dengan alam yang dipanggil ‘matrix’. Mungkin itu alam roh/barzakh mereka. :) (canggih macamana pun tak lepas juga dengan dengan fitrah. Tuhan Maha Bijaksana) . Diperkenalkan disini seorang lagi Prime digelar The Fallen yang memerintah Decepticons dan dalam kesempitan untuk mendapatkan sumber tenaga, begitu juga benih-benih Decepticons yang menetas dan mati tanpa sumber tenaga. Uniknya, Dreamworks dapat mengaitkan keagungan pembinaan piramid di Mesir yang dalamnya tersembunyi 'mesin penuai' yang boleh diaktifkan dan menuai tenaga dari matahari untuk kegunaan Transformers. Diperkenalkan juga Constructicons, robot-robot tapak pembinaan (mereka lagenda) yang bergelar Devastator. Mereka adalah 5 robot yang mampu bersatu menjadi robot gergasi. Tidak seperti kartun, Devastator dalam filem ini berbentuk seperti seekor beruang atau babi gergasi yang memecahkan piramid untuk mengeluarkan mesin penuai tenaga suria. Optimus yang baru dihidupkan bersama bantuan NEST dan US Navy berjaya membunuh The Fallen dan memusnahkan enjin tersebut. Revenge of the Fallen juga menyaksikan kali terakhir heroin jelita Megan Fox bersama Sam Witwitcky. Megan Fox yang dilaporkan media telah bergaduh dengan Michael Bay kerana masalah degil dan disingkirkan tanpa sedikitpun sesalan. Bak kata Bay, masih banyak aktres yang jelita kat luar sana.

Dark of the Moon sebuah sambungan yang agak mengkagumkan sebenarnya. Ia genius, segenius album Pink Floyd "Dark Side of The Moon". Haha! Dikatakan Sentinel, Prime yang mengetuai perperangan bersama Autobots di Cybertron yang juga mahaguru kepada Optimus Prime telah berjaya melarikan teknologi dipanggil ‘pillars’ yang boleh menyelamatkan Cybertron dari kemusnahan jika didirikan pada planet yang bersesuaian. Pillars tersebut dilarikan oleh Sentinel Prime dengan menaiki The Ark. The Ark telah terhempas disisi gelap bulan dah hakikatnya telah lama ditemui oleh Angkasawan Apollo dan dirahsiakan demi mengelak kegusaran manusia tentang kewujudan makhluk asing. Namun angkasawan Russia telah berjaya membawa beberapa teknologi dari The Ark ke bumi untuk R&D. Saat dan ketikanya sampai apabila Decepticons mengunakan umpan mereka (serpihan The Ark) di Russia yang membawa Autobot supaya pergi ke bulan untuk membawa Sentinel dan pillars ke bumi. Apa yang mereka tidak tahu, Sentinel sebenarnya telah berkerjasama dengan Decepticons untuk menakluk bumi bagi menyelamatkan Cybertron dan mengekalkan tapuk pemerintahannya sebagai Prime. Manusia akan dijadikan hamba kepada mereka, iaitu mesin bernyawa yang lebih bertamadun dan moden. Tumpuan filem ini adalah penganti Megan Fox, Rosie Huntington yang menjadi awek Sam dan berkerja dengan hartawan permotoran yang juga merupakan agen Decepticons seperti Sam yang merupakan agen kepada Autobots. Turut menampilkan Shockwave si robot ulat tanah yang sangat besar dan mampu memusnahkan hampir apa sahaja. Manakala Optimus Prime kali ini dilengkapi trailer kontena yang membawa peralatan senjata beliau. Dark of the Moon menyaksikan pembubaran NEST dan Autobots dipaksa meninggalkan bumi setelah Decepticons dibawah pimpinan Sentinel menguasai dunia. Logikal filem ini yang sememangnya tidak logik semakin haru bila Autobots hanya bermusihat menginggalkan bumi dan kembali berjuang menentang Decepticons dan bala tentera yang begitu ramai. Terlalu ramai dan terlalu kuat! Kemusnahan watak penting Ironhide dan Starscream juga diselitkan. Sedikit ralat dihujung cerita. Optimus Prime yang tersangkut pada dawai dan wayar runtuhan bangunan mengambil terlalu lama bagi memasukkan drama cemas Sam, aweknya dan bekas anggota NEST diserang Decepticons.  Babak bangunan runtuh, kapal-kapal perang menguasai kota dapat digambarkan dengan rumit dan hidup. Megatron yang telah cedera teruk bangun menuntut haknya sebagai ketua Decepticons bila awek Sam Witwicky menyidirnya hanya menjadi kuli kepada Sentinel. Optimus Prime yang hampir tewas ketika bertarung dengan Sentinel Prime berjaya mengambil kesempatan membunuh Sentinel apabila Megatron datang campur tangan dan dipenggal oleh Sentinel. Optimus Prime melalui filem ini adalah satu-satunya Prime yang masih hidup di alam semesta ini. Di dalam filem ini juga ditunjukkan apabila allspark Transformers mati, tubuh mereka juga berkarat dan hancur. 


Age of Extinction, seperti satu pemulaan lain yang tiada titik temu dengan Dark of the Moon. Kebinatangan apakah ini? Era Transformers berkerjasama dengan manusia telah tamat sebaik NEST dibubarkan. Autobots masih diberi hak mendiami bumi kerana jasa mereka membantu manusia. Namun apa yang masyarakat tidak tahu, dan pemerintahan tertinggi Amerika Syarikat tidak tahu. Pertempuran robot dengan robot telah membawa dendam, kegusaran dan trauma pada manusia termasuk agen dan pentadbiran CIA yang telah mewujudkan pasukan operasi gelap yang digelar Cemetery Winds. Ralatnya dan entah apa dan bagaimana, pegawai CIA ini boleh berkerjasama dengan Lockdown yang juga entah dari mana. Lockdown menyamar dalam bentuk Lamborghini perak, bengis dan boleh disamakan dengan Predator. Pembunuh dan pemburu upahan, cuma bezanya Lockdown adalah robot. Tetapi jika dilihat kapal angkasa beliau yang basah, berwayar-wayar, berwap, penuh dengn sangkar-sangkar tangkapan berbagai makhluk. Beliau persis Predator. Lockdown dari percakapannya datang untuk memusnahkan tidak kira Decepticons atau Autobots, tetapi tangkapan paling bernilai baginya adalah Optimus Prime. Lockdown mengatakan Optimus Prime pernah mengetuai operasi yang sama dan mengunakan kapal yang sama suatu ketika dahulu. Paling lawak bila dia bertanya pada Optimus, "adakah kamu ingat kamu dilahirkan? Kamu dibina. Dan Pencipta kamu mahukan kamu kembali kerana ingkar perintahnya". Ini sedikit lawaklah, dalam Revenge of the Fallen ditunjukan benih-benih Decepticons menetas. Dan apa yang kita faham sebelum ini Transformers adalah suatu bangsa mesin hidup, Prime adalah pemimpin agung dan malah Prime yang terdahulu masih wujud dalam dimensi lain. Tetapi hari ini, Optimus Prime digambarkan hanya robot mainan yang ada Tuhannya dan sedang diburu macam anjing. Ok lupakan.


Perjanjian Lockdown bersama CIA adalah maklumat lokasi Optimus Prime sehingga tertangkapnya beliau ditukar dengan sebutir bom berteknologi asing bergelar The Seed. Sebutir The Seed boleh menukar sebuah bandar Kosmopolitan dari bahan organik kepada besi, Trasnformium. Kononnya dengan besi inilah Transformers dicipta. Peperangan Autobots dan Decepticons sebelum ini membuatkan banyak syarikat memburu scrap metal atau besi-besi buruk dan serpihan Transformers. Dan dari besi itu boleh dijadikan robot baru. Maka dengan itu besi Transformium ini menjadi buruan. Syarikat yang menjadi nadi pembangunan robot mengunakannya adalah KSI yang diterajui Stanley Tucci, digambarkan seperti Steve Jobs. Pelik hakiki, mengapa Decepticons dan Autobots bergaduh dan berbalah segala macam? Tetapi dalam episod ke-4 ini, Syarikat KSI mengatakan kuasa Transformers hanya bergantung pada besi tubuh badan mereka sahaja. KSI membina robot-robot yang lebih sofistikated dan berubah macam sandman. Bagi saya CGI transformasi robot-robot kali ini begitu bodoh, kelihatan seperti kartun. Sekali lagi saya kecewa apabila melihat Galvatron yang dibina mereka mengunakan memori yang dimuat turun dari kepala Megatron yang dipenggal Sentinel adalah sebuah trak!. Ini kerana KSI mahu membina robot untuk menandingi Optimus Prime dan tubuh Galvatron turut dibina berdasarkan blueprint Optimus Prime! Berbeza dengan jalan cerita asal, Galvatron dibina oleh Unicron setelah Megatron yang ketika itu sedang nazak diberi tawaran untuk dibina semula dan diberi kekuatan baru jika beliau mahu berkhidmat untuk Unicron. Galvatron dalam Transformers the movie (1986) adalah sebuah meriam yang canggih. Dan bagi yang tidak tahu siapa itu Unicron? Unicron adalah sebuah robot yang tersangat besar dan boleh berubah bentuk kepada sebuah planet mekanikal. Dia dianggap dewa kemusnahan. Siapa yang membina Unicron? The One.

Kembali kepada Age of Extinction, KSI tidak tahu Megatron telah mengeluarkan pepijat-pepijat dari bangkai kepalanya dan mengodam sistem KSI supaya apa yang dibina sebagai Galvatron adalah dirinya yang dilahirkan semula. Begitu juga dalam hal-hal lain, Megatron yang bijak memanipulasi kehendak KSI untuk mendapat teknologi moden bagi membangunkan senjata untuk tentera Amerika Syarikat telah menjerat KSI agar mendapatkan bom The Seed, yang kononnya akan diletupkan di kawasan Mongolia dan dijadikan kuari. Tetapi kemunculan watak Galvatron hanya beberapa minit, dan tiada langsung kemunculan Decepticons yang lain. Jadi peperangan dalam filem ini hanya membabitkan Lockdown, Cemetery Winds dan 50 buah robot ciptaan KSI. Pekara yang lawak, robot-robot KSI musnah dengan senjata, bom dan amukan Dinobots. Padahal mereka boleh meresap macam pelesit!? Cuba lihat bagaimana Galvatron meresap apabila ditembak oleh Bumblebee! “What was that?” kata Bumblebee.


Steve Jobs Transformers akhirnya sedar kesilapannya dan berusaha untuk menyembunyikan The Seed dari CIA dan Galvatron. Manakala Optimus Prime yang diselamatkan oleh rakan-rakan Autobots dari kapal angkasa Lockdown setelah ditawan terus bergerak ke China dimana KSI berpindah untuk memulakan industri mereka. Pertempuran dasyat antara jentera KSI, Lockdown dan Autoots berlaku di Beijing. Kerja-kerja CGI yang agak malas dapat dilihat pada babak-babak di China ini. Kebanyakan aksi serta kemunculan Dinobots seperti kartun 3D sahaja. Kebetulan anak kapal yang dilarikan Autobots dari kapal angkasa Lockdown turut membawa kandang-kandang Dinobots. Tidak seperti kartun, Dinobots agak mudah dijinakkan dan kurang membantah. Jom berkenalan dengan Dinobots versi klasik, mereka berasal dari bumi dan dicipta oleh Autobots. Dinobots bersifat barbarian, tidak suka dikongkong, baran dan kadang-kadang kelakar. Ketua mereka Grimlock sangat kuat dan sukar ditewaskan tetapi agak bodoh. Seteru utama mereka adalah Constructicons. Walaupun mereka tidak dapat bergabung menjadi robot gergasi, kerjasama mereka berlima dapat menewaskan robot gergasi. Dinobots klassik adalah:


Grimlock - Tyrannosaurus rex (ketua).
Slag – Triceratops.
Sludge - Apatosaurus.
Snarl - Stegosaurus.
Swoop - Pteranodon.

Optimus Prime mungkin tewas sekali lagi pada Lockdown jika tidak dibantu Cade Yeager, watak lakonan Mark Wahlberg seorang ayah dan pencinta inovasi dari sebuah ladang di Texas. Mark melakonkan watak Cade dengan cemerlang, dan watak tersebut mesti dihadirkan dalam setiap filem Michael Bay sebagai harapan sisi kemanusian kepada dunia yang dalam konflik dan nasibnya ditentukan oleh makhluk asing. Tanpa manusia seperti Cade, Optimus Prime pun tidak dapat berbuat apa-apa. Hero sebenar adalah Cade yang beberapa kali menyelamatkan nyawa Optimus walaupun dia hanya orang ladang yang miskin. Autobots seperti Hound (pembawaan watak cemerlang oleh John Goodman), Drift (kereta dan helicopter tempur, suara Ken Watanabe) dan Crosshair diperkenalkan dan tidak ketinggalan saiz mereka semakin besar! Anak dara Cade Yeager seperti Megan Fox dan awek-awek Transformers sebelum ini juga membawa peranan degil dan kembali membantu ayahnya apabila disuruh melarikan diri. Ada juga babak-babak seperti video klip dalam set slow motion seperti tiap-tiap episod Transformers. Dan tidak ketinggalan beberapa kerat jenaka tepat pada waktunya.



Age of Extinction mungkin nampak lebih terperinci jika bahasa makhluk asing digunakan antara Optimus Prime, Lockdown dan Dinobots. Galvatron aka Megatron juga sekadar memberi arahan dan melarikan diri dalam pertempuran di China yang semestinya bukan sikap Galvatron, kerana Galvatron sangat kuat dan bijak. Dia juga ada kelebihan 50 robot berbanding hanya 5 Autobots dan 5 Dinobots turut diserang angkatan Lockdown.

Diakhir babak Optimus Prime tiba-tiba mempunyai kelengkapan jet untuk terbang (masih bingung dari mana beliau dapat terbang macam Ironman?). Age of Extinction berakhir dengan, Optimus berjaya membunuh pegawai CIA yang beliau bersumpah atas nama Ratchet dan Leadfoot yang dibunuhnya. Begitu juga Lockdown yang berjaya dibunuh Optimus dengan ‘pukul curi’. Galvatron melarikan diri. Dinobots dilepaskan bebas ke dalam hutan China. Manakala Optimus Prime yang merasakan bumi tidak akan aman selagi beliau terus menjadi rakyat Amerika terus terbang ke angkasaraya menjejaki Penciptanya dengan pedang ditangan.

Ringkasnya, bumi tidak kering-kering dengan sumber tenaga yang menjadi perebutan segala makhluk alam semesta!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan