Jumaat, 22 Ogos 2014

THOR 2: THE DARK WORLD (2013)


Percaturan Warner Bros untuk memfilemkan karektor-karektor komik mereka nampaknya menjadi seperti yang dirancang dan membuahkan pulangan ratusan ribu dollar bak saham yang sedang meletup. Dari satu persatu; Hulk, Ironman, Thor, Captain America, The Avengers, manakala S.H.E.I.L.D dipanjangkan dalam bentuk siri TV mendapat tarikan jutaan penonton. Kesinambungan setiap filem-filem itu, kesemuanya bukan mudah-mudah untuk menemui titik noktah. Warner Bros akan mengumpul duit, duit dan duit mungkin untuk selama-lamanya.

Saya bukanlah peminat wayang Jula Juli Bintang Tujuh, malah saya menganggap hikayat kedewaaan hanyalah mitos. Tetapi setelah menonton THOR, timbul pula keinginan untuk melihat kesinambungan THOR 2: The Dark World dari segi nilai kesenian dan kreativiti jalan penceritaan.

Bagi yang belum menonton THE AVENGERS, anda harus menontonnya terlebih dahulu, kerana jalan cerita THE AVENGERS (kombinasi superhero yang diilhamkan oleh direktor S.H.E.I.L.D Nick Fury bagi menentang ancaman kepada bumi) telah dicanang kemas selepas Captain America. Jika anda terlepas Captain America dan The Avengers ia pasti menjejaskan pemahaman anda terutamanya pada plot-plot jenaka yang dimuatkan.

Dinaratifkan ribuan tahun (millennia) yang lalu, angkasaraya dikuasai kegelapan yang dihuni oleh Dark Elves diketuai Malekith (dilakonkan oleh aktor hebat Mark Strong, dia ni selalu memang watak muslim). Malekith dari dunia yang dikenali sebagai Svartalfheim tidak mahu berkongsi alam semesta ini dengan makhluk lain dan merancang untuk mengunakan senjata jenis cairan yang sangat berkuasa digelar Aether. Datuk kepada Thor, King Bor yang memerintah Asgard dan penjaga Nine Realms (umpama 9 cosmos) ketika itu berperang habis-habisan menentang Dark Elves dan akhirnya berjaya mencuri Aether yang menyebabkan kekalahan Malekith seterusnya mereka melarikan diri dan berhibernasi disuatu dimensi tersembunyi. Kuasa Aether yang terlalu hebat tidak dapat dimusnahkan, akhirnya senjata itu dibenamkan ke satu tempat yang dalam dan rahsia. Kisah Dark Elves umpama mitos di Asgard.

Ok, kembali ke bumi, lebih tepat London. Dr. Jane Foster baru pulih dari angau tergilakan Thor dan kecewa ditinggalkan. Jane sedang cuba untuk mencari cinta baru tetapi dikejutkan dengan fenomena luar biasa yang dikesan alat-alat kajian beliau. Manakala Dr. Erik Selvig yang pernah dipergunakan Loki untuk mencipta portal membawa tentera Chitauri ke bumi (rujuk The Avengers) menjadi taksub dengan penemuan fenomena luar biasa tersebut dan berjaya merungkai jawapannya. Namun beliau telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam hospital sakit mental. Loki sebagai penjenayah yang banyak mengorbankan manusia di New York (rujuk The Avengers) telah ditangkap dan dihukum penjara seumur hidup di Asgard.

Hendak dijadikan cerita ketika meninjau di tapak penemuan aktiviti paranormal itu, Jane telah ditarik ke dimensi lain, tempat rahsia yang menempatkan Aether. Seterusnya Aether menyerap masuk ke dalam tubuh Jane sebagai hos. Saat Aether berjaya menyerap kedalam tubuh Jane, Malekith dan tentera-tenteranya kembali bangun setelah kuasa itu menyeru mereka. Thor yang sebelum ini sibuk dengan tugasnya sebagai dewa perang yang ditugaskan untuk mengembali keamanan ke seluruh Nine Realms menjadi cemas kerana dengan tiba-tiba Jane hilang dari radarnya. Thor bingkas turun ke London dan mendapati Jane dalam keadaan celaru serta memiliki kuasa luar biasa. Thor membawa Jane pulang ke Asgard untuk dirawat dan mendatangkan kemurkaan ayahnya Odin.

Akhirnya Odin sedar kuasa Aether telah merasuk Jane dan tanpa mereka sedari, Malekith dan bala tenteranya telah sampai di Asgard dan menyerang habis-habisan untuk mendapatkan Jane. Frigga, Dewi Asgard yang juga ibu kepada Thor terbunuh kerana mempertahankan Jane. Malekith juga cedera dipanah petir kerana kekuatan beliau belum pulih. Dark Elves merancang serangan seterusnya.

Namun Thor telah mengambil keputusan berkerjasama dengan adik gilanya Loki untuk membalas dendam. Loki yang mempunyai kuasa penyamaran dan tipu helah serta mengetahui portal rahsia untuk ke Svartalfheim dilihat sebagai kelebihan untuk melancarkan skirmish dengan mengunakan umpan Jane.


Manakala bumi dan alam semesta kini sedang mengalami kejadian-kejadian pelik ini kerana 9 Realms sedang berada dalam kedudukan selari yang menyebabkan pertindihan portal yang memberi kelebihan pengangkutan, komunikasi, dan sebagainya. Malah hubungan telefon bimbit boleh berlangsung antara Svartalfheim dan bumi. Fenomena ini hanya berlaku setiap 5000 tahun.

Pertarungan di Svartalfheim berjaya membebaskan Jane dari kuasa Aether, namun Malekith berjaya merampas semula kuasanya manakala Loki terbunuh. Thor walaupun sedih amat berbangga dengan pengorbanan Loki, yang mana dia tidak sedar Loki telah mempermainkannya dengan kemahiran sihir hologram.

Ketika Thor dan Jane ke bumi untuk menumpaskan Dark Elves, Loki pula kembali ke Asgard merampas tahta dari Odin dan mengunakan kuasanya merubah fizikalnya kepada bentuk Odin semata-mata mahu menjadi dewa yang mengusai 9 cosmos. Thor dengan bantuan Dr. Erik Selving dan alatan saintifiknya berjaya menewaskan Malekith dengan konsep yang hampir sama dengan The Avengers/ Transformers/ Spacecop Gaban dan lain-lain filem yang melibatkan kejahatan dari ruang angkasa.

Bantuan jenaka dari Darcy, (pembantu Jane) berjaya menceriakan suasana. Kadang-kadang anda tertanya-tanya dimanakah The Avengers ketika itu?

Bintang: 3/5

Pengaruh Thor dalam metal: rujuk muzik Einherjer, Amon Amarth, Enslaved, Thor's Hammer, Thyrfing, Forefather, Kampfar, Turisas, Unleashed atau yerp.. band tempatan Ravenlord.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan