Sesiapa yang pernah bertandang ke Hatyai, Ban Dannok, Setoi, atau Narathiwat pasti pernah menikmati kelazatan daging lembu bakar yang disajikan bersama daun pudina dan sos cili masin. Boleh dikatakan hampir semua gerai dan restoran mempunyai rasa yang sekata terutamanya di pekan Dannok. Kebetulan kali pertama saya mencuba resipi ini, terus menjadi. Di sini saya ingin kongsikan resipinya, mana tahu boleh dijadikan juadah pada Hari Raya Aidil Adha nanti.
Saya namakan menu ini ‘Daging Lembu Bakar Mahrosu' sempena nama pejuang Pattani yang syahid kerana memperjuangkan pembebasan Pattani. Mahrosu Jantarawadee seorang penternak lembu, pernah berhijrah dan bekerja di restoran di Malaysia dan akhirnya kembali ke kampung halaman untuk mengangkat senjata. Mahrosu Jantarawadee akan selamanya diingati oleh penduduk Selatan Thai sebagai mujahid yang sanggup meninggalkan kesenangan dan berkorban demi mendaulatkan agamanya.
Bahan-bahan;
1 kg daging lembu (RM26/kg harga di Perlis)
6 ulas bawang putih
1 ulas bawang besar (saiz sederhana)
4 batang serai
2 sudu cuka epal
2 sudu besar kicap manis
Garam secukup rasa
Gula perang secukup rasa untuk bancuhan secawan teh
2 sudu teh cayenne pepper (ganti serbuk cili lain pun boleh)
1 sudu teh Ajinomoto (tak pakai pun takpa)
Minyak biji bunga matahari atau minyak bijan (untuk sapuan ketika membakar)
CARA MEMBUATNYA;
Potong daging mengikut saiz sebesar tapak tangan. Saya membakar dalam saiz yang besar tetapi saya kelar dan hiris supaya rencahnya mudah meresap. Kemudian gaulkan garam secukupnya.
Kisar lumat bawang putih, bawang besar, serai, kicap manis, pepper, Ajinomoto dan cuka epal.
Masukkan ke dalam daging dan gaul rata.
Masukkan bancuhan gula perang dan gaul. Perap selama 2-4 jam terpulang pada kesabaran.
Bakar secara tradisional. Saya mengunakan semburan minyak biji bunga matahari jenama Sunlico (boleh dibeli di Tesco atau kedai kek) bagi mengelak daging dari kering dan hilang juicy.
Sajikan bersama sos yang ada suka atau nasi. Maaf kerana tiada resipi sos nya, saya tidak minat cara hidangan tradisional Thai bersama sos cili masin kacang hancur. Saya meratah daging ini begitu sahaja. Selamat mencuba Daging Lembu Bakar Mahrosu.
resipi: Raimi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan