Khamis, 14 Ogos 2014

WARM BODIES (2013)


Saya kanak-kanak yang membesar di era 80-an yang takjub dengan filem mayat hidup atau zombie. Night of Living Dead, Return of the Living Dead, Brain Dead, Re-Animator adalah filem-filem kegemaran kanak-kanak seperti saya yang akhirnya apabila tua mejadi metalhead. Hehe.

Apa yang ingin saya tegaskan disini. Saya telah amat arif dengan filem zombie yang mempunyai penceritaan yang ringan dan lebih menumpukan kepada kesenian solekan dan aksi berdarah (gory scenes). Secara ringkasnya, semua filem mayat hidup berkisar tentang bahan kimia yang terdedah pada manusia atau mayat, membuatkan ia hidup semula dan memakan otak. Faham?

Di Malaysia, kita baru mengalami ‘demam zombie’, penerbit dan pembikin filem mula mencuba untuk memfilemkan kisah mayat hidup, dan mungkin pakar solekan zombie dan hantu telah kembali dari menuntut dan bersedia untuk berkhidmat dalam industri filem tempatan. Seperti biasa kita sentiasa terlewat dan suka meniru.

Warm Bodies mengejutkan saya, seperti filem mayat hidup, FIDO(2006) yang saya tonton suatu ketika dahulu. Keduanya mempunyai jalan cerita yang sangat tulen dengan plot-plot dan baris-baris skrip yang kuat lagi menghiburkan. Si pemakan otak telah berjaya diberikan watak yang cukup emosi dalam kedua-dua filem ini. Bagi yang belum menonton Fido, anda harus mencari dvd ini juga!

Saya membeli dvd Warm Bodies ini kerana ilustrasi hadapannya yang cantik dan tertera nama John Malkovich di atasnya. Pasti ini sebuah filem gila, ujar saya. Sebaiknya memainkannya saya sedikit kagum, sinopsisnya begini, “R” adalah mayat hidup yang tinggal dikawasan lapangan terbang bersama-sama mayat-mayat hidup yang lain. Kisah ini seolah-olah di naratif oleh beliau kerana beliau tidak mampu berkata-kata, menunjukkan emosi, dan mengingati masa lalu, semuanya terhad baginya. Ia adalah kata hati seorang yang telah mati, namun atas sebab yang tidak diketahui ia hidup dan gemar memakan otak. “R” gemar mengumpul barang-barang yang dijumpanya dan turut mempunyai sahabat karib walaupun setiap hari mereka hanya dapat berkata “eats” itu sudah cukup bagi mereka untuk menghilangkan bosan jika tiada manusia untuk dimakan.

Dalam pada itu terdapat sejenis makhluk lagi digelar “Boney”, yang wujud apabila sifat-sifat fizikal kemanusiaan lenyap pada seseorang mayat hidup, mereka berevolusi menjadi “Boney”. Lebih ganas dan pelahap. 


Dalam satu serangan ke atas sekumpulan manusia, R telah memakan otak seorang lelaki yang merupakan salah seorang teman istimewa kepada seorang gadis, (Teresa Palmer) dalam kumpulan itu. Dari situ kita faham, obsesi mayat hidup terhadap otak disebabkan ia memberi harapan baru buat mereka. Setiap kali otak-otak manusia dimamah, mereka mampu mengimbau kembali setiap memori-memori di dalam otak manusia itu membuatkan ia umpama dadah yang membuatkan mereka ketagih. R melihat kenangan indah lelaki tersebut bersama Julie dan terus membuatkan beliau jatuh cinta pada Julie yang cantik dan memiliki personaliti yang menawan kalbu. Dengan tidak diduga, R melindungi Julie dan melarikan Julie ke rumahnya yang merupakan sebuah pesawat. Di situ dari ketakutan, Julie mula menerima R sebagai mayat hidup yang ingin menolongnya. Manakala dalam kebingungan, R mula menyimpan perasaan terhadap Julie dan menipu Julie untuk tinggal bersama-samanya beberapa hari kononnya bagi melindunginya dari rakan-rakannya dan Boney. Mereka melalui detik-detik romantis bersama. Saya suka runut bunyi untuk filem ini yang sangat bersesuaian dan penuh drama. Ketika ini saya mula tertanya-tanya mengapa banyak cakap pula si R ni walhal tadi cakap mulut tu mereput. Mata R pun dah mula berkedip-kedip, pada awal tadi static terbeliak aja matanya?

Suatu hari Julie tetap melarikan diri kembali ke markas manusia yang dipimpin oleh seorang Jeneral (Malkovich) yang juga ayah kepada Julie. Hal ini amat menyedihkan R dan beliau bertindak untuk mencari Julie dengan bantuan rakan-rakannya. Ketika itu, suatu perasaan lain telah muncul dalam diri mereka. Jantung-jantung mereka mula berdenyut dan mereka mula berkomunikasi walaupun lembab. Ini memberikan petanda positif yang membawa maksud sistem badan mereka mula melawan virus dan kesan kimia yang menjangkiti mereka. R menjadi harapan mereka untuk membawa berita ini kepada Julie dan menyakinkan ayahnya, bahawa mayat-mayat hidup ada peluang untuk kembali menjadi manusia.

Namun berita ini tidak disukai kumpulan-kumpulan Boney dan akhirnya tercetuslah peperangan diantara mayat hidup, Boney dan manusia. Tindakan mayat-mayat hidup yang mempertahankan askar-askar akhirnya memberi keyakinan kepada ayah Julie untuk membantu mereka.

Mayat-mayat hidup akhirnya diterima dunia dan menjalani kehidupan biasa bersama manusia. R hampir pulih sepenuhnya dan menjadi kekasih Julie.



Beberapa hari lalu saya ke Popular untuk meninjau buku-buku baru, sempat saya lihat Novel ini ditempat paling laris minggu ini. Selepas menelaah beberapa bahagian, rupanya novel ini telah diterbitkan sejak 2010 lagi, kandungan dan perceritaan di dalam novel ini lebih indah dan penuh puitis. Mungkin mesej sufi yang disampaikan beliau? Siapa tahukan?. Mayat hidup yang memusnahkan dunia juga akan tunduk pada kuasa cinta dan kasih sayang.

Bintang: 3/5

2 ulasan:

  1. Terimakasih. Anda telah membuatkan saya rasa teringin untuk menontonnya selepas beberapa review negatif yang mengatakan ianya hanya sekadar Twilight versi zombie.

    Dan terimakasih juga kerana mengingatkan saya kepada FIDO...rasanya saya ada dalam bentuk vcd. Nak kena selongkar balik nampaknya....


    BalasPadam
  2. cerita ni Ok.. tetapi kehebatan FIDO tidak boleh ditandingi. :)

    BalasPadam