Isnin, 22 September 2014

SUP DENGGI KRUSTY KRAB


Demam denggi semakin merebak, tidak terlepas orang kesihatan sendiri pun bolehkena virus dari gigitan nyamuk ini. Jururawat tempat saya bertugas pun disyaki demam denggi setelah menunjukkan simptom-simptom penurunan platelet darah yang mendadak. Oleh kerana beliau anak perantauan yang hidup kesorangan. Saya masak sup ketam yang dikatakan mampu merawat demam denggi ini sebagai terapi oral (pesakit meminum sup 500ml – 1 liter dan makan isi ketam) bagi meningkatkan platelet dalam masa tempoh 5-8 jam sahaja.

Menariknya, bagi pesakit yang mengalami simptom awal jika dia terus mengambil sup ketam ini kemungkinan untuk sembuh adalah tinggi. In shaa Allah. Tiada ketam yang dikhaskan untuk tujuan rawatan denggi ini, semuanya jenis ketam mempunyai khasiat yang sama namun ketam nipah adalah yang termasyhur bagi tujuan ini.


Ketam nipah berwarna hitam dan oren dibawah perutnya. Habitatnya banyak dikawasan pantai berpaya, kawasan teluk dan muara. Ia digelar ketam nipah mungkin disebabkan ia sering berkampung di kawasan berpaya hutan nipah. Ia halal dimakan. Rujuk >> fatwa

Saya berkunjung ke beberapa pasar namun tidak menemui ketam nipah hari ini, akhirnya saya membeli ketam renjong di pasar perkampungan orang Burma di Kuala Perlis. Jom masak: 


BAHAN-BAHAN:

5 ekor ketam
2 inci halia (dikisar)
3 ulas bawang putih (dikisar)
1 labu bawang besar (dipoton
1 labu bawang besar (dikisar)
3 labu bawang merah (dikisar)
Beberapa biji lada putih (dikisar)
4 batang serai (diketuk)
1 batang kulit kayu manis
Sedikit daun sup (saya gunakan daun parsley kering)
4 sudu besar minyak masak
900ml air
Garam dan serbuk perisa secukup rasa.

CARA MEMASAK:

Panaskan minyak dan tumiskan semua bahan yang dikisar hingga garing. Saya tidak mempunyai mesin pengisar di dalam studio. Jadi saya hanya pakai lesung batu dan kaca mata.

Masukan air 400ml dan biarkan hingga mendidih. Seterusnya masukkan ketam yang telah dibersihkan.

Bagi mereka yang tidak tahu, kebanyakan kita sering berlaku kejam pada ketam apabila memasak. Memasak ketam ketam kita hidup-hidup atau membekukan mereka didalam peti sejuk supaya mati perlahan-lahan. Tahukah anda ketam juba boleh disembelih? Bukan cerita lawak. Saya cuba Google tetapi tiada bab sembelih ketam diceritakan lagi oleh mana-mana pihak. Saya sendiri mengetahui hal ini dari kuliah dalam radio IKIMfm yang menyarankan ketam-ketam hidup disembelih terlebih dahulu dengan cara tikaman jarum pada perutnya sebelum dimasak. (rujuk foto dibawah) Abaikan jika telah mati kerana bangkai haiwan laut halal dimakan. 


“Sesungguhnya Allah mewajibkan untuk berbuat baik terhadap sesuatu. Oleh kerana itu, jika kamu membunuh, perbaikkanlah cara membunuhnya, apabila kamu menyembelih maka perelokkanlah cara penyembelihannya serta tajamkanlah pisaunya dan mudahkanlah penyembelihannya itu.”
(Riwayat Muslim)

Masukkan air hingga ketam-ketam tengelam. Kemudian masukkan garam dan perisa secukup rasa.

Apabila kulit ketam bertukar menjadi kemerah-merahan dan sup berbau harum. Padamkan api.

Taburkan daun bawang dan sajikan semasa panas.

Ektra: Peribahasa yang dikaitkan dengan ketam. “Seperti ketam mengajar anaknya berjalan” merujuk kepada seseorang yang jahil dalam sesuatu ilmu tetapi mahu mengajar orang lain tentang ilmu tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan