Industri muzik Malaysia masih belum trending dengan kemunculan autobiografi daripada pemuzik atau artis-artis tempatan. Jika ada pun, siapa mahu membacanya? Saya merasakan pemuzik seperti RAMLEE SARIP, M.NASIR, SHIELA MAJID, ELLA, AZMI BAHARI, JOE KIDD, layak mempunyai autobiografi. Autobiografi adalah sebuah dokumentasi perjalanan seni yang disunting oleh empunya badan sendiri.
Hebatnya DUM DUM TAK, sebuah kumpulan punk rock politikal dari ibu negara, mereka telah mempunyai buku perjalanan karier mereka sendiri walaupun ditubuhkan hanya pada tahun 2006. Dan tidak menghairankan juga, apabila seorang yang intelek seperti Nizang yang rajin menulis dan mendokumentasikan setiap gerak seni mereka berjaya menyunting buku sebegini buat kenang-kenangan dan rujukan kepada punk rocker tempatan baru atau lama. Ini kerana kerja yang tersusun kemas begini perlu dijadikan contoh, jika tidak pun, motivasi bagi untuk anda melakukan yang lebih baik lagi.
Pada mulanya saya hanya menyangkakan buku ini sekadar kerja ‘syok sendiri’ seperti yang dikatakan oleh penulis sendiri. Namun setelah membaca helai demi helai, banyak pula input-input yang ditulis bukan sahaja dari pandangan dan kenangan peribadi beliau, malah meliputi fakta dari kejadian semasa, perlakuan pengiat muzik punk, sejarah muzik punk dari kampung halaman beliau hinggalah ke zaman ke gemilangan Annexe Central Market. Sesuatu yang menarik dan membuatkan saya begitu leka serta santai membacanya.
Pada tahun 2006-09 saya masih berkerja di Kuala Lumpur dan pernah beberapa kali lepak di Bau Bau Café bersama Shammir, Basement Records. Rizzie (gitar) pernah menjadi tukang masak di Bau Bau Café dan Aiman (dram) pernah membantu Joe Kidd menguruskan kedai punk, The Ricecooker yang terletak bertentangan Bau Bau Café. Tetapi ketika itu saya langsung tidak pernah mendengar nama Dum Dum Tak.
Dipengakhiran buku ini dimuatkan temubual-temubual pilihan antara anggota Dum Dum Tak bersama zine-zine dan stesen radio. Manakala prakata buku ini ditulis oleh Hishamuddin Rais, blogger kontroversi Tukar Tiub yang merupakan penyokong tegar mereka.
Buku ini dicetak secara professional oleh Alternatif Press pada 2013 dalam saiz yang comel serta dimuatkan beberapa foto dan flyers yang bersejarah.
Saya tidak pasti akan harganya kerana naskah ini dihadiahkan oleh Nizang. Sila ke blog mereka;
http://dumdumtak.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan