Ahad, 12 Oktober 2014

USRAH DAN DA’WAH: AL IMAM HASSAN AL BANNA


Buku ini diterbitkan pada tahun 1979, merupakan petikan dari sebahagian tulisan al Imam Hassan al Banna bertajuk “Nizamul Amru Wa Risalatutta’aim”.

Buku ini tidaklah setebal mana pun, hanya 5o mukasurat dengan harga RM3.50. Tetapi apa yang disampaikan dan segala amanat dan nasihat terkandung di dalamnya begitu tinggi nilainya. Saya mengalirkan airmata membacanya. Begitu lemah pergorbanan saya terhadap pengakuan iman ini.

Buku ini harus dimiliki dan dibaca oleh setiap orang yang ingin bergelar pendakwah. Bukan hanya kaki kongsi perihal mengarut dan sensasi tentang gerakan da’wah di laman sosial. Da’wah itu memerlukan pengorbanan bukan hanya pertarungan jari-jemari papan kekunci.

Al Imam Hassan al Banna dilahirkan pada tahun 1906 di Mesir. Pada usia 12 tahun beliau menjalani latihan di badan “Jama’ah Al Suluk Al Akhlaki” yang diantara kegiatan badan ini ialah mengenakan tatatertib dalam bentuk denda/hukuman pada ahlinya yang mengeluarkan kata-kata cacian dan maki hamun kepada ahlinya atau perbuatan yang menyalahi agama. Ia antara faktor membawa keperibadian mulia kepada beliau. Pada tahun 1922 beliau menjadi ahli Jamaatul al Safiah yang berjuang memelihara prinsip akhlak Islam dan menentang gerakan missionary Kristian di Kaherah. Ketika itu beliau banyak dipengaruhi ajaran al Imam al Ghazali.

Dikenali dengan seorang yang rajin dalam pelajaran, luasa pandangan, gemar ilmu tasawuf, sejarah Rasullulah SAW, dan kisah perjuangan pahlawan yang mempertahankan tanah air dan agama. Pada 1923 di usia 16 tahun beliau memasuki Darul Ulum, satu yayasan yang merupakan institusi pengajian tertinggi ketika itu merangkumi pengajian tradisional dan akedemik moden. Maka beliau sebagai seorang anak desa yang intelek jelas melihat pergolakan parti politik dan aliran-aliran yang menentang agama dicetuskan oleh gerakan Kamal Artaturk.

Dari kebimbangan itu beliau mula giat berdakwah dengan mengaturkan ceramah-ceramah agama bukan sahaja di masjid-masjid tetapi disegala macam tempat terutamanya kedai-kedai kopi. Usaha berdakwah di kedai-kedai kopi itu telah membawa hasil yang amat besar sekali. Malah hubungan dan sokongan terhadap beliau semakin bertambah.

Setelah mendapat ijazah dari Darul Ulum dan berkhidmat sebagai guru, beliau membawa kaedah berdakwah di kedai kopi yang dilakukannya di Kaherah ke bandar Ismai’liah. Akhirnya pada Mac 1928 beliau telah menubuhkan organisasi Al Ikhwan Muslimon yang akhirnya berkembang pesat dan subur di Kaherah. Pada tahun 1948 Al Ikhwan Muslimon telah diharamkan oleh pemerintah Al Nukrasyi dari parti al Sa’di kerana dituduh merancang pemberontakan menumbangkan kerajaan. Cawangan-cawangan Al Ikhwan Muslimon ditutup dan harta bendanya di sita. Mereka dituduh sebagai musuh ketat negara yang cukup lengkap dengan persediaan senjata, hospital-hospital, sekolah-sekolah, kilang-kilang dan syarikat perniagaan yang kukuh.

Pada waktu Zohor 12 Februari 1949, al Imam Syed Hassan al Banna telah ditembak dan meninggal dunia di hospital oleh polis rahsia kerajaan kerana menuntut bela atas kematian Perdana Menteri yang telah dibunuh oleh seorang mahasiswa yang bertindak atas daya usahanya sendiri kerana marahkan pembubaran Al Ikhwan Al Muslimon.

Berikut saya petik sedikit perutusan beliau;

LANDASAN

“Orang-orang yang menyampaikan risalah Tuhannya (Allah) dan takut hanya kepadaNya tidak kepada yang lain, cukuplah Allah sebagai penghitung segala amal dan makhluknya” – Q.S Al Ahzaab: 39

“Katakanlah! 
Hanya sebuah wasiatku kepadamu, Iyalah, kamu akan menghadap kepada Allah berdua-dua dan sendiri-sendiri. Kemudian renungkanlah dalam-dalam. Tidak ada sifat gila pada sahabat kamu itu (Muhammad). Dia hanyalah seorang pembawa peringatan buat kamu dihadapan adzab yang pedih.

Katakanlah! 

Upah yang kuharapkan dari kamu adalah buat kamu. Balasan jasa buatku terserah kepada Allah, kerana Dia menyaksikan segala sesuatu.

Katakanlah! 

Sesungguhnya Tuhanku yang Maha Mengetahui perkara ghaib mewahyukan kebenaran kepadaku.

Katakanlah! 

Telah datang kebenaran, dan kepalsuan tidak akan memulai sesuatu untuk mengalahkan kebenaran dan tidak akan boleh mengembalikannya.

Katakanlah! 

Jika aku sesat, maka kesesatan itu buat diriku sendiri, dan jika aku terpimpin, maka itulah wahyu dari Tuhanku, sesungguhnya Dia Maha Mendengar yang dekat." – Q.S Saba’: 46-50.

ENAM PEGANGAN

1. Agama hanya akan dapat dirasakan oleh orang yang menegakkan ia dalam dirinya.

2. Bahagia dan sa’adah hanya akan dirasakan oleh orang yang membela keyakinan, kebenaran dan keadilan.

3. Kemenangan dan kejayaan hakiki hanya akan diberikan kepada para pejuang yang rela berkorban, kuat menahan penderitaan dan kepapaan.

4. Kesabaran dan ketahanan berjuang hanya diberikan kepada mukmin yang mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.

5. Berdirilah dengan keyakinan dan berjuang, kerana makna dan guna hidup terletak pada keyakinan dan perjuangan.

6. Belajarlah memfanakan diri. Gunakan untuk kepentingan cita dan agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan