Rabu, 15 Oktober 2014

ANNABELLE (2014)


Kisah ini difilemkan memandangkan sambutan luar biasa terhadap filem seram The Conjuring arahan James Wan, anak kelahiran Kuching Sarawak yang disifatkan telah mengembalikan semula keseraman dipangung wayang. The Conjuring kononnya kisah benar dipetik dari salah satu kes-kes yang dikendalikan oleh pemburu hantu popular Ed dan Lorraine Warren. Begitu juga Annabelle yang ditulis berpandukan kes yang diuruskan oleh mereka. Tetapi ia telah dicantikkan lagi untuk dikomersilkan. Annabelle ditulis oleh Gary Dauberman, diarahkan oleh John R. Leonetti dan tetap dibiayai oleh James Wan. Ok, jom!

Kisah ini digarap pada era 70-an yang mana kumpulan-kumpulan ajaran sesat seperti yang diketuai oleh Charles Manson sedang bermaharajalela di Amerika Syarikat. Pasangan John dan Mia Form adalah sebuah keluarga yang taat pada agama, Mia sedang sarat mengandung anak sulung ketika itu. Suatu malam Mia tersedar dari tidur setelah mendengar jirannya menjerit. John yang dikejutkan oleh Mia terus menyiasat kejadian tersebut dan mendapati jirannya Higgins telah mati dibunuh. Mia yang berlari kembali ke rumahnya untuk menghubungi polis tidak mengetahui pasangan pembunuh tersebut telah berada di dalam rumahnya. Namun ketika si pembunuh lelaki cuba membunuh Mia,  suaminya dan pihak polis telah tiba dan menembaknya. Manakala si pembunuh wanita membunuh diri sambil memegang anak patung yang dihadiahkan John pada siang hari tersebut. Wanita tersebut sempat mengukir simbol pelik pada dinding rumah Mia manakala darahnya mengalir ke dalam mata anak patung tersebut.

Walaupun ditikam pada bahagian perut, kandungan Mia Form disahkan selamat oleh doktor. Manakala pihak polis melaporkan pasangan pembunuh tersebut adalah Annabelle Higgins dan teman lelakinya. Mereka membunuh keluarga sendiri kerana terpengaruh dengan ajaran sesat. Pihak media dan polis menyifatkan mereka sebagai orang gila.

Mia dan John kembali ke rumah mereka, namun gangguan demi gangguan misteri melibatkan anak patung tersebut mula terjadi. Seperti mesin jahit elektrik yang hidup sendiri, gangguan siaran televisyen, anak patung berubah tempat dengan sendirinya, kerusi malas berayun sendiri dan sebagainya. Menyedari sesuatu yang tidak kena pada patung tersebut, Mia akhirnya meminta John membuang anak patung tersebut.

Suatu hari John terpaksa keluar daerah diatas urusan kedoktorannya. Dapur rumah mereka terbakar sendiri, ketika melarikan diri Mia dapat rasakan sesuatu menarikannya ke dalam api. Mujur beliau diselamatkan oleh jiran-jiran. Mia selamat melahirkan seorang anak perempuan, Leah di hospital dan trauma dengan kejadian itu, Mia memohon John agar membeli rumah baru yang merupakan sebuah apartment. 


Mereka pun berpindah. Kejutan pertama berlaku apabila Mia Form terjumpa anak patung tersebut yang comot seperti terkena api bersama barang-barang lain didalam sebuah kotak. John menyatakan dia telah pun membuangnya. Namun mereka memutuskan untuk menyimpannya. Sejak itu berbagai-bagai gangguan yang lebih hebat berlaku pada Mia. Mereka cuba mendapatkan nasihat Father Perez yang berpendapat mereka pasangan yang cekal dan harus bersabar dan menghadapi ujian itu. Akhirnya Mia menghubungi detektif yang mengendalikan kes pembunuhan tersebut yang memaklumkan kepada Mia bahawa Annabelle Higgins dan teman lelakinya menyertai kumpulan penyembah syaitan yang digelar Disciples of the Ram. Pembunuhan mereka juga merupakan satu upacara menyeru syaitan. Namun bagi detektif tersebut ia hanyalah perbuatan mengarut oleh orang-orang gila. Sejak dari itu Mia mula mencari buku-buku berkaitan demonology dengan bantuan rakan baiknya Evelyn, seorang pemilik kedai buku tersebut.

Kemuncak episod seram berlaku ketika Mia turun ke basement untuk membuang sampah. Ketika itulah dia terlihat kelibat syaitan yang memanipulasikan kegelapan, patung dan berbagai objek lagi untuk mencetuskan panik. Kelibat syaitan juga kini muncul di dalam rumah Mia. Mereka akhirnya memanggil Father Perez. Father Perez memaklumkan ada 2 orang pakar (Ed dan Lorraine Warren) dalam bidang tersebut namun mereka masih berada di luar kawasan. Justeru itu beliau berpendapat adalah lebih baik patung itu dibawa dan disimpan di gereja yang mungkin dapat mengurangkan penguasaan syaitan. Namun Father Perez cedera parah ditolak oleh entiti yang tidak kelihat sebelum sempat dia menjejakkan kaki ke gereja. John yang berkerja di hospital sempat bertemu Father Perez yang memberi amaran supaya anak dan isterinya diselamatkan kerana syaitan mahukan jiwa mereka. Tanpa paksaan tetapi melalui tipu daya.

Manakala Mia Form dan Evelyn dirumah telah diserang oleh kelibat yang menyerupai Father Perez, anak Mia disembunyikan dan berbagai-bagai ayat provokasi ditulis pada dinding-dinding. Ayat-ayat tersebut berkomunikasi dengan Mia. Syaitan inginkan Mia terjun dari tingkap jika mahu anaknya selamat. Ketika Mia cuba membunuh diri dengan melompat dari tingkap. John sempat menariknya. Namun, tanpa mereka sedari Evelyn telah mengambil tempat Mia dan melompat dari tingkap dan mati. Evelyn sebelum ini merupakan seorang wanita yang patah hati di atas kematian anak oleh kerana kecuaiannya. Evelyn sering berpendapat jangka hayatnya yang panjang ada tujuan tertentu. Mungkin itulah penyebab Evelyn sanggup berkorban untuk Mia. Leah kembali dijumpai, manakala patung tersebut lenyap begitu sahaja. Polis berpendapat ada orang mencurinya.

6 bulan selepas kejadian itu, seorang wanita ditunjukkan telah membeli anak patung tersebut disebuah kedai antik sebagai hadiah harijadi anaknya yang sedang menuntut di kolej jururawat. Ia berakhir disitu.

KISAH ANNABELLE SEBENAR

Kisah Annabelle yang dicatatkan ada bermula dari pembelian sebuah anak patung Raggedy Ann Doll oleh seorang wanita untuk dijadikan hadiah harijadi kepada anaknya, Donna yang sedang menutut jurusan kejururawatan. Donna tinggal bersama rakannya Angie disebuah apartment. Angie yang mula-mula sekali sedar sesuatu yang aneh mengenai anak patung tersebut. Sehinggalah akhirnya mereka berdua mula menyedari anak patung itu sering berubah tempat sendiri, pernah suatu ketika Angie mendapati patung tersebut berdarah. Rakan mereka Lou yang membenci patung tersebut penah bermimpi dicekik oleh patut tersebut. Manakala setiap kali mereka pulang bekerja, anak patung yang ditinggalkan di katil akan berada di ruang tamu. Sehingga akhirnya mereka bersetuju untuk membawa patung untuk ke suatu upacara séance yang mengatakan apartment yang mereka huni itu terdapat roh kanak-kanak bernama Annabelle Higgins yang berkeliaran sehinggalah mereka membawa anak patung tersebut. Roh Annabelle dikatakan tertarik untuk berdamping bersama Donna dan Angie kerana sifat mereka sebagai jururawat yang suka berbakti dan penyayang. Donnie dan Angie bersetuju untuk membiarkan Annabelle bersama mereka. Namun semakin pelik ganguan yang mereka alami terutamanya rakan lelaki mereka, Lou.

Akhirnya mereka mendapat perhatian Ed dan Lorraine Warren. Paderi dipanggil untuk menjampi serapah dan mereka mengambil patung Annabelle tersebut pulang untuk disimpan. Ed melalui penjelasannya mengatakan tiada roh manusia yang menghuni anak patung tersebut sebaliknya syaitan. Dan Ed juga mengatakan syaitan juga tidak merasuk anak patung, tetapi dia hanya mempergunakan anak patung itu supaya orang percaya roh kanak-kanak menumpang di dalamnya. Targetnya adalah jiwa Donna. Ed dan Lorraine Warren mengalami kesukaran membawa pulang anak patung tersebut ke rumah mereka dengan berbagai-bagai ganguan, begitu juga apabila di rumah mereka. Patung tersebut turut berubah-rubah dari bilik ke bilik sehingga Ed terpaksa memanggil seorang paderi Katolik untuk menjampinya. Paderi tersebut mengalami kemalangan parah sewaktu pulang dari rumah Ed. Akhirnya Ed membina sebuah kurungan khas kepada patung itu. Dan berpendapat syaitan tersebut masih ada disamping patung itu menunggu masa untuk bertindak semula.

Annabelle yang sebenar

Patung tersebut masih berada di Occult Museum milik mereka di Monroe, Connecticut yang kini diselenggara oleh menantu mereka, Tony Spera. Kisah patung Annabelle ini turut dijadikan ilham dalam penghasilan karekter patung Chucky dalam filem Child Play.

RUMUSAN

Banyak yang menilai filem ini sebagai biasa-biasa sahaja. Tetapi bagi saya kepada mereka yang tahu menonton genre ‘satanic cult’ akan merasakan ke-sempoi-an filem ini. Filem ‘satanic cult’ bukan seperti subgenre horror yang lain seperti makan budak, gigit kepala putus, mayat kejar orang dan sebagainya. Saya suka bagaimana paderi Perez menjelaskan bahawa syaitan yang muncul memanipulasi keadaan, bukan melibatkan roh sesiapa pun. Itu hanya sandiwara. Kalau dalam Islam pun, kita setuju dengan pandangan itu. Sebaliknya filem di Malaysia yang ditulis dan diarahkan orang Islam di Malaysia pula menghidangkan khurafat roh balas dendam. Oleh itu syabas Gary Dauberman yang merealisasikan hujah ini dalam filem barat.

Yang kedua, Gary Dauberman berjaya mengeksploit kisah patung Annabelle ini dengan olahan idea dia sendiri. Maknanya, cerita Annabelle yang direkodkan hanya ganguan pada dua orang jurururawat yang tidak melibatkan sebarang kematian. Dia menulis jalan cerita fiksyen sebelum dari kisah jururawat, ditambah drama pembunuhan, bunuh diri, trauma, dan sebagainya untuk lebih kesan. Pelakon utama, yang turut bernama Annabelle digunakan sebagai pelaris cerita ini. Penonton lebih emosi bila melihat wanita cantik dalam ditimpa musibah. Itu strategi antarabangsa.

Saya menonton filem ini di panggung wayang hari ini bersama 6 orang penonton lain. Suasana hening dan agak merisaukan. Hahaha.

2 ulasan:

  1. belum berpeluang untuk tonton...kalau dapat menonton secara berseorangan di tengah malam tentu lagi menarik....tetapi kebiasaannya saya gagal untuk berbuat begitu...hahaha..

    BalasPadam
  2. Review THE CONJURING terdelete pulak... penat taip.

    BalasPadam