Isnin, 27 Oktober 2014

MASAK LEMAK KETAM PAWA JANGGI


Saya namakan masak lemak ketam ini sempena misteri sebuah kawasan yang dipanggil Tasik Pawa Janggi di Beting Beras Basah, Perak yang sememangnya tercatat dalam sejarah Melayu. Penemuan tasik ini diriwayatkan pada 1528 apabila pembesar Perak mengadap Sultan Mahmud Shah, pemerintah terakhir Melaka yang bersemayam di Kampar, Sumatera. Pembesar Perak memohon supaya seorang putera dijadikan pemerintah Perak yang tidak mempunyai Sultan. Permintaan itu diperkenankan dan Raja Muzaffar dititah menjadi pemerintah Perak pertama. Namun ada juga riwayat lain yang mengatakan Tasik Pawa Janggi yang dimaksudkan dalam sejarah Melayu itu adalah Segitiga Bermuda. Wallahu'alam. Jom masak.

BAHAN-BAHAN:
1kg ketam laut
1 tin susu krimer (boleh juga diganti santan)
2 labu bawang merah
1 ulas bawang putih
3cm kunyit hidup
1cm halia
3 batang serai
1 sudu asam jawa diperah dalam segelas air (boleh ganti asam 3 keping)
1 sudu cuka epal
Garam secukup rasa
5 biji cili burung
1 biji telur itik

 
CARA MEMASAK:

Potong ketam sama tengah dan pangkas hujung sepitnya ( saya tiru teknik sebuah restoran Siam) cara begini membuatkan kuah masak lemak anda terkumpul cantik dalam kulit ketam, manakala isi sepitnya mudah dikopek nanti.

Bawang putih, bawang merah, kunyit, halia ditumbuk lumat. Masukkan ke dalam periuk bersama susu dan serai yang diketuk pangkalnya kemudian panaskan api hingga mendidih.

Masukkan ketam, air asam jawa, cuka epal dan garam. Tambahkan susu jika perlu. Pastikan ketam tenggelam keseluruhannya dalam kuah.

Kacau kuah supaya tidak pecah minyak. Seterusnya pecahkan telur itik dan terus kacau hingga larut.

Tambahkan perisa, belimbing buluh atau nenas jika mahu.

Ketam anda masak apabila ia berubah warna.

Sedia untuk disajikan.


TAMBAHAN:

Sajian ini sangat mudah dibuat. Tidak perlu menumis dan bahan-bahannya ringkas.

Tasik Pawa Janggi juga dipanggil sebagai Tasik Pauh Janggi dikatakan tempat terletaknya sebuah lubang tiada dasar. Di atas lubang itu ada seekor ketam raksasa yang menyebabkan terjadinya air pasang dan surut serta pusaran di lautan apabila ia keluar mencari makan dan kembali duduk di atas lubang tersebut.

Adakah ianya mitos?
Pada awal 15 Oktober lalu, pemilik sesawang Weird Whitstable, Quinton Winter memuat naik sebuah imej satelit yang melintasi Kent harbor, England dan mengejutkan ramai pihak. Adakah itu adik beradik ketam Pauh Janggi? Namun pakar grafik mengatakan ia boleh disunting dengan mudah mengunakan Photoshop. Lihat imej dibawah.


Band atmospheric metal VOCIFERATION ETERNITY dari Ipoh telah merakamkan album “Ocean Myth” (1996) yang memuatkan lagu “The Lake Pauh Janggi”.

1 ulasan: