Antara jenama kebanggaan rakyat Perlis yang diperkenalkan oleh Mufti Negeri adalah Perkampungan Sunnah, ia bagai sebuah konvensyen yang memuatkan slot-slot pengajian kitab dan ilmu dari awal subuh hingga ke malam. Tanpa membuang elemen santai dan riadah, ia turut memberi ruang kepada aktiviti sukan seperti memanah, berbasikal bersama DYTM Raja Perlis dan Dr. MAZA, pameran, gerai jualan kitab, buku agama dan produk-produk tempatan, Forum Perdana dan juga perkenalan kepada street dakwah melalui kerjasama MRM (Multiracial Reverted Muslims). Ada pihak yang memperlekehkan usaha dakwah dan islah melalui idea ini, termasuk berhujah dengan mengatakan ahlus sunnah sendiri menganjurkan perkara bid'ah melalui 'perkampungan sunnah', kerana bagi mereka tiada 'perkampungan sunnah' di zaman baginda, Rasulullah SAW.
Saya tertarik dengan penjelasan mudah dari Mohd Hairi Nonchi, 15.11.2015, mengenai bid'ah:
Pertama harus difahami terlebih dahulu maksud bidaah secara bahasa (lughah) dan secara istilah (syarak).
Bidaah secara bahasa ialah segala sesuatu yang baharu yang belum ada contoh sebelumnya. Bidaah dalam konteks ini tidak semuanya haram dan sesat. Sebahagiannya ada yang baik dan diterima oleh syarak.
Manakala bidaah secara istilah ialah segala tatacara ibadah baharu yang tidak diajar dan dianjurkan oleh al-Quran mahupun as-Sunnah Nabi yang sahih. Maka bidaah dari sudut ini tidak ada yang baik. Semuanya adalah buruk, sesat dan dicela syarak.
Ini kerana, semua tatacara ibadah sudah pun diajarkan secara lengkap dan terperinci oleh Rasulullah sebelum wafatnya. Maka tidak mungkin selepas kewafatan baginda, masih ada wahyu yang mensyariatkan suatu tatacara ibadah baharu dan menjanjikan pahala kepada mereka yang mengamalkannya.
Contoh bidaah yang baik ialah penggunaan mikrofon (alat pembesar suara) untuk melaungkan azan.
Ia adalah alat yang tidak pernah wujud (bidaah) pada zaman Nabi. Namun oleh kerana ia memberi manfaat kepada manusia dalam melaksanakan ibadah kepada Allah, maka ia adalah suatu yang baik.
Apa yang baharu di sini hanyalah pada alatnya yakni mikrofon, namun tatacara azan (ibadah) tidaklah berubah. Ia tetap sebagaimana asalnya yang diamalkan pada zaman Nabi dan para sahabat.
Contoh lain ialah penggunaan pengangkutan moden ke masjid untuk menunaikan ibadah solat dan ayat al-Quran dalam bentuk digital. Apa yang baharu hanyalah pada alat, bukan tatacara ibadah solat dan lafaz ayat-ayat al-Quran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan