Khamis, 15 September 2016

ORANG ASING YANG MENGGENGGAM BARA API


“Allah telah memutuskan untuk menghancurkan dunia ini sebelum Dia menciptanya” kata Maulana Nasaie sebagai mukadimah kuliahnya yang berjudul Orang Asing yang mengenggam Bara Api melalui Kembara Ilmu siri Ogos yang dianjurkan Jabatan Mufti Negeri Perlis. Boleh dikatakan ia juga antara kata pembuka kegemaran Maulana dalam siri-siri kuliahnya.

“Maka beruntunglah bagi orang-orang asing” (HR Muslim)

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW ditanya “Wahai Rasulullah siapa yang asing itu?. Rasulullah SAW bersabda “Yaitu orang-orang yang mengadakan pembaikan di tengah manusia yang berbuat kerosakan”

Dalam lafaz yang lain, Rasulullah SAW: “Mereka adalah orang-orang yang memperbaiki sunnahku yang dirosak manusia”.

Dari ibnu Umar r.a berkata “Rasulullah SAW memegang bahuku seraya bersabda “Hiduplah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara” Ibn Umar berkata “Jika engkau ada pada waktu petang maka jangan menunggu waktu pagi hari. Jika engkau ada pada waktu pagi jangan maka jangan menunggu petang hari. Manfaatkanlah sihatmu sebelum sakitmu dan manfaatkanlah hidupmu untuk bekalan matimu” (HR al-Bukhari, Ibn Hibban, al-Baihaqi)

Rasulullah SAW memberikan pelajaran agung melalui hadis ini. Pesan baginda agar seorang mukmin sentiasa perlu menganggap dirinya sebagai orang asing atau orang sedang bermusafir sahaja. Orang asing tidak memiliki tempat tinggal. Negeri tempat ia berada bukanlah kampung halamannya. Negeri itu sekadar tempat ia menyelesaikan hal keperluannya dan kembali ke kampung halamannya. Begitu juga orang yang mengembara, dia singgah sebentar untuk berteduh dan mencari bekal kemudian dia pun berlalu menuju destinasi keinginannya.

Sedang jiwa ini begitu asyik memahami erti kata-kata sang Rasul ini. Tuhan memberi jawapan dengan pantas. Saya mendapat arahan ditukarkan ke Gombak serta-merta. Walaupun dikurniakan rezeki yang lebih, jiwa saya berat. Namun saya berangkat juga…

Di negeri sini saya ada kediaman sendiri, walaupun rumah teres dan jauh dipinggir bandar,
Kalau makan di kedai. Kedai milik rakan-rakan baik,
Takda duit nak makan. Kawan-kawan belanja,
Ada kereta walaupun buruk, ia milik sendiri,
Tiada isteri, tapi saya ada ibu ayah dan adik-adik,
Bila kenderaan rosak. Mekanik pun rakan baik.
Ada koleksi CD, kaset, piring hitam, homestudio, mampu juga dibeli dan dikumpul
Tomoi, kasuh basikal, camping, ada saja masa terluang untuk itu
Ada mufti yang dianggap guru kami semua
Cara beragama, selesa dengan cara salaf
Kerja di pejabat, kerja dengan kawan-kawan baik
Ada haiwan kesayangan yang dah menjadi sebahagian dari keluarga
Nak bermuzik, gig, kenduri, kuliah, semua bersama kawan-kawan baik
Selesa nak berkarya.. menulis, melukis, bermuzik

Siapa yang tak sedih apabila semua ini, diambil dengan tiba?. Segala hal yang sebelum ini tidak pun saya anggap sebagai nikmat. Hari ini saya dihantar ke daerah yang asing, tanpa sesuatu harta, hiburan, tempat tinggal dan saudara-mara.


Cuaca di sini paling panas.. suhu yang tertinggi di Malaysia. Tapi dengan kemarau itu kami ada harumanis... Panas itulah yang saya rindu kini.

Maulana Nasaie juga sebaik pulang dari kembara ilmu di Perlis terus bermusafir ke Jordan. Benar katanya, sesetengah manusia Allah SWT jadikan dengan kekuatan fizikal dan kecerdasan aqal untuk menimba ilmu yang padanya menjadi khazanah. Manakala ada manusia, Allah jadikan dihidup sebagai rakyat biasa, orang awam yang dari khanazah golongan pertama tadi dia mengambil agamanya.

Doakan saya agar dapat menempuh hari-hari sebagai orang asing di Hospital Orang Asli Gombak.

Selasa, 6 September 2016

HERMYTH ZINE (ISU #7)


M. Azman telah merubah format zine ini kepada A5 agar mudah diuruskan dan kelihatan comel. Beliau masih mengekalkan reka letak gaya ‘gunting dan lekat’ namun kali ini lebih kemas dan mesra mata memandang. Pemilihan font saiz yang sesuai menjadikan zine ini mudah dibawa kemana sahaja untuk ditela’ah. Saya suka kecekalan yang ada pada M. Azman yang berusaha mengunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantaraan rasmi zine ini walaupun broken se-broken broken-nya. Meskipun kadang-kadang bunyinya lucu, ia boleh membawa zine ini ke peringkat global. Jangan main-main!


Hermyth zine kali ini membawa temubual bersama Blazt Promotion, NYMPHOLEPSY, MILITANT ATTACK, DIRE CROWN, EXISTENCED DENIED Zine, ulasan-ulasan album, dan forum bersama ikon-ikon muzik bawah tanah tempatan. Anda perlu miliki zine ini dan teruskan menyokong beliau!

HERMYTH ZINE (ISU # 6)


M. Azman telah berjuang cukup lama bersama Hermyth zine yang boleh dikatakan otai penerbitan bawah tanah dari Melaka. Ini adalah isu yang terakhir Hermyth yang dihasilkan dalam format A4. M. Azman terus berkarya dengan cara tradisional ‘gunting dan lekat’ sebagai reka letak di setiap muka surat zine ini. Menampilkan wawancara bersama VELHALLA dan HANATOR dari Borneo, RAKAZ, REHEARSE dan banyak lagi. Ada juga ulasan rakaman-rakaman dunia underground dan paling menarik ada forum yang diwujudkan oleh M.Azman membangkitkan isu-isu tertentu untuk dibahas oleh individu-individu ternama dalam scene. Forum whattapp ini adalah sesuatu yang unik ideanya. Ilustrasi kulit zine ini dihasilkan oleh sahabat saya, Mika Rot sang editor kepada Discarnage zine.


M. Azman, Lot 941 Jalan Setulang Daeng, Pulau Gadong, 75200 Melaka.

Isnin, 5 September 2016

BANGKIT! ZINE (ISU # 2)


Saya memang hormati kemampuan Pyan dalam menulis dan menyunting zine. Ulasan-ulasan beliau juga mengambarkan jatidiri, ilmu dan pengalaman yang ada didadanya. Seperti label indie yang diuruskannya, Blazt Promotion, Pyan tidak memilih band atau individu untuk ditemuramah berdasarkan kriteria yang membuatkan zine beliau laris dek kerana populariti band atau individu tersebut. Tetapi ia berdasarkan etika, dan ‘keperluan’ yang kuat untuk memperkenalkan kumpulan-kumpulan tersebut kepada penyokong scene UG tempatan yang masih percaya dengan penerbitan zine. Pyan juga bertindak lebih progressif kali ini dengan menampilkan kulit keras glossy dan kualiti xerox yang bagus. Susunan reka-letak yang kemas dan padat. Saya suka Bangkit! kerana ia mengekalkan standard zine underground 90’an yang hebat. Saya seperti tidak sabar untuk memiliki isu selanjutnya nanti.

Isu # 2 ini menampilkan temubual bersama THE BOLLOCK, KAH KAH CELAKA, SHITNOISE BASTARDS, NO DISTANCE, PIG-KRUST/BAKTERIA, SHARON STONED, SECRET IN DEFENSE, TANRANTULAH, BRAINCELL, UPTOSIXTEEN dan TERSSALAHH. Turut menampilkan ulasan produk UG, berita zine fest dan sebagainya dalam 60 mukasurat. Berbaloi!


Blaztpromotion.blogspot.my



facebook.com/blaztpromotion

HIKAYAT AMIR HAMZAH (DBP)


Saya jumpa buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka cetakan pertama 1969 dalam sebuah bengkel usang tetapi keadaannya masih baik. Naskah yang terkenal di alam kesusasteraan Melayu ini ditulis oleh seorang penulis Parsi dengan judul Qissa’i Emir Hamza, dibawa oleh pendakwah dari India ke Melaka pada zaman kesultanan Melayu Melaka (1511 Masehi). Kononnya ia disalin dengan tulisan tangan oleh penulis istana raja Melaka yang mengambil masa selama 15 tahun. Padahal tak lah panjang mana hikayat ini? Namun dari kata pengenalan dalam buku ini, naskah ini diterjemahkan S. A Dahlan dari karya penyelidikan 2 orang Arab-Mesir. Oleh itu ia agak berbeza dari naskah-naskah dari zaman purbawara. Hikayat Amir Hamzah merupakan antara hikayat yang disebut dalam Sejarah Melayu, ketika pertahanan Melaka dari serangan Portugis mula goyah, hikayat ini disebarkan bagi menaikan semangat pahlawan Melayu.




Hikayat Amir Hamzah mengandungi 30 tajuk, mengisahkan keberanian dan kegagahan Sayyidina Hamzah mengepalai tentera Islam dalam peperangan menentang tentera-tentera kafir. Membaca hikayat ini sedikit sebanyak memberi penjelasan bagaimana Parsi mengembangkan pemikiran mereka melalui seni kesusasteraan yang begitu utuh di bumi Melayu. Jika anda sedar rupanya, orang Melayu sudah terdedah dengan hujah agama melalui mimpi melalui dogeng-dogengan hikayat sebegini. Bahkan status perwira sentiasa dikaitkan dengan wali-wali, nabi Khaidir dan juga penguasaan alam jin. Kadang-kala perjuangan Amir Hamzah mirip atau lebih hebat dari nabi lagaknya. Awas, terbiasa dengan kisah mimpi-mimpi yang dianggap hujah agama, anda akan mudah didekati tarekat-tarekat aneh yang sudah menular dalam masyarakat. Kata seorang pengkaji luar Hooykaas, “Hikayat Amir Hamzah” sangat terpengaruh oleh suasana Syi’ah. Aliran syiah merupakan aliran (fahaman sesat atas nama Islam) yang paling awal masuk ke Nusantara yang berasal dari Gujarat, India. Dengan demikian, sastera aliran Syi’ah merupakan satu kesusateraan klassik dunia Melayu.

S.A Dahlan sebagai seorang yang menjunjung kebenaran turut menerangkan pada kata pendahuluan, bahawa Amir Hamzah bin Abu Mutalib yang berusia 180 tahun seperti yang ditulis penulis itu tiada kebenarannya, sebaliknya Amir Hamzah bin Abu Mutalib, atau bapa saudara nabi kita itu menurut sejarah Islam hanya hidup hingga berusia 59 tahun dan hanya dua tahun lebih tua dari Rasulullah saw. Buku ini harus dibaca dengan pengetahuan bahawa ia bukan buku sirah yang sahih, bahkan hanya hiburan yang diambil dari aspek seninya. Saya bersependapat dengan ilmuan seperti Dr. Ph. S. Van Ronkel.

Berdasarkan penelitian Hikayat Amir Hamzah yang ada di Leiden, naskah A (1697) dan naskah B (1698), Van Ronkel menyimpulkan bahawa Hikayat Amir Hamzah bukan berasal dari bahasa Arab seperti yang dikatakan oleh peneliti lain, tetapi terus dari bahasa Parsi.

Van Ronkel juga berpendapat bahwa Hikayat Amir Hamzah adalah dari kumpulan “cerita dongeng” yang memuliakan agama Islam dan pahlawan-pahlawan Islam.

Khabarnya PTS sedang berusaha untuk memodenkan karya ini?

Khamis, 1 September 2016