Sabtu, 20 Januari 2018

MENJEJAK AIR TERJUN HUTAN LIPUR KANCHING





Setelah memantau Rawang Bypass tempoh hari. Timbul pula keinginan mahu mandi air terjun Kanching yang terletak berdekatan jambatan ini. Maka saya bersama Joe ( beliau pengemar aktiviti outdoor dan aktif dengan kerja-kerja dakwah bersama Multi Reverted Muslim (MRM) pula datang ke untuk menikmati kesegaran hutan lipur ini.

Kebetulan kereta Joe rosak malam tadi, dia baru sahaja sampai rumah jam 5.30 pagi dan terus keluar semula kerana tidak mahu mungkiri janji. Kesian pula lihat dia yang keletihan dan tak cukup tidur.

Hutan Lipur Kanching terletak di Hutan Simpan Kanching yang mempunyai jenis Hutan Dipterokarp Pamah dan Bukit. Hutan lipur ini juga terletak lebih kurang 2 km dari Templer Park. Keunikan kawasan ini ialah ianya mempunyai 7 strata air terjun yang cantik. Pada setiap strata air terjun terdapat kolam yang cantik dan sangat sesuai untuk mandi-manda. Pengunjung-pengunjung boleh juga berkhemah dan menyusur denai hutan sambil menikmati suasana yang hijau di sekeliling air terjun. Kemudahan awam yang disediakan adalah seperti tempat letak kereta, tandas awam dan tempat mandi. Di samping itu tempat ini sesuai untuk aktiviti berkelah atau aktiviti berkumpulan. Boleh buat BBQ dan masak, cuma tolonglah kutip semula sampah. Jangan buat pencemaran. Sayangilah alam sekitar.

Bagi mengelak risiko, sila pakai kasut yang sesuai jika anda mahu hiking ke air terjun paling tinggi. Bagi yang takut pacat boleh sapu krim anti-pacat yang boleh dibeli di farmasi atau sapu aja minyak tomoi atau minyak kayu merah tu. Dan paling penting jaga beg, barang makanan, telefon yang anda bawa dengan rapi kerana beruk dan monyet yang ada disini sudah terlalu nakal dan buas. Mereka sudah biasa diberi makan oleh manusia dan tidak mahu mencari makan sendiri lagi. Mereka akan serang dan merampas apa sahaja yang dibawa pelawat jika tidak berhati-hati.




















Tiada ulasan:

Catat Ulasan