Isnin, 21 Mei 2018

PENGEMBARAAN KE KEDAH, PERLIS DAN KELANTAN (BDP)


Tulisan genre travelog oleh Zainal Abidin bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pendita Za’ba ini diterbitkan pertama kalinya dalam Majalah Guru sebanyak 5 siri pada Disember 1928 hingga Mei 1929. Ia dihimpunkan dan terbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2008 sebagai satu khazanah negara. Rencana pengembaraan ini asalnya mengunakan tulisan Jawi dan diubah ke Rumi dengan mengekalkan keaslian corak bahasa Za’ba bagi mempertahankan bukti pertumbuhan keperibumian bahasa Melayu. Kata pinjaman dari bahasa Inggeris yang digunakan Za’ba juga tidak dipinda. Istimewanya rencana Pengembaraan Ke Kedah, Perlis dan Kelantan ini tidak pernah dinyatakan dalam Memoirnya, buku riwayat hidupnya sebelum ini dan ia satu-satunya travelog yang beliau tulis walaupun pernah berkelana ke Indonesia pada 1930-an dan melawat Eropah pada 1950-an. 

Za’ba melakukan pengembaraan ini sewaktu dia masih bertugas di Sultan Idris Training College, dengan menaiki keretapi dari stesen keretapi Tanjung Malim. Pengembaraan selama 10 hari ini agak ketat jadualnya, bahkan Za’ba hanya sempat melawat beberapa tempat sahaja namun pemerhatian tajamnya dapat memberi sedikit sebanyak lanskap sosial Kedah, Perlis dan Selatan Thai ketika itu. Ketika di Alor Setar, Kedah, kunjungan Za’ba diiringi Shamsuddin-guru sekolah Inggeris dan YM Raja Muhammad-pegawai tanam-tanaman yang membawanya melawat Sekolah Inggeris, makam diraja dan sekolah-sekolah pondok di Langgar yang terkenal bagaikan ‘Oxford dan Cambridge’ untuk orang yang tidak berpelajaran dapat menjadi graduan ilmu akhirat. Pondok-pondok inilah yang Za’ba sangat berhajat untuk melawat. 

Ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Zahir, ketika itu berkhatibkan orang Arab, Za’ba telah berkenalan dengan seorang figura bernama Tuan Haji Wan Sulaiman, seorang guru pondok yang dipanggil Sheikhul Islam Kedah. Sheikhul Islam Tuan Haji Wan Sulaiman itu belayar ke Makkah diusia 15 tahun dan kembali ke Kedah sekitar umur 40 tahun. Walaupun dia guru pondok, Sheikhul Islam Tuan Haji Wan Sulaiman mempunyai pemikiran yang progresif. Dia lantang mengkritik “lebai-lebai pondok” yang malas mencari rezeki dengan mengharapkan jemputan kenduri, upah dan sedekah mengendali ritual agama. Dia juga seorang penulis risalah, pelukis berbakat, Za’ba menceritakan tentang satu lukisan Iblis memegang kaum tua dan kaum muda di pondoknya sebagai gambaran kedua golongan itu terbelit dengan bisikan setan. Sheikhul Islam Tuan Haji Wan Sulaiman memberitahu Za’ba bahawa dalam Jemaah Masjid Zahir, dia adalah antara ulama ‘mutawassitin’ yang berada ditengah-tengah dua golongan itu dan berusaha untuk menyatukan mereka. Sheikhul Islam Tuan Haji Wan Sulaiman merupakan pengikut tulisan Za’ba dalam majalah al-Ikhwan. Dan berdasarkan artikel dan syair-syair yang dihadiahkan kepada Za’ba, Sheikhul Islam Tuan Haji Wan Sulaiman adalah pengikut tarekat Naqsyabandi, ahli dalam ilmu falaq, dan menentang banyak hal khurafat Melayu yang berkaitan gerhana dan fahaman qadariyyah. 


Lawatan di Perlis memperkenalkan kita kepada 2 orang tokoh tajdid lagenda iaitu Syeikh Ahmad -auditor kerajaan Perlis dan Wan Ahmad, Pengawal Syarikat Berkerja Sama-Sama Perlis. Za’ba menceritakan bagaimana 2 orang tokoh ini menghadapi kesukaran dalam membawa pemikiran kritis mereka pada tuan-tuan haji dan lebai atau alim cara tua yang tiada mengetahui akan akar umbi serta hakikat ajaran agama Islam dan sentiasa berpada dengan taklid buta. Mereka menganggap orang-orang muda berpendidikan Inggeris sebagai ‘loyar buruk’. 

Tidak banyak lanskap muka bumi Perlis diceritakan seperti di Kedah. Namun, Za’ba sempat bersosial dengan ramai pegawai kerajaan Perlis seperti Mahmud, pegawai penjara Kangar, Sab-Inpektor Hashim dan dresser Rumah Sakit Kangar. Menurut Za’ba hospital Kangar ketika itu hanya diuruskan oleh dresser, manakala pegawai perubatan Inggeris hanya datang melawat dua atau tiga kali dalam sebulan. Pesakit pula ramai dikalangan Cina kerana orang Melayu tidak suka rawatan moden. Diceritakan juga oleh Syeikh Ahmad, betapa Penasihat Kerajaan Negeri Perlis ketika itu Tuan P.S Williams sangat dihormati dan disenangi oleh seluruh masyarakat Perlis kerana sangat prihatin dengan budaya setempat dan tidak pernah jemu mendengar aduan-aduan dari mereka biar serumit mana sekalipun. P.S Williams turut melarang kakitangan kerajaan Perlis memakai pakaian ala Eropah sebaliknya membenarkan busana Melayu terutamanya songkok. Za'ba dan Syeikh Ahmad juga bercerita tentang hukuman berkerja sebagai perempuan sundal di Perlis dan isu dosa peribadi seperti zina.

Diceritakan juga, Syeikh Ahmad menunjukan kepada Za’ba daftar wang zakat dan sumbangan pegawai-pegawai kerajaan untuk membina sebuah masjid besar bersenibina Mughal di Kangar. Dan masjid itu adalah Masjid Alwi yang kini menjadi tapak sejarah kebangkitan tajdid paling berjaya di Malaysia secara amnya! 

Za’ba hanya menetap satu malam di Perlis, namun pada malam itu dirakamkan mereka berbahas panjang dari tawarikh dan pemikiran al-Ghazali, ilmu tasawwuf, Ibn Jarir Tabri, Ibn Khaldun, Ibn Sina, Ibn al-Arabi, Abu Al-Hasan Asya’ari, kejatuhan empayar Andalus dan Bani Umaiyyah, hingga melarat kepada berbahas tentang ilmu hadis, sejarah pengumpulan, jalannya dan kepalsuannya. Kemudian berjangkit pula kepada membahas tentang Syiah Rafidha, Wahabi, Ibn Taimiyyah, Mirza Ghulam Ahmad, Syed Jamaluddin al-Afghani dan Charles Darwin. Perbahasan mereka berakhir dengan ilmu tauhid dan kalam “Apakah Allah Ta’ala itu ada?”. 

Za’ba mencatatkan mereka memutuskan sekelian perbahasan itu tidaklah dapat diselam akal dan ilmu manusia. Sebab itulah diutuskan Rasul dan diturunkan Al-Quran yang kita terhutang mesti percaya dan membenarkannya. Syeikh Ahmad dan Wan Ahmad, menurut Za’ba menyumbangkan banyak kupasan hebat pada malam itu yang berakhir pada pukul 2 pagi. 

Za’ba kemudian merantau dari Padang Besar ke Hatyai tanpa sebarang pengetahuan bahasa Thai. Dia banyak mencatatkan kejadian di stesen-stesen dan di dalam keretapi sahaja. Paling menarik dinukilkan scenario di perhentian-perhentian seperti di Singgora, Yala yang menurut pemerhatiannya ketika itu, masyarakat Siam hidup dalam kemiskinan, yang perempuan kebanyakannya memakai baju dan kain senteng, ada yang hingga kelihatan payudara, begitu juga lelakinya hingga ada di stesen-stesen tertentu, station master bertugas hanya memakai seluar senteng tanpa baju sekadar melilit kain cukin. Manakala anak-anak mereka bertelanjang atau sekadar memakai cawat yang pada hemat Za’ba mirip kaum Sakai. Bagi masyarakat Melayu atau Samsam (Melayu kacuk Siam) juga tidak dapat beliau bezakan kecuali para wanita Melayu yang lebih sopan dan mengenakan tudung. Identiti pengenalan lelaki pula adalah serban dan kopiah, tetapi imej kaum lelaki Siam dan Melayu di Selatan Thai hampir sama sahaja. 

Mungkin travelog ini lebih sesuai dinamakan Pengembaraan Ke Kedah, Perlis dan Pattani kerana tiada kisah Za’ba sebaik tiba di Kota Bharu. Tidak dikisahkan bagaimana dia kembali ke Tanjung Malim, namun difahamkan beliau balik dengan laluan yang sama. Dan Za’ba dikatakan singgah semula ke Langgar, Kedah untuk bertemu Tuan Haji Wan Sulaiman sekali lagi semasa perjalanan pulang. 

Ralat buku ini adalah koleksi foto-foto yang dimuatkan mungkin diambil dari enjin carian Google, malah lokasi-lokasi yang dimuatkan adalah dari era millennia ini. Ia sesekali tidak revelan dengan isi dan lanskap tulisan Za’ba. 

Saya dapat buku ini dari reruai Kawah Buku di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018, di PWTC dengan harga RM5. 

kawahbuku.com 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan