Jumaat, 25 September 2020

BERMALAM DI VIEW POINT WANG KELIAN, PERLIS

Rakan sekerja saya, Bhai sering mendesak saya utuk bermalam di Titik Pandang Wang Kelian (View Point Wang Kelian) sejak kami berkhemah di Timah Tasoh tempoh hari. Saya sebenarnya sudah lama tidak pergi ke Wang Kelian, kali terakhir saya melintas Kampung Wang Kelian ketika menjejaki air terjun Wang Sai Thong, Satun pada Disember 2019 lalu. (Baca sini) Itu pun tidak singgah di View Point ini. Kali terakhir saya ke puncak itu rasanya, pada tahun 1996, ada sebuah pondok yang menjadi tempat pasangan kekasih bermadu asmara. Kami rakan-rakan tingkatan 5 pada tahun itu pergi ke situ untuk bergambar kenang-kenangan. Tak tahulah siapa yang masih menyimpannya?

Saya tidak tahu yang kawasan itu telah dibersihkan dijadikan satu tapak khas untuk tujuan rekreasi. Dan saya juga benar-benar tidak tahu View Point Wang Kelian itu telah tular di laman sosial lebih-lebih lagi di kala tempoh PKPB ini.



Baiklah jom bercerita dahulu tentang kampung Wang Kelian yang dahulunya meriah dan menjadi tumpuan utama pelancong membeli-belah. Namun kini Wang Kelian menjadi ‘pekan hantu’ sejak pemansuhan Zon Aliran Bebas di antara Malaysia dan Thailand pada tahun 2015. Uniknya, zon yang diperkenalkan pada tahun 1993 itu membenarkan rakyat di kedua-dua negara bebas keluar masuk tanpa sebarang dokumen sehingga jarak satu kilometer dari pintu sempadan masing-masing pada hari Sabtu dan Ahad. Kita tak perlu tukar mata wang untuk membeli-belah dan semua peniaga Thai boleh bertutur dalam loghat Kedah.

Pekan yang suatu ketika dahulu hidup seawal jam 4.00 pagi dengan ratusan atau mungkin juga ribuan pengunjung setiap minggu lenyap sekelip mata sejak penemuan kem kematian di kawasan berdekatan pasar sehari itu. Gerai-gerai ditinggalkan dan projek-projek seperti Pasar Arkib Wang Kelian terbiar tanpa berpenghuni walaupun kos binaan bernilai jutaan ringgit.

Pada tahun 2015, Wang Kelian digemparkan dengan penemuan 106 rangka manusia mangsa sindiket pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya, beberapa pegawai tentera Thailand telah dipecat kerana terlibat dalam kegiatan tersebut. Manakala perkembangan siasatan kes ini di Malaysia masih belum diketahui hingga kini. (baca di sini).

Pada 1 April tahun sama, Jabatan Imigresen telah membatalkan serta-merta kemudahan pergerakan bebas ke pasar sempadan itu antara Malaysia dan Thailand.

Berdekatan pintu sempadan ini ada Taman Negeri Perlis, (Wang Burma), di situ anda boleh meneroka gua yang cantik dan mandi manda di air terjun. Namun anda perlu mengunakan khidmat ranger dari Jabatan Perhutanan Negeri Perlis untuk meneroka di kawasan ini. Saya tidak pasti tempat ini telah dibuka atau masih di tutup sejak kes penemuan kem kematian itu?

Baiklah kami sampai kira-kira jam 7.00 petang, apabila pulang sahaja pasangan dua sejoli yang terakhir kami pun mendirikan khemah. Saya benar-benar terpesona dan terkejut, rupanya kawasan ini benar-benar indah. Kita boleh lihat hampir 80% Negeri Perlis dari titik pandang ini. Kawasan ini berturap dan lapang, saya rasa mungkin 30 khemah boleh didirikan dalam satu masa.  Kayu-kayan mudah di dapati, siap sahaja khemah, kami pun mula membuat unggun api untuk membakar ayam. Semut hitam bersaiz besar begitu banyak di sini. Sungguh merimaskan kerana mereka serang dari segenap arah.


Siap makan, kami pun berkira-kira untuk tidur, sesekali pada jam 10-11 malam kedengaran motorsikal dari arah Kaki Bukit menaiki bukit untuk ke Kampung Wang Kelian, mungkin penduduk-penduduk yang bekerja shif petang pulang dari tempat kerja. Nyanyian karaoke entah dari mana kedengaran jelas di atas puncak bukit ini? Menurut Aku Napie, mungkin dari restoran makan Thai di Kampung Gua Kelam. Dia yang kami ajak untuk turut serta kerana rumahnya hanya berada di Gua Kelam awal-awal menolak kerana tiada kelengkapan perkhemahan. Maka terpaksalah kami berdua menghabiskan seekor ayam bersama 2 bungkus sosej pada malam itu.

Kira-kira jam 3 pagi hutan lebat bersama angin kencang melanda kami. Saya memang tak dapat tidur, namun rakan saya, Bhai tidur berdengkur walaupun apabila saya menyelak pintu khemahnya dia sudah seperti di dalam tab mandi. Air memenuhi setiap ruang namun dia boleh sahaja tidur siap menggigau lagi! Jam 5.30 pagi saya bangun dan menanti waktu solat, semua pakaian, barang-barang sudah basah lencun. Azan yang berkumandang di Kampung Wang Kelian jelas kedengaran di View Point ini. Selesai sahaja solat Subuh, saya mula mengemas dan melerai khemah. 


Namun tidak di sangka-sangka pada jam 6.30 pagi berderet dan bersusun van peniaga, kereta pengunjung, pelari dan pengayuh basikal memenuhi setiap ini kawasan ini. Saya sungguh terkejut, mujurlah kami bangun awal kata Bhai, kalau tidak, jadi pertunjukan sarkas-lah kami yang bermalam dengan seluar dalam sahaja kerana membungkus semua pakaian dalam dry bag



Inilah awan karpet yang pakat duk tunggu sangat tuh!


Penjaja-penjaga sarapan pagi menguasai tapak yang paling menarik, begitu juga para pengunjung yang datang awal untuk berebut tempat dengan pemandangan paling cantik untuk berswafoto atau membuat video. Pemandangan awan karpet bermula pada jam 7.00 pagi dan berakhir pada 7.30 pagi, jadi waktu itulah kemuncaknya di sini. Dalam tempoh itu suhu menyejuk bagaikan Cameron Highland, mungkin juga kerana hujan ribut malam tadi. Saya tidak pasti jika hari-hari sejuk sebegini juga?


Dalam perjalanan pulang kami singgah FRIM Kaki Bukit untuk bergambar di hutan pokok pine. Bagi yang tidak tahu di situ ada canopy walk atau dipanggil titian kanopi atas pokok sepanjang 100 meter yang boleh dinaiki dengan bayaran RM 5 bagi orang dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan