Isnin, 14 Mei 2012

SITORA HARIMAU JADIAN (FIXI RETRO)



Saya membeli buku ini dari seorang line-up MOI LAST VON yang menjual buku, novel dan t-shirt bersebelahan 7 Eleven Simpang 3, Kangar. Kebetulan saya singgah di 7-Eleven untuk membeli Coca-Cola, nampak sahaja buku ini saya terus membelinya tanpa fikir panjang dan dihadiahkan bersama sebuah beg kain yang comel. Buku setebal 207 mukasurat ni dicetak mengunakan kertas kitar semula dan diterbitkan semula oleh Fixi Retro pada tahun ini, asalnya novel ini diterbitkan oleh Penerbitan Angkatan Baru pada tahun 1965. Menurut maklumat dari kulit novel ini semua royalty akan diberikan kepada cucu P. Ramlee. Harapnya begitulah, kerana kita sendiri sedia maklum tiada sebarang royalty diterima keturunan P.Ramlee sejak sekian lama di atas pengunaan karya kreatif beliau kerana kelonggaran akta mengenai karya kreatif di Malaya suatu ketika dahulu. Jangan terlalu kesal, pencipta karya agung seperti komik Superman juga menerima nasib yang serupa dan meninggal dunia dalam keadaan miskin. Itu adalah lumrah bagi seorang LAGENDA!

Secara peribadinya saya dapat merasakan, saya adalah orang yang paling layak mengulas karya seniman agung ini kerana saya bukan peminat tegar P.Ramlee namun sangat menghormati beliau. Saya tidak mendewakan beliau sehingga mempengaruhi setiap kenyataan yang bakal ditulis. Bagi saya P.Ramlee bukan genius tetapi beliau seorang yang kreatif dan wujud pada masa yang tepat. Beliau mempunyai kebolehan memanipulasi setiap fakta dan perihal modenisasi dan diselaraskan dengan kehendak nusantara. Ini membuatkan beliau menjadi yang ‘teristimewa’.


Sebagai contoh filem Sitora Harimau Jadian ini memang dapat dikesan dengan jelas P.Ramlee bijak mengolah semula filem- filem seperti Werewolf of London (1935), The Wolf Man (1941) dan Horror of Dracula (1958), dan mencorakkan semula dengan kepercayaan tahyul masyarakat nusantara. P.Ramlee sebenarnya seorang yang moden. Beliau lebih terdedah dengan filem Inggeris dan India melebihi orang kebanyakan di Malaya. Beliau mengunakan kelebihan tersebut dalam menghasilkan karya kreatif. Dan fomula beliau ternyata menjadi walaupun kurang sambutan pada peringkat awal. Tetapi beliau berani.

Sesiapa yang menyangkal kenyataan ini sila kaji kejadian werewolf, secara dasarnya Harimau Jadian adalah Weretiger, berdendam, mencari mangsa, mencari protégé, seorang yang berpengaruh dalam masyarakat, kisah berlaku disebuah kawasan yang agak terpencil, penglibatan pihak berkuasa tempatan, pertembungan antara kepercayaan mistik dan saintifik, terperangkap antara cinta dan pertualang.

Manakala peniruan dari aspek Dracula pula, Harimau jadian turut digambarkan tidak mempunyai bayangan pada cermin, dan mempunyai alergik kepada kayu tas dan jala yang mana Dracula pula takut kepada salib dan barangan perak. Lebih mengharukan di dalam cerita Sitora, Dr. Abu Bakar seorang pakar perubatan moden yang turut mempraktikkan kepercayaan mistik didatangkan khas untuk membantu mangsa dan mengesan Harimau jadian.

Di dalam filem Horror of Dracula (1958), Dr. Abraham Van Helsing adalah orangnya yang pakar dalam hal ghaib dan saintifik. Jangan pula anda ingat filem Van Helsing (2011) diolah dari karakter Dr. Abu Bakar arahan P.Ramlee. Pernah saya dengar seseorang rakan berkata 3 Stooges tiru filem P.Ramlee. hehe!

Bagi saya ia bukan memalukan. Ia sangat kreatif kerana beliau berjaya mengadaptasi budaya masyarakat nusantara seperti di dalam filem Bujang Lapok, Do Re Mi dan sebagainya. P.Ramlee hanya tidak mampu memberikan originality sebab itu bagi saya beliau bukan genius.
Saya terbaca dalam sebuah blog berbahasa Inggeris menyatakan semasa filem Sitora di dalam proses pra-tonton, lembaga pengarah Merdeka Film Productions terus bangun dan keluar dari tempat tayangan setelah melihat hanya beberapa minit filem ini kerana tidak berpuas hati dengan filem suntingan P. Ramlee tersebut. Dan dipercayai juga ini antara sebab kenapa filem pertama arahan beliau dibawah Merdeka Film Productions ini hanya ditayangkan sekali di kaca TV pada tahun 1970-an sebelum pita asalnya dilaporkan hilang. Ada pihak mendakwa pita tersebut ‘sengaja’ dihilangkan kerana filem tersebut tiada kualiti? Walaubagaimanapun, kita masih mempunyai novel ini untuk mengetahui misteri cerita Harimau Jadian tersebut.

Saya menghabiskan 3 jam, setin Coca-cola dan sebungkus Twisties untuk membaca novel ini sehingga penamat. Tora diambil dari perkataan Jepun yang bermaksud ‘Harimau’, ini tidak asing lagi bagi P.Ramlee kerana beliau boleh berbahasa Jepun dan bagi yang tidak pernah mengetahui latarbelakang muzikal P.Ramlee. Kemahiran beliau memainkan alat muzik sebenarnya kerana diajar oleh seorang pegawai tentera Jepun.

Novel ini mengisahkan Sitora, Harimau Jadian yang menganggu ketenteraman penduduk Kampung Kiambang, seorang doktor bernama Effendi telah datang membuka klinik desa bagi membantu penduduk kampung disamping cuba mengekang kepercayaan tahyul yang masih menguasai pemikiran penduduk di situ. Akhirnya Dr. Effendi pula yang terkena sumpah dan menjadi anak Sitora yang menganas setiap kali melihat cermin dan perlu membunuh bagi meneutralkan kembali sumpahannya buat seketika. Kemudian, Dr. Abu Bakar pula didatangkan khas oleh OCPD Mutalib untuk membantu Dr. Effendi yang terkena penyakit misteri itu. Akhirnya misteri Sitora terjawab apabila mengetahui tok dukun di ulu kampung tersebut yang menjelma sebagai Sitora bagi memungut wang perlindungan.

Novel ini bagi saya bukanlah karya sastera yang hebat, jika diniliai semula P.Ramlee seorang yang tercicir dari pelajaran kerana minatnya yang mendalam terhadap seni (muzik & lakonan). Persembahan tata bahasa di dalam novel ini adalah biasa sahaja. Ia juga sesuai sebagai bahan bacaan kanak-kanak kerana agak santai. Sebagai contoh, saya sering bersua dengan susun ayat seperti ‘ Sitora menganas di kampung. Orang kampung sangat benci Sitora…. atau Pendekar Amin bimbang keselamatan keluarganya. Keluarga pendekar Amin dalam bahaya…

Saya mengesyaki Tok Dukun adalah Harimau Jadian sejak kali pertama watak beliau digambarkan pada mukasurat 15. Jadi saya tersenyum megah bila mengetahui beliau memang Harimau Jadian pada pengakhiran cerita. Dan penjelasan P.Ramlee melalui watak Dr. Abu Bakar kenapa Tok Dukun sendiri mendedahkan kelemahanan beliau pada kayu tas kerana Tok Dukun merasakan tiada sesiapa yang mempunyai kayu tas di Malaya adalah tidak konkrit sekali! Bukan itu sahaja, malah sebelum itu tok dukun turut mendedahkan tempat persembunyian beliau sewaktu menjadi Sitora dan turut mendedahkan kelemahan beliau pada jala yang membuatkan ilmu ghaib beliau tidak ampuh? Bagi saya ini adalah kelemahan penceritaan yang terdapat di dalam novel ini.

Bagaimanapun, anda harus mendapatkan dan membaca novel ini sendiri kerana P.Ramlee telah membuka sebuah lembaran baru bagi dunia novel seram dan filem seram Melayu lebih 4 dekad yang lalu.

Asraf & Kevin keryeh tengok katu tas atas meja tu


p/s: Teringat pulak gig Nunslaughter 2 bulan lepas, kawan-kawan kat kampung kirim kayu tas 4 batang. Heretlah aku pun kayu tas tu dalam flight.

Beli novel ini melalui link ini.

2 ulasan:

  1. biar apa pun bro raimi nak ulas.. bagi saya p.ramlee memang seorang genius.. tiada galang gantinya.. hehe

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...