Jumaat, 28 September 2012

SERAM SEJUK (2012)


Ibu saya memberi dvd ini sambil menyatakan betapa lucunya babak-babak diakhir filem ini yang membuatkan harinya ceria. Dvd ini tersadai di atas meja studio sejak 4 hari lalu sehinggalah hari ini saya mempunyai masa terluang untuk menontonnya.

Terus terang saya katakan, saya menderita kebosanan menunggu klimaks filem ini. Saya tidak tahu apa yang lucunya dan apa yang menariknya dalam Seram Sejuk ini??! Ia adalah tipikal filem komedi seram Melayu, ada bomoh, si penakut, lelaki miang, wanita cantik yang kaku, hantu tahyul (wujud dari roh?!), bomoh, orang warak, dan lelaki rock.

Jalan cerita yang sangat santai seperti bahan bacaan sang kancil dan harimau. Orang purba kena bunuh, kehilangan sebentuk lokek, orang moden jumpa lokek secara tidak sengaja, hantu orang kena bunuh datang ganggu.

Seperti biasa, teknik dubbing suara yang sangat menjengkelkan. Kadang-kadang kedengaran seolah-olah anime jepun yang dialih ke Bahasa Melayu. Sangat buruk!

Jika anda minat filem karut seperti Karak, Hantu Botol Kicap dan seumpanya, anda pasti terhibur dengan Seram Sejuk. Bagi saya filem ini sangat membosankan.

Bintang: 1.5/5

Jumaat, 14 September 2012

YOUR PSYCHO CHARMER


Artwork yang dihasilkan oleh Fazrul, pemain bass kumpulan DEVASTATOR

Semalam saya berbual-bual dengan seorang rakan mengenai antara lagu terawal yang ditulis oleh saya untuk AU REVOIR. Perbualan itu mengimbas semula kisah silam bagaimana saya mendapat tajuk “Psycho Charmer” ini dan kemudian nya saya tukarkan kepada “Your Psycho Charmer” selepas membuat susunan baru untuk lagu tersebut. Lagu “Psycho Charmer” diterbitkan asalnya melalui demo kami pada tahun 2006 dengan judul yang sama. Rakaman demo ini juga adalah yang pertama kali dilakukan sendiri dengan mengunakan Cakewalk Home Studio.

Dari bait lirik terakhir “A moving grave, keys of misery” itulah terus saya jadikan judul untuk album pertama Au Revoir disebabkan kesesuaian ayat tersebut dalam menterjemahkan muzik kami.

Cerita ini telah kabur diingatan saya kerana saya memilih untuk melupakannya. Namun, ia tetap dijadikan inspirasi untuk menulis lagu ini. Ia berlaku sekitar tahun 2000, saya mempunyai seorang penpal, seorang gadis yang asalnya saya kenali menerusi ym berasal dari pulau mutiara. Gadis ini masih dibangku sekolah pada waktu itu, kami sering berkongsi pendapat mengenai buku-buku dan novel-novel kegemaran kami. Beliau dengan novel-novel karangan Ramlee Awang Murshid, dari beliau lah saya mengetahui adanya penulis dan novelis Malaysia yang menguasai penulisan seram, mistik, dan berlandaskan sejarah. Namun satu pun karya beliau tidak pernah saya baca sehingga kini. Manakala saya berkongsi cerita mengenai pembunuh bersiri.

Pada ketika itu, telefon bimbit paling canggih dan popular adalah 3310. Sebagai pelajar sekolah beliau sudah pasti dia tidak mampu untuk memilikinya. Jadi dalam beberapa ketika dia akan menghubungi saya untuk berbual-bual melalui public phone. Pada waktu yang lain, hanya surat-surat sahaja diutuskan untuk bertanya khabar. Dia juga seringkali menghadiahkan buku-buku kisah jenayah bersama-sama surat yang dikirimkan. Ia satu hubungan yang baik. Tanpa disangka muncul perasaan lain di pihak beliau.


Sehinggalah suatu ketika, saya bercadang untuk bertemu dengannya dalam satu urusan di pulau tersebut. Pertama kali bertemu dengan dia membuatkan saya sesak nafas. Dia seorang gadis remaja yang sangat-sangat muda. Saya mengetahui dia masih bersekolah tetapi tidak saya sangka kepetahan beliau berkata-kata dan sebagainya. Beliau seorang yang sangat muda realitinya.

Pulang dari pertemuan tersebut. Saya mula menjauhi panggilan dan tidak membalas surat darinya. Mungkin kini saya mempunyai ramai kenalan wanita yang beza umurnya berbelas-belas tahun dari saya dan saya gembira kerana ia membuatkan saya terasa muda dan masih ‘laku’. Tetapi pada waktu itu, ia satu tekanan buat saya. Saya rimas. Mungkin bagi golongan pedophiliac ia suatu rahmat bagi mereka.

Akhirnya dia mengutuskan sepucuk surat yang panjang, menyatakan kehairanan kenapa saya mendiamkan diri secara misteri dan tanpa penjelasan. Dia menyatakan saya hadir dalam hidupnya secara misteri dan hilang pun dengan cara yang misteri. Saya adalah psycho charmer baginya.

Jadi dari situ saya memperolehi tajuk lagu ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...