Khamis, 8 Ogos 2013

MAZHAB-MAZHAB AWAL DAN PEMBENTUKAN AKIDAH SUNNI (IKD)


Dikala dunia telah menjadi pincang dengan perbalahan sunnah dan syiah, disemarakan lagi benih kebencian dari Yahudi yang setia menanti di air keroh. Buku ini seperti sebuah pembelian yang tepat walaupun saya telah membelinya kira-kira tiga bulan yang lalu. Namun disebabkan kekangan masa. Saya tidak sempat membacanya. Saya membelinya dari seorang aktivis Kukoq Nyok.

Ia buku yang nipis 60 mukasurat, dengan teks Garamond yang jelas dan merupakan bab pertama dari buku berjudul “Revival and Reform in Islam” karangan Fazlur Rahman iaitu bab “Early Sects and Formation of Sunni Orthodoxy”. Diterjemahkan oleh Khairul Annam Che Menteri dan dicetak oleh Institut Kajian Dasar pada tahun 2006.

Fazlur Rahman adalah salah seorang penulis dan tokoh akedemik tersohor dari Pakistan yang mengegar dunia pada zaman 60-an. Dibesarkan dalm susun galur keturunan yang menitikberat falsafah dan asas Islam tradisional. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Universiti Punjab sehingga memperolehi ijazah sarjana. Seterusnya beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford pada 1946, menjadi pensyarah di Universiti Durham, UK kemudiannya pensyarah di Universiti McGill, Kanada. Cita-citanya untuk menerapkan unsur-unsur Islam dalam pentadbiran negara semasa pemerintahan Jeneral Ayyub Khan gagal menyebabkan beliau kembali ke dunia akademik dan mengajar di Universiti California, USA, kemudian berhijrah ke Universiti Chicago pada tahun 1969 di sana beliau dianugerahkan oleh Barat dengan kerusi berprestij Harold H.Swift Distinguished Professor of Islamic Thought sehinggalah meninggal dunia pada 1988.

B uku ini mengupas mengenai titik pertumbuhan fahaman sunnah yang boleh diterjemahkan sebagai ‘ketulenan’ Islam dari segi cara berfikir terawal umat Islam di saat Nabi meninggalkannya. Penulis turut membuat tinjuan terhadap perpecahan awal yang terjadi akibat perbezaan fahaman mengenai tauhid, menyelami arus pemberontakan pertama Khawarij pada 38/658. Tercetusnya teori kafir-mengkafir dan tafsiran al Quran yang berbeza mengenai hukum hudud, hukum qada-qadar dan akhirnya menjadi konflik politik.

Bagi saya asas tauhid perlu ada untuk memahami apa yang penulis sedang ceritakan di dalam buku ini bimbang nanti anda tercicir di mana-mana daerah ilmu atau fitnah.

Sebuah buku yang padat dengan isi penting dan fakta sejarah serta buah fikiran dan ilmuan yang telah tiada lagi di dunia ini.

www.jalantelawi.com

Rabu, 7 Ogos 2013

NIMOTA CK9

Saya tidak pernah mempunyai motorsikal melebihi 125CC. Walaupun saya sangat-sangat berminat dengan scrambler, ternyata saya tidak mampu memiliki jentera tersebut sehinggalah kini ia menjadi trend di Malaysia, dan membuatkan saya agak ‘segan’ untuk turut sama terjebak dan menjadi bahan jenaka ‘newcomer’ mereka-mereka yang telah terlebih dahulu memiliki jentera tersebut kerana keberadaan wang. Walaubagaimanapun, penghargaan sebenar dalam pembiakan trend motorcross patut diberikan pada jenama Demak dan Nimota kerana berjaya menghasilkan motorcross mampu milik berjenama tempatan.

Sebelum saya mengambil keputusan untuk membeli Nimota CK9R ini, saya menghubungi saudara Ghani Arafat, chief editor majalah Kapchai, rakan lama dari band Gotika Jiwa Lara, setelah bertanyakan tentang jentera-jentera dari model DTM dan Nimota. Ulasan beliau “ Jangan risaulah. Sekarang ini bukan macam dulu. Sekarang ini zaman orang pakai motor China!”. Ringkas dan padat. Beliau mencadangkan untuk saya membeli Nimota Ranger.

Saya seorang yang kurang bersetuju dengan trend. Antara penyebab saya beralih hati kepada CK9. Jenama tempatan namun asing serta meragukan, murah dan bakal mencetuskan pelbagai tanggapan. Inilah jenama saya. Jadi saya nekad menolak Ranger dan mengambil CK9.

Bagi saya secara peribadi, CK9 khas untuk golongan pertengahan, bergaji murah tetapi inginkan motor yang tampak macho. Mungkin sebab itu kita dapat lihat banyak pemilik CK9 memakai sticker-sticker Aprillia, Kawasaki, KTM sebagai penyejuk jiwa kerana tidak mampu memiliki jentera jenama tersebut. Ia mungkin hak mereka, tetapi menyedihkan. Apa salahnya mengakui memang hakikatnya kita hanya golongan yang mampu menunggang motorsikal sebegini?

Apa yang membuatkan banyak orang berfikir panjang untuk membeli CK9? Pertama sekali semestinya nama Nimota yang jelas dipengaruhi dari nama pengilang permotoran lagenda dari Itali, Bimota. Dan keduanya, CK9 adalah kertas karbon Yamaha FX16 tetapi jauh lebih murah dari jenama tersebut. Memandangkan Yamaha tidak memasarkan FX16 di Malaysia. CK9 meraih kelebihan itu di sini kerana reka bentuk yang bagus dan menarik.

Bagi mereka yang sensitif dalam hal ciplak, mereka gusar dengan kemampuan CK9. Tetapi itulah hakikat setiap jenama Malaysia. Kereta atau motorsikal. Untuk menyokong jenama Malaysia, kita dalam masa yang sama tetap bergantung pada teknologi dari luar terutamanya China. Apa selekehnya China? Jika difikirkan, teknologi landasan MRT berkelajuan 350km/h yang bakal beroperasi pada tahun 2020 nanti pun di import dari China. Apa selekehnya China? Mereka mengimport teknologi ke Tanah Melayu sejak kesultanan Melayu Kedah dan Melaka lagi.

Konflik yang kita akan dengar mengenai CK9 diantara pengedar dan pengilang adalah kuasa CC. Keupayaan enjin seperti yang dicatatkan dalam geran adalah 150CC. Pengedar menyatakan enjin yang digunakan adalah bersamaanHonda CBR tanpa liquid cooler atau CBF. Enjin model ini adalah yang terlaris di India dan Pakistan kerana lasak dan mudah dibaiki di negara-negara tersebut.

Setelah mengunakan CK9 beberapa bulan sejak April 2013 lalu dengan jarak di meter sejauh 3000 km, dan telah beberapa kali keluar-masuk ke Thailand. Saya menyimpulkan berapa perkara yang ditemui pada CK9;

- Mudah untuk di modifikasi semaksimum yang mungkin. Boleh dikacukkan dengan berbagai-bagai spare-part dan assesori. Jika anda membelinya dengan harga RM6900, mungkin RM1-2000 boleh anda peruntukan untuk modifikasi. Masih jimat dari beli motor berjenama mahal puluhan ribu dan boleh memilih assesori mengikut kehendak hati.

- Kelemahan utama. Dan hampir semua pengguna CK9 mengeluh mengenai kesukaran untuk meneutralkan gear. Cara paling mudah untuk meneutralkan gear dengan menutup sius terlebih dahulu.

- Kelemahan kedua yang paling menjengkelkan, pembakaran bahan api tidak sempurna. Apabila meter mencecah 100km/h pasti anda akan perasan. Satu-satunya modifikasi yang saya buat terhadap motorsikal saya. Menukar kepada kaburator Uma 28mm. Dan membuang paper air filter asal.


- Seat yang agak rapat dengan CDI. Toolset juga berada ditempat yang sama. Kadang-kadang ia menganggu wayar CDI menyebabkan motorsikal anda mati ditengah jalan tanpa sebarang amaran. Berjaga-jaga. Jika ini terjadi, sila goyang-goyangkan wayar penghubung CDI anda.

- Meter elektronik untuk bahan api. Anda jangan terlalu percayakan meter tersebut bila ia telah mencapai 2-3 bar! Kedudukan motor yang tidak statik ketika menunggang membuatkan ia menipu anda. 2-3 kali juga saya kehabisan minyak ditengah jalan kerananya!

- Bunyi enjin sistem push rod yang agak kedengaran kasar tetapi terbukti gagah.


Bagaimanapun anda disarankan tidak menganggu komponen-komponen berat demi untuk melajukan jentera anda. Ia hanya memendekkan usia enjin.

Nimota mula mengilang motorsikalnya sejak 2008 di Pasir Gudang, Johor dengan produksi kira-kira 3 ribu motorsikal setiap bulan. Anda tidak perlu gusar untuk mendapatkan alat ganti atau berkongsi pendapat atau komen kerana Timbalan Pengurus kilang Nimota, En. Jeffrey Loo sendiri aktif mengemaskini facebook beliau dan menerima dan menguruskan jual beli alat ganti secara peribadi melalui telefon.