Sabtu, 31 Oktober 2015

SISI GELAP SEEKOR KUCING

Hari ini satu kajian dari University of Edinburgh and Bronx Zoo telah menyiarkan bahawa kucing mempunyai kegilaan dan akan merancang untuk membunuh tuannya jika berpeluang. Hanya saiz menjadi halangan mereka dari melakukannya. Kajian ini telah dijalankan ke atas 100 ekor kucing termasuk dari spesis kucing belaan, harimau salji, kucing liar Scottish, singa Afrika dan sebagainya.

Saya sukakan kucing kerana keunikan personaliti mereka. Ikuti video ini untuk kenali tabiat dan perilaku mereka selain berlagak comel. hehehe.




Khamis, 15 Oktober 2015

JOHN WICK (2014)


Jika Frank Moses dalam R.E.D adalah pesara CIA yang super hebat cuba dihapuskan oleh CIA sendiri untuk menutup dosa Timbalan Presiden USA dalam satu operasi di Vietnam, dan akhirnya dengan bantuan pihak Russia beliau berjaya membongkar konspirasi pembonekaan jawatan Presiden itu. Filem seperti The Prince, Run All Night dan Home Front turut mempunyai twist seperti John Wick.

John Wick mengisahkan seorang assassin (pembunuh professional) yang telah bersara apabila bertemu jodoh dan hidup normal. Malangnya isterinya meninggal dunia mungkin kerana ‘kanser’ (tidak dinyatakan), bagai jatuh ditimpa tangga, selang beberapa hari kematian isterinya 3 orang penyamun telah memecah masuk rumah Wick mencuri kereta vintaj miliknya dan membunuh anjing yang dihadiahkan mendiang isterinya. Salah seorang penyamun tersebut adalah anak kepada ketua mafia Russia bernama Viggo, lebih mengharukan lagi Viggo adalah bekas majikan John Wick. Viggo mengelar John Wick sebagai “baba yaga”, iaitu hantu.

Bertindak balas dari kemurungan dan dendam, John Wick kembali memulakan operasi memburu dan membunuh. Satu benda yang saya suka adalah aksi bertarung Keanu Reeves yang memang mengingatkan kepada filem aksi John Woo, dengan tambahan nilai kesan bunyi realistik. Maksud saya, TIADA “Kedebush”, “Pooww!”, “ Booakkk!”, semua kedengaran macam bertumbuk dalam keadaan nyata. Bukan macam filem Tamil atau Rocky. Difahamkan hampir kesemua pasukan stunt didatangkan dari pasukan yang menjayakan filem The Matrix. Sentuhan komputer pada mangsa-mangsa tembakan Wick menjadikan persembahan John Wick lebih kejam dan ganas. 


Difahamkan pengarah, Stahelski banyak merujuk filem dari Clint Eastwood, filem Hong Kong serta anime untuk menghasilkan drama pertarungan yang mantap. John Wick boleh mengubat duka bagi yang kecewa lakonan suram beliau dalam filem komikal 47 Ronin (2013) sesuai untuk kanak-kanak dan remaja. Sekual John Wick telah diumumkan sedang dalam proses pengambaran. Mungkin Eva Longoria (penerbit) dapat untung banyak melabur dalam filem ini?

Band rock Keanu Reeves, DOGSTAR masih aktif kah?

Rabu, 7 Oktober 2015

REPULSIVE REGURGITATION (MALAYSIA) # 1



Saya tidak tahu kewujudan zine ini hinggalah sang editor nya, Epul Rikard menghubungi saya untuk ‘trade’, pastilah saya setuju apabila melihat sahaja kualiti yang dipersembahkan. Saya tidak sangka sekali ada editor zine Malaysia yang sanggup melabur sejumlah wang bagi mendapatkan hasil yang baik seperti ini. REPULSIVE REGURGITATION perlu disokong dan dibeli setiap isu akan datang kerana kita tidak mahu media bawah tanah tempatan seperti ini berkubur, malah kita berbangga dengan karya serius seperti ini. Saya dipahamkan dalam tahun ini sahaja isu # 1 ini telah dua kali diulang cetak kerana sambutan yang mengalakkan. Syabas!

REPULSIVE REGURGITATION adalah zine size A5 dengan 230 muka surat yang disunting dengan kaedah cut and paste bersahaja bagi mengekalkan etika underground mereka. Zine ini memfokuskan scene grind/death/noise secara esklusif. Namun jangan risau intipati, perbincangan dan kupasan REPULSIVE REGURGITATION relevan untuk semua metalhead. Dan anda pasti terhibur membaca dan mengenalinya. Menampilkan temubual bersama ahli Carcass, Napalm Death, Agathocles, Warsore, Hellexist, Gore Beyond Necropsy, Albert Mudrian, Nuclearalcoholocaust Records dam banyak lagi.

Bagi edisi pertama ini, editornya dilihat begitu obsessif pada material sulung NAPALM DEATH dan kebangkitan genre grindcore yang dipelopori kumpulan tersebut.