Khamis, 14 April 2016

DR. ZAKIR NAIK DAN MALAYSIA


Zakir Naik adalah tokoh yang saya hormati sejak didedahkan dengan ilmu perbandingan agama yang merupakan cabang dakwah. Saya sendiri pernah mengikuti kelas asas dakwah FCR, Setiawangsa kini kenali sebagai MRM (Malaysia Reverted Muslim). Sifu saya Bro Shah Kirit dan Bro. Engku Ahmad Fauzi.

Selain tentangan dari HINDRAF, yang pada pendakwah-pendakwah seperti Zakir Naik anggap sudah lali dan dianggap tindak balas pertahanan bagi penganut agama mereka. Kita sedih dengan golongan yang mendakwa mereka ahlus sunnah wal jamaah tetapi menjadi penghalang utama kepada usaha dakwah Dr Zakir Naik. Saya turut melihat komen-komen golongan tabligh yang kurang senang apabila banyak orang awam mempertahankan Dr Zakir yang mereka anggap orang luar dan popular, tetapi mengetepikan seruan mereka walaupun dihadapan pintu rumah. Saya faham kekecewaan mereka. 

Saya memuji golongan tabligh, kebanyakan mereka melakukan gerakan dakwah yang ikhlas dan gigih. Siapa boleh menandingi mereka dengan bergerak sedemikian rupa? 

Di antara mereka ada yang menetapkan displin tertentu dan kaedah yang tertentu untuk keluar tabligh yang saya tidak setujui. Kadangkala kegagalan dakwah itu disebabkan ketiadaan hikmah. Contohnya, tidak dititik beratkan hal akhlak. Dulu saya pernah mengikut jemaah tabligh ketika di sekolah menengah, dan paling terkini saya terserempak dengan jemaah tabligh di sebuah masjid di Pulau Langkawi ketika berhenti rehat kayuh basikal. Sebaik berbual-bual dengan mereka, pertama sekali terpacul dari mulut mereka adalah cara pemakaian pelancong Eropah yang datang menunaikan solat dimasjid itu. Saya senyum sahaja.

Saya mohon kemaafan jika terpaksa menegur, hampir kebanyakan tabligh yang saya jumpa mereka hanya mengiktiraf jalan berdakwah cara mereka. Dahulukala jemaah tabligh terkenal kerana sikap mereka tidak judgemental, mereka tidak menghukum orang pada pakaian dan bangsa. Kini saya lihat mereka suka mengatakan hanya sheikh-sheikh dari negara tertentu sahaja yang muktabar, bijak dan soleh. Mereka juga memandang orang-orang seperti saya umpama tiada pengetahuan langsung dalam dakwah dan berkali-kali menyatakan perlunya saya sertai mereka walaupun sekali, kata mereka saya tiada langsung idea mengenai apa itu dakwah tabligh. Walaupun saya nyatakan saya pernah sertai tabligh, mereka menganggap seolah-olah saya menipu. Apa yang saya tidak ucapkan ketika itu, turut bersama saya mengayuh basikal ini adalah seorang atheist yang berminat dengan Islam. Dan saya amat-amat berusaha ketika itu memperlihatkan keindahan Islam padanya.

Sekali lagi saya nyatakan seni dakwah itu, bukanlah terletak pada berapa hari kita tinggalkan rumah, sejauh mana kita berjalan kaki, semeriah mana kita makan dalam dulang atau se-Arab mana jubah dan serban yang dipakai. Jangan sesekali menganggap apa yang kita buat itu terlalu hebat hingga merendahkan usaha orang lain, saya pernah ditarbiahkan:

Siapa lagi hendak berdakwah kat saudara-saudara kita di tembok-tembok, di stesen bas? Kitalah. Ini dok ceramah di masjid saja kepada orang-orang tua yang dah pun bertaubat. Apa guna?

Tahukah jika begitu tanggapan kamu. Kamu telah tersalah pemahaman dalam konteks berdakwah yang luas itu. Namun jika diperincikan definasi dakwah, saya lebih setuju jemaah anda hanya sedang islah kepada saudara sesama muslim, atau lebih tepat anda hanya sedang memperbetulkan akidah saudara-saudara namun anda langsung tidak bertemu dengan orang bukan Islam untuk menyampaikan risalah tauhid? Adakah itu dakwah? Dalam ilmu sunnah, dakwah dan islah berjalan seiringan. Ini bermakna anda memperbetulkan akidah saudara muslim yang lemah iman dalam masa yang saya anda menyebarkan Islam kepada orang kafir (bukan muslim). Rasulullah SAW tidak pernah menghentikan dakwah dan hanya mengislahkan sahabat-sahabat hingga sempurna iman dan amal dahulu, kemudian barulah diteruskan dengan dakwah kepada orang bukan Muslim. Maka saya merasakan Dr Zakir Naik berdakwah dengan cara yang lebih tepat.

Kita ini lah pewaris nabi kalau hang nak tau.

Tidak salah untuk berbangga dengan usaha tabligh (menyampaikan) yang kita lakukan. Kenapa tidak diucapkan "kerja-kerja sebeginilah yang dilakukan insan yang dikatakan pewaris nabi". Kita bimbang dengan taksub pada gelaran ini, kita merendahkan usaha dakwah orang lain. Kita terperangkap dengan karut-marut yang dibawa oleh golongan yang bertopengkan jenama ahlus sunnah, lebih-lebih lagi apabila kita baru berjinak-jinak dengan agama setelah lama kita hanyut sebelum sertai tabligh. Kita mula lupa nabi SAW datang dengan kempen akhlak, akidah dan ibadah BUKAN kempen fesyen. Kita mula mengatakan orang lain tidak berlandaskan sunnah disebabkan kedangkalan ilmu seterusnya menyebarkan kebodohan kita pada orang lain pula.

Kita mula menganggap dengan cara keluar rumah beberapa hari, berjalan kaki, makan berkumpulan itulah sahaja erti dakwah. Perbandingan dan debat antara agama kita anggap sebagai sesuatu yang pelik dan bukan berdakwah. Peliknya kita memperakui “Muzik Dakwah” walaupun keempat-empat mahzab mengharamkan muzik, malah imam As Syafi’ey mengharamkan sekalipun nasyid! Saya antara orang yang tidak pernah bersetuju dengan terma “Muzik Dakwah” malah saya menganggap perbuatan itu tidak boleh disandarkan kepada kaedah berdakwah yang digemari Rasulullah SAW, kerana zamannya pun telah ada muzik tetapi baginda tidak pun berdakwah dengan medium itu, hatta para sahabat pun.

Sebenarnya, perbandingan antara agama yang pertama terjadi di zaman Rasulullah SAW sendiri apabila rombongan Kristian yang telah dihantar ke Madinah dengan diiringi dua orang pembesar Yahudi untuk berdebat dengan nabi SAW seorang diri. Ini diceritakan dalam al-Quran dalam surah al-Imran. Guru Dr Zakir Naik, al marhum Sheikh Ahmad Deedat mula berdakwah dengan methodologi ini setelah mengkaji kisah tersebut.

Moga Dr Zakir Naik, jemaah tabligh dan sesiapa sahaja yang berdakwah secara bebas mendapat kurnia dari Allah azzawajal. Permudahkanlah urusan mereka dan bantulah mereka untuk menghapuskan dogengan dan hikayat panglipurlara dalam agama suci ini.

Tambahan: If Dr Zakir Naik read this, congratulation for an island rewarded to you by The Terengganu state government. May your dreams to build the South-East Asia regional research center for the Islamic Research Foundation (IRF) will be fullfilled.

Jumaat, 8 April 2016

BATMAN V SUPERMAN: DAWN OF JUSTICE

Menarik juga poster yang dibuat peminat ni

Ketika menonton Batman Vs Superman ini hanya ada sebaris penonton dalam keseluruhan pawagam, bermakna semua orang dah bergasak-gasak menonton pada minggu pertama ia ditayangkan. Jadi saya dapat tempat yang selesa.

Pertama sekali saya kagum dengan runut bunyi (sound FX pesawat batman, kereta batmobile terbabas, ledakan bom dan sebagainya) yang setanding Terminator dan The Transformers. Saya tidak menaruh harapan yang tinggi pada filem ini kerana ia saga adiwira bertembung adiwira yang pasti rumit untuk dirumuskan dalam masa 2 jam 30 minit. Walaupun saya bukan peminat tegar komik kedua-dua adiwira tersebut, saya sempat mengulangkaji sedikit versi PDF sebelum menontonnya dan ya, memang ada sedikit modifikasi untuk versi filem ini dan saya boleh bayangkan bagaimana Chris Terrio dan David S. Goyer memerah otak untuk mencantas epic persengketaan Bruce dan Kent menjadi sinopsis.

Banyak orang puas hati dengan watak Batman yang dilakonkan Ben Affleck, kononnya dia lebih brutal dan misterius. Babak pertarungan dengan mercenary (tentera upahan) yang dikatakan terlalu ganas itu biasa sahaja, dan ia masih dalam gaya tipikal pertarungan Christian Bale (Batman lama). Cuma yang menariknya seragam Batman kali ini tidak kalis peluru dan pisau, seperti dalam komik Ben Affleck mengenakan logo old school Batman dan digarap lebih berisi dan berumur dari Clark Kent. Lucu juga bila fikir Gotham City hanya bersebelahan Metropolis. Kan? 

OK Superman. Ada sesiapa perasan tak watak Superman ini digarap mirip Jesus? Kalau anda tak faham ada baiknya ada buat sedikit kajian mengenai Tuhan dengan imej manusia yang mati untuk menebus segala dosa umat manusia. Tidak mustahil riwayat Nasrani menjadi pengaruh mereka kerana Superman adalah hikayat dewa dewi yang tidak pernah melalui zaman vintaj sebaliknya malar segar sepanjang zaman. Inilah tujuan ia dimasukkan elemen pendewaan sebegini.

Yang bestnya komik-komik adiwira Justice League DC, mereka akan tetap menonjolkan manusia biasa tanpa kuasa ajaib sebagai wira mutlak: Batman! Watak Lex yang biyol ala-ala Mark Zuckerberg + Steve Jobs telah diberi pencerahan oleh penggila komik adalah anak kepada Lex Luthor, jadi itu adalah Lex Luthor jr. Saya cuma kurang puas hati dengan watak Alfred yang dah hilang karekter khadam.




Superman dan Batman anak mak, suka bermimpi dan melucukan apabila Batman asyik tanya..why..why..why bila, Kent sebut Martha. Nama ibu sama pulak dah! Kemudian kedua-dua pun berdamai dan lawan mutan Jeneral Zod yang dihidupkan semula oleh Lex. Pengenalan projek metahuman, iaitu Aquaman, Cyborg, Flash dan Wonder Woman bagi sekuel seterusnya  The Justice League turut diselit masuk dengan penampilan sulung si jelita Wonder Woman. Dia ni lebih kurang spesis Captain America lah, umur beratus tahun dah, bertarung pakai spenda habis bangunan runtuh, dia sikit pun tak luka! Sekadar infomasi, Wonder Woman ni asalnya seorang jururawat. Hahaha! Filem dia pun akan keluar 2017 ini. Gal Gadot ini aktress dari Israel dan memang penyokong hardcore Zionist dalam kenyataan-kenyataannya.

3/5

Khamis, 7 April 2016

GELANGGANG FILEM ZINE



ISU # 4 (April 2014)
Pertama kali saya tahu mengenai zine ini dari group facebook yang bernama Movie Addict. Editornya kerap mempromosi zine beliau ini disitu. Maka terjadilah ‘zine trade’ antara kami. Saya tidak pasti apa yang mendorong beliau menyunting zine bawah tanah begini, ini kerana berdasarkan fokus kandungan merujuk kepada filem-filem tempatan yang turut mendapat liputan arus perdana. Jadi saya pasti majalah seperti URTV, Mangga mendapat coverage yang lebih luas walaupun terarah kepada gossip demi kelangsungan hayat selebriti. Bagaimanapun isu # 4 ini best, ada banyak info menarik dan ulasan yang hebat mengenai filem sekitar nusantara seperti Kebaya Pengantin, Mentari, Not Yellow Enough, dan sebagainya. Juga memuatkan temubual bersama Nam Ron, Low Ngai Yuen, Gavin Yap. Kupasan mengenai filem The Journey membangkitkan selera saya untuk menontonnya.

ISU # 6 (Disember 2014)
Gelanggang Filem ini sebenarnya unik juga kerana mereka menyokong produk tempatan dengan cara sendiri. Saya harap ada syarikat buku yang mahu membantu mereka menerbitkan Gelanggang Filem dengan cetakan yang lebih mantap. Ataupun menjemput editornya menjadi penulis sebagai pengkritik tetap dalam majalah hiburan mereka. Menampilkan temubual bersama Benard Chauly, Nadiya Nisaa (best dia ni..), Redzat Minhat, projek Disko Baldi dan Zed Zaidi mengenai kempen Switch Off.

ISU # 7 (Disember 2014)
Isu kali ini mempromosi filem skinhead pertama di Malaysia, Ophilia. Dengan fokus penuh kepada ulasan, maklumat dan temubual bersama Pekin Ibrahim (watak utama filem ini) dan sebuah artikel dari blog penulis Ophilia, Lyn. Agak nipis dan dihasilkan mengunakan kualiti fotostat sepenuhnya, sebelum ini kulit zine mereka guna printer laser jet.

ISU # 8 (Januari 2016)
Setelah setahun menyepi, mereka kembali dengan sedikit kejutan, iaitu tidak menampilkan sebarang temubual dengan pengarah atau selebriti tempatan. Kali ini mereka membawakan Banjong (Thailand), Rico Micheal (Indonesia) dan pemilik sesawang Viddsee. Seperti setiap isu sebelum ini, mereka menampilkan ruangan ulasan filem.

ISU # 9 (Februari 2016)
Walaupun hampir 100 peratus media diluar sana membuat liputan dan promosi Ola Bola, mereka tetap memilih filem ini untuk ditengahkan mungkin kerana pengarangnya meminati sukan bola sepak tanahair. Selain ulasan , biografi dan temubual bersama aktor Ola Bola. Mereka turut membawakan kupasan drama Hormones yang popular di Thailand.

Kepada pengemar filem, boleh dapatkan zine ini. Saya berharap mereka dapat memperkenalkan kepada pembaca-pembaca genre-genre filem yang lebih gelap dan terasing untuk masa akan datang sesuai dengan haluan zine (iaitu penerbitan bawah tanah yang terpencil)

Rabu, 6 April 2016

BISAK PALAK ZINE ISU # 1 (FEBRUARI 2016)



Zineini boleh saya katakan percubaan pertama yang dilakukan oleh pengerak-pengerak muzik bawah tanah dari Bintulu yang menghimpunkan karya seni mereka ke dalam satu cetakan yang diterjemahkan sebagai “Koyak Kepala” dalam bahasa Melayu. Menariknya ia bukan himpunan kerja-kerja berlandaskan punk atau metal, tetapi seni warisan bangsa iaitu syair, cerpen (cerkon –cerita kontot) dan lukisan.

Seramai 6 penulis bergabung merealisasikan Bisak Palak, dan semestinya Adi Herman selaku editor dan penulis utamanya begitu menonjol dengan karya-karya uniknya. Edisi pengenalan ini diterbitkan dengan jumlah 50 keping sahaja. Sila hubungi beliau dengan pantas sebelum kehabisan. Mungkin diulang cetak jika ada permintaan.

Selasa, 5 April 2016

USTAZ, BERAPAKAH UMUR AHLI SYURGA? (PTS MILLENIA)


Buku ini diterbitkan pada tahun 2014, apabila membaca perkara yang dibangkitkan dalam buku ini ianya sangat segar malah kini hangat dibahaskan oleh pihak yang mendaftar diri sebagai ASWAJA, isu yang begitu releven sekali hingga 2016 dan masa hadapan. Ketika membaca buku ini adakalanya saya terfikir adakah dengan kebangkitan penulisan-penulisan tajdid (gerakan memgembali agama sepertimana asal yang bersih dari syirik dan khurafat) kebelakangan ini, membuatkan golongan syiah dan pencinta bida’ah panas telinga lalu bangkit dengan sengketa? Bacalah persoalan-persoalan yang dibahas dalam buku ini, mungkin anda bersetuju. Malah dipenghujung buku ini ada pendedahan dan kupasan status sesebuah hadis yang kedengaran pelik tetapi diyakini oleh banyak orang.

Buku ini ditulis oleh Ustaz Mohamad Abdul Kadir Sahak, yang kini bertugas di Jabatan Mufti Negeri Perlis. Penulisan-penulisan beliau yang mendalam, jelas dan ilmiah ini juga boleh juga dibaca dalam blog beliau, Blog Hukum-Hakam. Buku-buku keluaran PTS terkenal dengan reka-letak yang kemas dan menarik. Lihat dibawa. Mengenai persoalan berapa umur ahli syurga? Jawapannya: 33 tahun.