Isnin, 20 Mac 2017

AHMAD RA1M1 "LENYAP" SINGLE 2017


LENYAP 
Music/lyrics: Ahmad Ra1m1, 6/2/2017 

Kita bertemu dipinggir ajalku 
Pengejar cita-cita, derita dan hampa 
Ku tak perlu lagi pada sumpah dan rindu 
Hanya kalimat cintaku pada Yang Satu 

Dunia ini membosankan 
Ku berkelana jauh sendirian 
Mengejarmu setiap waktu 
Bagaikan jiwa gila yang mempermainkanku 

Kau membayangi masa lalu 
Kau bagai barah dikepala ku 

Aku dihukum derita – siksa 
Aku mengharapkan damai wajah cintaMu 
Dia menjauh merubah arah 
Hilang dan lenyap bersama kalbu ku 

Aku dihukum derita – siksa 
Aku mengharapkan damai wajah cintaMu 
Dia menjauh merubah arah 
Hilang bersama segumpal darahku


Selamat Hari Puisi Sedunia. 

Email: faithcraftproductions@yahoo.com

Sabtu, 11 Mac 2017

TRANSIT ZINE # 1 - AKU BUKANLAH PEMUISI


Pyan atau Suffian adalah seorang penulis yang berbakat dikenal melalui penulisan beliau yang bagus dalam Nathias zine, Bangkit! Zine dan webzine beliau Ekstrim. Kerja-kerja beliau kemas dan setiap penulisan beliau bukanlah kosong melainkan ianya telah melalui kajian kes dan latarbelakang topik yang beliau bawakan. Saya meminat hasil-hasil kerjanya. 

Seperti yang diketahui, saya tidak handal dalam bidang sajak dan puisi. Namun saya menghargai personal zine karya Pyan yang penuh garapan emosi, sarat dengan pengalaman dan isi hatinya. Terdapat nukilan dan foto-foto bagi memberi lebih pengertian mengenai arah tuju zine ini. Dapatkan karya unik dari Pyan@Suffian yang terkenal dalam pergerakan muzik punk dan metal tanahair atau anda boleh juga membawa penulisan-penulisan seni beliau melalui blog: transit_seni.blogspot.com

BANGKIT! ZINE (ISU # 3)


Walaupun sangat aktif menerbitkan zine, saya perlu mengucapkan syabas kepada Pyan kerana berjaya mengekalkan momentum dalam setiap isu yang keluar. Puas hati dan berbaloi pada nilai wang anda. Percayalah. Bangkit! Zine mempunyai kualiti cetakan yang bagus dan yang paling penting penulisan yang bagus, ulasan yang menyeluruh dan jitu serta reka letak minimalis. Saya suka begitu, ia sedap mata memandang. Sesuai dengan kematangan Pyan dalam dunia penerbitan zine. Bangkit! Zine kali ini memaparkan wawancara menarik bersama Atomicdeath (yang menjadi hiasan kulit depan), Explicit, Not Things!, Warfear, Acid Distortion, Losst, Weot Skam dan banyak lagi. 

Dapatkan Bangkit! Zine dengan harga RM8 melalui tempahan ke Whattsapp: 019-2597570

SAJAK-SAJAK YANG BERTEDUH DI BAWAH SURAM


Adi Herman, Penulis buku Pentagram diatas Pusara sekali lagi membuat gegaran seni melalui penerbitan buku terbarunya (handcraft made) oleh la Lectrice Borneo. Sajak-Sajak Yang Berteduh Di bawah Suram ini adalah kompilasi sajak-sajak dan nukilan dalam yang belum pernah dan juga yang penah disiarkan sebelum ini. Untungnya kini ia telah pun didokumentasikan secara fizikal.

Sememangnya ramai penulis berhaluan sastera muncul dari Sarawak akhir-akhir ini, namun kebanyakan mereka belum mencapai ‘maqam’ seperti Adi Herman dalam memberikan mesej dari hati, humor dan romantika. Penulisan beliau antara yang saya ikuti kerana bagusnya bahasa dan permainan istilah kata yang digunakannya. Ringkasnya, saya belajar sesuatu dari karya-karya Adi Herman.

Hubungi beliau untuk buku ini: 013-8090845

LOGAN (2017)



Saga Wolverine berakhir dengan filem ini (mungkin.. tiada kepastian dalam Hollywood, semuanya wang), Hugh Jackman memaklumkan beliau tidak berminat lagi membawa watak Wolverine dan mencadangkan Shah Rukh Khan sebagai pelakon yang paling layak mengantikan tempatnya. (bolehlah kita lihat Wolverine menari dan menangis sampai keluar hingus lepas ni).

Banyak watak adiwira dimatikan  dalam Hollywood seperti Batman, Superman, Optimus Prime, dan dihidupkan semula dengan nafas baru atau mengikut skrip asal dari komik-komik mereka.

Logan mengisahkan Wolverine yang telah dimamah usia, tubuhnya tidak lagi berfungsi seperti dahulu akibat besi adamantium dalam tulangnya mula meracuni sistem penyembuhan tubuhnya. Logan, Professor X yang kini sangat uzur dan diserang sawan, hidup bersembunyi di sebuah kawasan sempadan Mexico dengan ditemani Caliban, seorang mutan yang diupah untuk menjejaki Professor X namun bertindak melarikan diri dan tinggal bersama mereka. Logan menyara hidup dengan memandu limo sewa atau chauffeur. Dunia ketika itu sudah tidak lagi gusar tentang mutasi kerana X-Men sudah berkubur dan tiada lagi mutan lahir sejak 25 tahun lalu.

Babak aksi bermula apabila suatu hari seorang jururawat bernama Gabriela dan seorang budak perempuan bernama Laura dari syarikat penyelidikan Alkali-Transigen memintanya untuk membawa mereka ke satu tempat dipanggil Eden di North Dakota. (dah macam filem-filem post-apocaplyse zombie dah.. semua nak lari ke Eden). Bagaimanapun mereka telah dijejaki oleh pasukan keselamatan Alkali-Transigen, The Reavers yang diketuai oleh Donald Pierce (peminat komik Wolverine). Gabriela terbunuh dan The Reavers menyerang tempat persembunyian Wolverine. Dari situ Wolverine sedar ada sesuatu yang tak kena pada Laura apabila dia bertarung dengan mengunakan kuku dari adamantium, malah turut mempunyai kuku kaki. Menurut Professor X, Wolverine spesis betina memang ada kuku kaki dan Laura adalah anaknya.

Mereka berjaya melarikan diri namun Caliban tertangkap dan digunakan untuk menjejaki mereka. Dari video yang ditinggalkan dalam telefon Gabriela, Wolverine dan Proffesor X mendapat tahu yang Laura adalah bayi tabung uji dari DNA Logan melalui projek X-23. Setelah projek X-24 berjaya Alkali Transigen mahu melupuskan kanak-kanak dari projek X-23 menyebabkan Gabriela melarikan diri bersama Laura dan membebaskan kanak-kanak lain. Dari komik-komik vintage X-Men, Gabriela dan Laura percaya ada satu kawasan perlindungan mutan yang dipanggil Eden.

Banyak babak-babak dan plot digarap masuk supaya dapat memberi sedikit pertarungan, jenaka dan emosional untuk membentuk karakter akhir Wolverine dan Professor X yang daif, kesunyian dan pessimis. 


Professor X akhirnya dibunuh oleh X-24 yang merupakan klon Wolverine namun tanpa kebolehan penyembuhan. Bagaimanapun Dr. Rice dari Alkali telah berjaya mencipta satu serum bagi mempercepatkan pemulihan sel tubuhnya. Akhir babak, Laura berjaya juga sampai ke koordinat yang ditulis dalam komik itu dan bertemu dengan rakan-rakan mutan yang lain. Namun mereka telah diserang oleh The Reavers ketika cuba untuk menyeberang sempadan. Wolverine yang sempat menghidu pergerakan The Reavers dan Dr. Rice terpaksa mengambil semua serum (overdozed) yang ditinggalkan oleh kanak-kanak mutan tersebut dan membuat serangan nekad. Kamikaze lah kiranya!. Dia memang mengharapkan kematian. Namun serum itu hanya bertahan untuk tempoh yang pendek. Wolverine berjaya menembak mati Dr. Rice namun dia pula dikerjakan oleh X-24 hingga mati. X-24 mati dibunuh Laura dengan mengunakan peluru adamantium yang diambil dari Wolverine. (Wolverine memang berhajat untuk membunuh diri sendiri). Laura dan rakan-rakannya menguburkan Wolverine ditepi tasik dengan membacakan talkin, dari dialog filem koboi yang ditontonnya bersama Professor X. Nisan tanda salib dikubur Wolverine juga terbalikkan menjadi huruf X oleh Laura (jika filem Malaysia dah jadi kontroversi ni..). Logan adalah diantara filem adiwira yang mempunyai plot emosi yang luar biasa walaupun jalan ceritanya biasa-biasa sahaja. Antara filem yang wajar ditonton untuk 2017. Penamat karier Hugh sebagai Wolverine selama 17 tahun. 

8/10
(p/s: sepatutnya ENTOMBED "Wolverine Blues" dijadikan runut bunyi..haha)