Sabtu, 3 Mac 2018

WADJDA (2012)


Wadjda adalah filem pertama dari Arab Saudi tulisan dan arahan pengarah wanita bernama Haifaa al-Mansour dan ia difilemkan sepenuhnya di Arab Saudi. Ia antara filem yang mendapat pujian dan banyak anugerah kerana sarat dengan nilai sosio-politik negara berkenaan yang masih asing bagi dunia luar terutamanya Barat, kononnya Arab Saudi bagaikan negara miskin dan dikuasai puak gasar. Haifaa mendapat sokongan dana dari Putera Saudi, Alwaleed bin Talal. 

Wadjda mengisahkan seorang budak berusia 10 tahun tinggal dipinggir bandar Riyadh yang mengidam untuk memiliki basikal untuk berlumba dengan rakannya, Abdullah. Watak Wadjda ini agak rebel. Bagi mengumpul duit, dia menjual mixtape lagu-lagu punk rock dan jual gelang d.i.y kepada rakan-rakannya. Digambarkan dalam masa yang sama keadaan di madrasah perempuan yang tidaklah sekeras seperti yang disangka. Malah kelas-kelas pengajian Al-Quran juga mereka tidak menutup aurat. Guru-guru di madrasah juga berpakaian moden bukannya berjubah litup. Salahkah membaca al-Quran tanpa menutup aurat? Jom teliti fatwa ulama Arab Saudi.


Hukum:
Tidak mengapa seorang wanita dalam keadaan bersendiri membaca al Qur’an tanpa menutup aurat dengan sempurna kerana tiada ada dalil yang mewajibkannya. Akan tetapi jika menutup auratnya, maka itu lebih baik dan merupakan salah satu adab membaca al-Qur’an. 

Syaikh Muhammad bin Sholeh Al-Utsaimin, menjawab pertanyaan netizen tentang hukum wanita membaca al-Qur’an tanpa menutup aurat: 

“Untuk membaca Al-quran, tidak ada pensyaratan bagi wanita untuk menutup kepalanya. Kerana tidak disyaratkan untuk menutup aurat ketika membaca Al-Quran. Berbeza dengan shalat. Shalat seseorang tidak sah kecuali dengan menutup aurat.” - dikutip oleh muslimah corner, Rabu (24/6/2015). 

Dalam masa yang sama diselitkan drama-drama seperti ayah Wadjda yang ingin berkahwin 2 kerana ibu Wadjda sudah tidak boleh melahirkan anak lagi, dan bagaimana ibunya mula berhias diri untuk memenangi hati si ayah agar membatalkan perkahwinan itu. Babak Wadjda menyanyi didapur mengingatkan saya kepada hadis 2 kanak-kanak perempuan yang menyanyi sambil didengari oleh nabi s.a.w. 

Demi mencapai cita-citanya Wadjda menyertai peraduan musabaqah yang menawarkan hadiah bernilai 1000 riyal. Atas kesungguhan Wadjda dalam menekuni Al-Quran, dia berjaya memenanginya namun dia sangat kecewa apabila pihak madrasah mendermakan wang itu kepada Palestin atas namanya. Bagaimanapun ibunya yang prihatin pada minat Wadjda telah menghadiahkannya sebuah basikal di hari perkahwinan ayah Wadjda dengan isteri barunya. 

Filem kerjasama Arab Saudi-Jerman ini sebenarnya ringan dan santai sahaja, namun kontroversi dan perspektif luar pada negara itu telah menjadikan ia unik. Haifaa memerlukan bantuan produksi Jerman untuk memasarkan filem ini ke luar negara disebabkan tiada industi filem dan panggung wayang di Arab Saudi. 

Antara keunikan filem ini adalah ia merupakan lakonan pertama Waad Mohammed yang membawa watak utama sebagai Wadjda. Haifaa pula mengarah dan membuat rakaman filem dengan penuh kesukaran kerana di Arab Saudi, krew lelaki tidak boleh bergaul dengan wanita. Haifaa hampir sepanjang masa memberi arahan melalui walkie talkie dan hanya melihat shooting dari monitor dibelakang van oleh kerana larangan pergaulan lelaki dan perempuan ajnabi ditempat awam. Oleh itu Haifaa memastikan setiap babak perlu di–rehearse dihadapan beliau hingga tepat sebelum ia dirakamkan di lokasi sebenar. Ia mengambil masa 5 tahun untuk disiapkan.

Kebanyakan pengkritik filem antarabangsa member markah penuh pada filem ini. Jadi, ia wajar anda tonton. 

3.5/5

Jumaat, 2 Mac 2018

THE RITUAL (2017)


Sebagai seorang yang suka aktiviti masuk hutan dan berkhemah, saya jadi tertarik apabila mendapat tahu filem ini mengisahkan tentang 4 orang sahabat baik Phil, Dom, Hutch, dan Luke yang memutuskan untuk hiking di Kungsleden (King's Trail) in Sarek National Park, utara Sweden sebagai penghormatan terakhir kepada sahabat mereka Rob yang terbunuh dalam satu kes samun di kedai serbaneka. Mulanya saya terfikir mereka tersalah tempat untuk buat ritual penghormatan terakhir (pasang lilin dan minum whiskey) kepada mendiang rakan mereka itu. Saya teringatkan filem Pet Sematary hehe!. Rupanya mereka benar-benar tersasar ke hutan yang masih dihuni puak pagan yang mengamalkan sihir dan menyembah dewa hutan. 

Di Sweden dan Norway mereka ada satu undang-undang yang membenarkan seseorang untuk mengembara dan tidur di mana sahaja dipanggil allemansrätten dan di Finland aktiviti yang sama dipanggil jokamiehenoikeus bermaksud "kebebasan setiap insan" yang mana anda boleh mengembara dengan berjalan, naik basikal atau boat, berkhemah tak kira atas tanah siapa pun sekurang-kurangnya sehari bahkan petik bunga dan buah di situ dengan syarat anda berada jauh dan tidak ganggu rumah tuan tanah disamping tidak buang sampah sarap merata-rata. Hebatkan budaya mereka?

Bermula dengan mimpi aneh apabila mereka tumpang berteduh di sebuah rumah usang yang ada berhala dan penuh runes (simbol sihir purba dari negara Viking), hingga mereka mula diserang raksasa yang menyangkut mayat pada pokok dan merobek isi perut mangsanya. Bagi yang terpilih pula si dewa akan dilorekkan rune dibadan untuk menjadi penyembahnya untuk tinggal di hutan itu dibawah pengawasannya. Dan dalam 4 orang sahabat ini, Luke telah dipilih kerana dia masih berduka akibat diburu rasa bersalah terhadap kematian Rob. Dan itulah janji si dewa, para penyembahnya perlu tinggal di hutan tanpa sebarang duka lara lagi. 

Semua persoalan ini terjawab apabila Luke akhirnya ditangkap oleh penghuni-penghuni hutan itu yang memberitahu bahawa mereka adalah penyembah Jötunn, makhluk gergasi yang merupakan anak haram kepada tuhan Loki. Mereka kononnya dianugerahkan usia yang panjang oleh Jötunn. 

Secara keseluruhan filem ini menarik, CGI juga terbaik, begitu juga kemasan dan perincian dalam babak cemas, pembawaan emosi, serta elemen seram dan gore dan ilmu hitam. Saya percaya ianya lebih menyeramkan jika membaca karya asal dalam versi novel tulisan Adam Nevill. 

Walaupun kisah beberapa orang sahabat tersesat dalam hutan dan terdampar di rumah buruk seterusnya diserang entiti mengerikan adalah idea lama. The Ritual berjaya membawakan nafas baru dalam genre ini. Sesuai untuk tontonan keluarga.

3.5/5