Ahad, 24 Oktober 2010

MAJALAH i ISU OKTOBER 2010


Apa salahnya jika sesekali aku cuba mengulas sebuah majalah ilmiah yang berhak mendapat perhatian. Majalah I, atau membawa maksud majalah informasi, inovasi, ilmiah, intelek, internasional dan Islamik ini adalah bilangan yang ke -96 isu Oktober 2010. Adalah isu pertama yang aku beli dan terus kagum dengan isi kandungannya.

Membarisi sidang redaksi serba hebat seperti Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, pengendali laman sesawang saifulislam.com, Dato’ Khairul Anwar iatu Peguam Sivil dan Syariah. Hafiz Firdaus Abdullah seorang juruterbang dan penulis buku agama, Mohd salahuddin Datuk Paduka Mohamed seorang penceramah bebas dan editor agama DBP, serta banyak lagi insan yang berkaliber.

Majalah yang berharga RM5 ini adalah terlalu murah jika dibandingkan dengan isi kandungan yang sarat dengan hujah, pandangan, fakta dan fatwa yang merungkai salah faham serta menjadi rujukan yang tak lapuk dek zaman. Ini bermakna senaskah majalah ini boleh membawa perubahan besar dalam cara berfikir dan pemahaman anda terhadap gerakan dakwah dan islah.

Fokus untuk untuk isu kali ini adalah siapakah Imam Mahadi? Kupasan yang menarik dari pelbagai sudut dan terperinci telah dibahaskan di dalam majalah ini. Dan antara perkara yang menarik perhatian aku adalah isu gerakan Tajdid. Apakah Tajdid?

Ia adalah satu usaha untuk mengembalikan Islam seperti yang asalnya, iaitu Islam sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w, difahami serta diamalkan oleh generasi salafussoleh ( generasi awal umat Islam). Namun persoalan utama yang sering dibangkitkan adalah bagaimana untuk merealisasikan atau membawa gerakan tajdid ini agar ia dapat memberi kesan yang positif kepada masyarakat? Syeikh Muhammad Nashiruddin al Albani r.h dalam usaha menjana gerakan tajdid telah menekannan konsep tashfiyyah dan tarbiyyah. Tashfiyah adalah memurnikan Islam dari apa yang asing atau jauh darinya dalam segala bidang. Tarbiyyah pula adalah pembinaan terhadap generasi-generasi muslim zaman ini dan generasi yang sedang tumbuh di atas landasan Islam yang telah dimurnikan dan bertujuan untuk membentuk pemimpin (khalifah) dengan kepimpinan yang telah ditetapkan syarak melalui cara pengabdian yang paling sempurna kepada Allah.

Antara kupasan hebat yang lain terpapar di isu ini adalah pendedahan eksklusif mengenai pengunaan dinar emas dan sejarahnya pada zaman Rasulullah, pengertian Jihad, wawancara bersama Imam Feisal Abdul Rauf yang mengemparkan New York dengan rancangan pembinaan masjid berhampiran Ground Zero, perkongsian kisah-kisah pengislaman saudara-saudara baru, dan banyak lagi yang pasti nya merungkai berbagai persoalan dan menambah ilmu pengetahuan. Insya Allah.

Dapatkan isu ini sebelum terlambat

http://www.karangkraf.com/e-majalah/i/

Isnin, 11 Oktober 2010

OUR LADY OF FATIMA


Lihat foto di atas. Foto ini saya ambil sewaktu menghantar 2 orang anak buah ( boleh panggil anak buah ka? Sebab saya umur baru 30-an manakala anak buah masing-masing 70-an?) untuk mengikuti kelas bimbingan bagi mualaf di PERKIM, Perlis. Jika itu anda rasa ironik, tunggu dulu! Kelas ini terletak sebelah menyebelah antara gereja Our Lady of Fatima. Dan anak buah saya seorang adalah bekas penganut Kristian Katolik dan seorang lagi penganut Protestant. Sungguh ironik sekali!

Jika anda tahu bagaimana penganut Katolik dan Protestant berbalah hujah, anda pasti tahu bagaimana kesabaran dan ilmu pengetahuan sangat perlu apabila anda berada ditengah-tengah situasi tersebut. Dan bagaimana pula anda perlu bijaksana dalam memahami keperluan rohani mereka keduanya.

Bagaimanapun, setiap yang berlaku adalah kehendak Nya. Disini saya ingin memberi sedikit maklumat, kepada yang sering salah faham terhadap Kristian apatah lagi media-media di Malaysia seringkali melaporkan dan sering memfitnah mereka. 

Pernah anda tertanya-tanya kepada diri anda, apakah maksud Church of Our Lady of Fatima? Adakah ia ada kaitan dengan puteri Rasullulah s.a.w, Fatimah az-Zahra binti Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim?

Mari kita lihat dahulu siapakah Fatimah az-Zahra ( bukan Siti Fatimah ya?!.. Siti Khatijah, Siti Aminah, nama Siti itu nama tambahan dari nusantara ini, Siti sebenarnya membawa erti ‘orang tua’). Jadi jika anak anda baru lahir dinamakan Siti Nur misalnya, ertinya adalah orang tua cahaya lah. Hehe. Oleh itu sila ambil perhatian nama asal tokoh-tokoh Islam dan nama timbangan mereka. 

Fatimah dilahirkan pada hari Jumaat 20 Jamadil Akhir yaitu tahun kelima sebelum Nabi s.a.w. menjadi Rasul. Fatimah Az Zahra puteri kesayangan Nabi s.a.w. mendapat gelaran Athahirah (wanita suci) al-Mubarakah (yang diberikahi Allah) dan yang paling sering disebutkan adalah Fatimah Az-zahra (bunga yang mekar semerbak). Dia juga digelari Al-Batuul, iaitu yang memusatkan perhatiannya pada ibadah atau tiada bandingnya dalam hal keutamaan, ilmu, akhlak, adab, hasab dan nasab. Fatimah az-Zahra menyaksikan sendiri betapa halangan dan rintangan yang telah dihadapi ayahandanya dalam memperjuangkan Islam. Pernah ketika Nabi s.a.w. dihina, dimaki hamun, malah diletakkan najis binatang ketika Nabi s.a.w. sedang sujud, menyembah Allah s.w.t., dengan tangisan kesedihan Fatimah Az-Zahra membersihkan tubuh Nabi s.a.w. dari kotoran yang taburkan oleh kaum Quraisy.

Siapa pula Fatima yang dimaksudkan oleh pihak gereja?

Fátima atau Fatima adalah nama sebuah pekan di Portugal yang menjadi terkenal setelah terjadi kejadian aneh pada tahun 1917. Fatima terletak kira-kira 123 kilometer dari bandaraya Lisbon. Our Lady of Fátima (dalam Bahasa Portugis: Nossa Senhora de Fátima) adalah gelaran kepada Virgin Mary ( Mariam, ibu kepada Yeshua atau Isa atau Jesus ) yang dikatakan menjelma di pekan Fatima dan disaksikan oleh 3 orang kanak-kanak iaitu Lúcia Santos, Jacinta dan Francisco Marto. Terdapat juga pihak yang memberi gelaran Our Lady of the Rosary of Fátima kepada wanita suci tersebut. Bagi pihak Kristian Katolik mereka secara rasmi menetapkan penjelmaan itu sebagai kejadian sebenar dan wajib untuk dipercayai.

Harapnya kedua-dua perkara ini telah jelas dan usah gusar membuta tuli.