Jumaat, 25 Mei 2012

KUASA MAGIS JIMMY PALIKAT


Saya berkenalan dengan lagu “Anak Kampung” beberapa minggu sebelum berlepas ke Kota Kinabalu bagi menyaksikan kemaraan kumpulan Black/Punk Metal NunSlaughter dalam siri tour mereka di Asia Tenggara pada April lalu. Apa yang saya faham, lagu ini telah lama menguasai carta di sana.

ketika di sana saya berbual-bual dengan rakan-rakan metalheads, saya terpanggil untuk bertanya tentang lagu ini. Sudah saya duga, metalheads murtad gila isim pun pasti kecundang dengan lagu ini. Hampir setiap malam saya mendengar cerita mereka berkaraoke lagu tersebut. Ada yang sampai lentok dilantai menyanyikan lagu tersebut, walaupun hakikatnya mereka seperti harimau jadian bila membuat persembahan untuk band sendiri. Hehehe.

Sekembalinya dari Kota Kinabalu, saya melayari Youtube. Saya sangat terkejut apabila mendapati video Anak Kampung dilihat melebihi 2 juta kali. Lagu tersebut turut dihasilkan tanpa kebenaran dalam beberapa loghat oleh beberapa individu yang ingin populariti segera. Dan lebih mengharukan, saya menjadi ketagihan mendengar lagu tersebut. Ia menjadi siulan. Saya gembira. Walaupun saya sering berjenaka dengan lirik dan rentak lagu tersebut. Saya gembira. Hampir seminggu saya memulakan setiap hari berkerja dipejabat dengan lagu ini dari youtube. Kadang-kadang saya menari seperti Puteri Santubong sambil menyanyi lagu tersebut. Hehehe!

Anda suka jururawat? Kan baik kalau dapat masuk wad dan dia jaga kita. hehe!

Teringat pula suatu ketika dahulu. Semasa berkerja di KL. Saya mulakan hari dengan lagu “The River” atau “Broken” dari Sentenced ketika bersiap-siap untuk ke pejabat. Ia merupakan ketagihan. Tetapi dengan perasaan yang berbeza. Saya mulakan hari di pejabat dengan putus harapan. Kebosanan dengan rutin harian. Kebencian terhadap kehidupan. Dan kerungsingan pada sesuatu tanggapan yang buruk bakal mendatang.

Tetapi Anak Kampung membuatkan saya ceria.

Saya termenung sejenak. Saya memikirkan kenapa lagu ini menjadi siulan. Dan mengembirakan hati saya dan banyak lagi orang lain. Kesimpulannya, Anak Kampung adalah sebuah lagu yang etnikal. Bagi mereka yang sudah mengenali masyarakat Sabah, sekali dengar anda sudah tahu ini 100% dari Sabah.

Mengapa ia mudah untuk dihadam? Susunan lagunya sangat ringkas, nada nyanyian sekata dan berulangan. Sebuah lagu easy listening dan RTM friendly. Jadi sesiapa sahaja boleh membawakannya dengan baik atau hampir baik. Malah pemuzik amatur sudah boleh mendendangkan lagu ini dengan baik.

Bagi pemuzik berat atau orang Melayu di semenanjung Malaysia macam kita pula, Anak Kampung kedengaran unik sekali. Kami ketawa besar bila mendengarnya. Tetapi jauh disudut hati, pasti terdetik ‘wow.. lagu semudah ini pun ada aura nya’. Saya pasti Jimmy Palikat menulisnya dengan penuh perasaan walaupun kemampuan beliau hanya setakat ini. Tetapi beliau curahkan seluruh jiwanya di sini.

Bait-bait liriknya mudah dan bahasa pasar. Tiada maksud tersirat dan mesejnya terus kepada si dia. Saya tertawa lagi bila membaca dalam sebuah akhbar yang menemubual Jimmy Palikat, tajuk muka surat itu Anak Kampung bukan lagu kampung. Hehehe! Bagi saya Anak Kampung adalah sebuah lagu kampung. Dan sebab itu saya menyukainya. Ia sebuah lagu kampung yang hebat dan saya mengaguminya. Kalau wartawan itu mengatakan lagu Anak Kampung ini sebuah lagu berteknologi tinggi, karya genius, dan sebuah lagu urban. Mungkin industri muzik kita sama taraf dengan Vietnam atau Timur Leste?

Tiada apa yang perlu dimalukan jika lagu anda sesuai untuk dimainkan di kenduri-kenduri kawin, dinyanyikan mat-mat rempit di pusat karaoke, dijadikan muzik latar kursus-kursus modul kekeluargaan oleh sektor kerajaan dan NGO, ia satu bentuk penghormatan juga.

Muzik yang ringkas, lirik bahasa pasar dan berterus terang membuatkan lagu ini meletup kerana ia sesuatu yang terbuku dihati bila seseorang anak kampung yang ingin memikat si gadis cantik tetapi tidak sepadan. Bukankah kita semua lelaki tersebut? Hahahaha.

Ia sebuah magis yang telah direkodkan sebagai sebuah lagu. Tetapi kuasanya mudah hilang. Saya terus jemu lagu tersebut dalam masa seminggu. Tetapi saya percaya Anak Kampung segera menjadi klassik dan akan menjadi dendangan orang Malaysia zaman berzaman.

Teda kereta ku bawa kau jalan-jalan. Rumah pun tak ada. Ada pun bapak punya…

Isnin, 14 Mei 2012

SITORA HARIMAU JADIAN (FIXI RETRO)



Saya membeli buku ini dari seorang line-up MOI LAST VON yang menjual buku, novel dan t-shirt bersebelahan 7 Eleven Simpang 3, Kangar. Kebetulan saya singgah di 7-Eleven untuk membeli Coca-Cola, nampak sahaja buku ini saya terus membelinya tanpa fikir panjang dan dihadiahkan bersama sebuah beg kain yang comel. Buku setebal 207 mukasurat ni dicetak mengunakan kertas kitar semula dan diterbitkan semula oleh Fixi Retro pada tahun ini, asalnya novel ini diterbitkan oleh Penerbitan Angkatan Baru pada tahun 1965. Menurut maklumat dari kulit novel ini semua royalty akan diberikan kepada cucu P. Ramlee. Harapnya begitulah, kerana kita sendiri sedia maklum tiada sebarang royalty diterima keturunan P.Ramlee sejak sekian lama di atas pengunaan karya kreatif beliau kerana kelonggaran akta mengenai karya kreatif di Malaya suatu ketika dahulu. Jangan terlalu kesal, pencipta karya agung seperti komik Superman juga menerima nasib yang serupa dan meninggal dunia dalam keadaan miskin. Itu adalah lumrah bagi seorang LAGENDA!

Secara peribadinya saya dapat merasakan, saya adalah orang yang paling layak mengulas karya seniman agung ini kerana saya bukan peminat tegar P.Ramlee namun sangat menghormati beliau. Saya tidak mendewakan beliau sehingga mempengaruhi setiap kenyataan yang bakal ditulis. Bagi saya P.Ramlee bukan genius tetapi beliau seorang yang kreatif dan wujud pada masa yang tepat. Beliau mempunyai kebolehan memanipulasi setiap fakta dan perihal modenisasi dan diselaraskan dengan kehendak nusantara. Ini membuatkan beliau menjadi yang ‘teristimewa’.


Sebagai contoh filem Sitora Harimau Jadian ini memang dapat dikesan dengan jelas P.Ramlee bijak mengolah semula filem- filem seperti Werewolf of London (1935), The Wolf Man (1941) dan Horror of Dracula (1958), dan mencorakkan semula dengan kepercayaan tahyul masyarakat nusantara. P.Ramlee sebenarnya seorang yang moden. Beliau lebih terdedah dengan filem Inggeris dan India melebihi orang kebanyakan di Malaya. Beliau mengunakan kelebihan tersebut dalam menghasilkan karya kreatif. Dan fomula beliau ternyata menjadi walaupun kurang sambutan pada peringkat awal. Tetapi beliau berani.

Sesiapa yang menyangkal kenyataan ini sila kaji kejadian werewolf, secara dasarnya Harimau Jadian adalah Weretiger, berdendam, mencari mangsa, mencari protégé, seorang yang berpengaruh dalam masyarakat, kisah berlaku disebuah kawasan yang agak terpencil, penglibatan pihak berkuasa tempatan, pertembungan antara kepercayaan mistik dan saintifik, terperangkap antara cinta dan pertualang.

Manakala peniruan dari aspek Dracula pula, Harimau jadian turut digambarkan tidak mempunyai bayangan pada cermin, dan mempunyai alergik kepada kayu tas dan jala yang mana Dracula pula takut kepada salib dan barangan perak. Lebih mengharukan di dalam cerita Sitora, Dr. Abu Bakar seorang pakar perubatan moden yang turut mempraktikkan kepercayaan mistik didatangkan khas untuk membantu mangsa dan mengesan Harimau jadian.

Di dalam filem Horror of Dracula (1958), Dr. Abraham Van Helsing adalah orangnya yang pakar dalam hal ghaib dan saintifik. Jangan pula anda ingat filem Van Helsing (2011) diolah dari karakter Dr. Abu Bakar arahan P.Ramlee. Pernah saya dengar seseorang rakan berkata 3 Stooges tiru filem P.Ramlee. hehe!

Bagi saya ia bukan memalukan. Ia sangat kreatif kerana beliau berjaya mengadaptasi budaya masyarakat nusantara seperti di dalam filem Bujang Lapok, Do Re Mi dan sebagainya. P.Ramlee hanya tidak mampu memberikan originality sebab itu bagi saya beliau bukan genius.
Saya terbaca dalam sebuah blog berbahasa Inggeris menyatakan semasa filem Sitora di dalam proses pra-tonton, lembaga pengarah Merdeka Film Productions terus bangun dan keluar dari tempat tayangan setelah melihat hanya beberapa minit filem ini kerana tidak berpuas hati dengan filem suntingan P. Ramlee tersebut. Dan dipercayai juga ini antara sebab kenapa filem pertama arahan beliau dibawah Merdeka Film Productions ini hanya ditayangkan sekali di kaca TV pada tahun 1970-an sebelum pita asalnya dilaporkan hilang. Ada pihak mendakwa pita tersebut ‘sengaja’ dihilangkan kerana filem tersebut tiada kualiti? Walaubagaimanapun, kita masih mempunyai novel ini untuk mengetahui misteri cerita Harimau Jadian tersebut.

Saya menghabiskan 3 jam, setin Coca-cola dan sebungkus Twisties untuk membaca novel ini sehingga penamat. Tora diambil dari perkataan Jepun yang bermaksud ‘Harimau’, ini tidak asing lagi bagi P.Ramlee kerana beliau boleh berbahasa Jepun dan bagi yang tidak pernah mengetahui latarbelakang muzikal P.Ramlee. Kemahiran beliau memainkan alat muzik sebenarnya kerana diajar oleh seorang pegawai tentera Jepun.

Novel ini mengisahkan Sitora, Harimau Jadian yang menganggu ketenteraman penduduk Kampung Kiambang, seorang doktor bernama Effendi telah datang membuka klinik desa bagi membantu penduduk kampung disamping cuba mengekang kepercayaan tahyul yang masih menguasai pemikiran penduduk di situ. Akhirnya Dr. Effendi pula yang terkena sumpah dan menjadi anak Sitora yang menganas setiap kali melihat cermin dan perlu membunuh bagi meneutralkan kembali sumpahannya buat seketika. Kemudian, Dr. Abu Bakar pula didatangkan khas oleh OCPD Mutalib untuk membantu Dr. Effendi yang terkena penyakit misteri itu. Akhirnya misteri Sitora terjawab apabila mengetahui tok dukun di ulu kampung tersebut yang menjelma sebagai Sitora bagi memungut wang perlindungan.

Novel ini bagi saya bukanlah karya sastera yang hebat, jika diniliai semula P.Ramlee seorang yang tercicir dari pelajaran kerana minatnya yang mendalam terhadap seni (muzik & lakonan). Persembahan tata bahasa di dalam novel ini adalah biasa sahaja. Ia juga sesuai sebagai bahan bacaan kanak-kanak kerana agak santai. Sebagai contoh, saya sering bersua dengan susun ayat seperti ‘ Sitora menganas di kampung. Orang kampung sangat benci Sitora…. atau Pendekar Amin bimbang keselamatan keluarganya. Keluarga pendekar Amin dalam bahaya…

Saya mengesyaki Tok Dukun adalah Harimau Jadian sejak kali pertama watak beliau digambarkan pada mukasurat 15. Jadi saya tersenyum megah bila mengetahui beliau memang Harimau Jadian pada pengakhiran cerita. Dan penjelasan P.Ramlee melalui watak Dr. Abu Bakar kenapa Tok Dukun sendiri mendedahkan kelemahanan beliau pada kayu tas kerana Tok Dukun merasakan tiada sesiapa yang mempunyai kayu tas di Malaya adalah tidak konkrit sekali! Bukan itu sahaja, malah sebelum itu tok dukun turut mendedahkan tempat persembunyian beliau sewaktu menjadi Sitora dan turut mendedahkan kelemahan beliau pada jala yang membuatkan ilmu ghaib beliau tidak ampuh? Bagi saya ini adalah kelemahan penceritaan yang terdapat di dalam novel ini.

Bagaimanapun, anda harus mendapatkan dan membaca novel ini sendiri kerana P.Ramlee telah membuka sebuah lembaran baru bagi dunia novel seram dan filem seram Melayu lebih 4 dekad yang lalu.

Asraf & Kevin keryeh tengok katu tas atas meja tu


p/s: Teringat pulak gig Nunslaughter 2 bulan lepas, kawan-kawan kat kampung kirim kayu tas 4 batang. Heretlah aku pun kayu tas tu dalam flight.

Beli novel ini melalui link ini.