Selasa, 25 November 2014

APA ITU HADIS QUDSI?


Saya bukan seorang yang menidakkan pembelajaran agama melalui internet seperti yang dilakukan Gen Y, sebaliknya saya sendiri banyak juga merujuk fatwa dan hukum agama dari tok guru Google. Ia sumber yang pantas dan memudahkan kehidupan. Tetapi saya tidak juga sokong cara rujukan sepenuhnya dan kaedah membina keputusan membabitkan agama berdasarkan dari internet mentah-mentah. Kita perlu mencari guru yang mursyid yang boleh dipertanggungjawab atas hujahnya dan juga bertanggungjawab ke atas iktikad muridnya.

Saya pernah membaca sebuah kitab tauhid yang menyebut iktikad seorang guru yang akan dinilai di akhirat nanti jika muridnya tidak mampu menjelaskan kewujudan Allah SWT kepada orang lain walaupun dia yakin sebenar-benar hati akan keesaan Tuhan.

Contoh bahayanya internet jika anda tidak membuat kajian lanjut dan rujukan kepada guru. Seperti anda membaca apa yang saya nukilkan dalam blog ini kerana berpendapat saya seorang yang celik agama. Padahal saya juga seorang yang jahil dan sekadar berkongsi kisah hidup saya buat sesiapa yang sudi membacanya. Dalam masa yang sama saya cuba menyampaikan kenyataan-kenyataan islah melalui cara saya yang tersendiri dan daif ini.

Apa yang saya ingin kongsikan malam ini adalah mengenai hadis qudsi. Jujur saya katakan, saya baru tahu apakah hadis Qudsi 3 hari lalu, melalui tok guru Google dan Wikipedia. Sebelum ini hanya faham mengenai hadis ahad, hadis sohih, hadis palsu, hadis doif. Begitu lama persoalan apakah itu hadis Qudsi bermain di dalam minda tetapi asyik terlupa untuk saya bertanya pada yang ahli. Akhirnya persoalan itu sedikit sebanyak terjawab. Bagi yang tidak tahu macam saya, jom ambil tahu sikit;

Hadis ( الحديث ) Segala yang dinisbahkan kepada Nabi Muhammad, baik ucapan, perbuatan, persetujuan, atau karaktor, kemudian Qudsi ( القدسي ) secara bahasa diambil dari kata quddus, yang artinya suci. Disebut hadis qudsi, kerena perkataan ini dinisbahkan kepada Allah, القدس al-Quddus, yang artinya Dzat Yang Maha Suci.

Secara istilah (terma) adalah sesuatu (hadis) yang dinukil kepada kita dari Nabi Muhammad yang disandarkan kepada TuhanNya. Secara ringkas dikatakan hadits qudsi adalah perkataan Nabi Muhammad, tentang wahyu Tuhan yang diterimanya secara langsung.

Perbezaan antara hadits qudsi dan al-Qur`an di antaranya adalah:

Bahwa lafaz dan makna al-Qur`an berasal dari Allah Subhanahu wa Ta’ala sedangkan hadis qudsi tidak demikian,yakni maknanya berasal dari Allah namun lafaznya dari nabi.

Membaca al-Qur`an dikira sebagai suatu ibadah sedangkan hadis qudsi tidak demikian.

Hadis qudsi adalah wahyu Tuhan yang diterima Nabi Muhammad secara langsung, TANPA perantaraan malaikat Jibril. Sehingga tidak ada kata qul (katakanlah) diawal kalimat dan Allah membahasakan diri-Nya dengan sebutan AKU. Manakala Al Qur'an adalah wahyu Tuhan yang diterima Nabi Muhammad melalui perantaraan Malaikat Jibril. Sehingga Jibril membacakan wahyu dengan permulaan kata qul dan Jibril membahasakan Tuhan dengan sebutan nama-Nya, Allah (dan Asmaul Husna lainnya).

Hadis qudsi memakai kata nama (orang pertama/Aku), sedang Al Qur'an memakai kalimat orang ketiga.

Hadis qudsi diturunkan secara khusus kepada Muhammad sebagai nabi, sehinggga tidak disebar meluas untuk umum kerena ia bersifat peribadi. Hanya beberapa orang sahabat paling rapat sahaja yang menerimanya.

Sedangkan Al Qur'an diturunkan kepada Muhammad sebagai rasul dan wajib baginya untuk disebarkan kepada seluruh umat manusia.

Demi kesucian Al Qur'an, hadis qudsi dan Al Qur'an tidak disatukan dalam satu mushaf. Hadis qudsi dibiarkan berdiri sendiri dan tidak pernah dibukukan secara rasmi.

Jumlahnya hadis qudsi yang diketahui adalah kurang dari 200. Hadis qudsi sebenarnya adalah untuk Muhammad secara peribadi bukan sebagai rasul, maka baginda pun "pilih-pilih" dalam memberikannya kepada sahabat-sahabatnya. Hanya sahabat-sahabat yang mempunyai kecerdasan tinggi sahaja yang menerimanya kerana ia bukan untuk perkongsian umum. Hingga kini pun masih banyak kalangan umat Islam yang tak mampu menerima "kebenaran" hadits qudsi oleh kerana ketinggian kandungannya.

Di antara buku yang paling masyhur mengenai hadis qudsi adalah kitab Al-Ithâfât as-Saniyyah Bi al-Ahâdîts al-Qudsiyyah karya 'Abdur Ra`uf al-Munawiy. Di dalam buku ini terkumpul 272 buah hadis. Sebenarnya hadits qudsi tidak pernah dibukukan sebagaimana Al Qur'an yang dibukukan secara rasmi pada zaman Khalifah Utsman dengan nama Al Qur'an Mushaf Utsmani (bermakna jika ada Al Qur'an di luar itu maka itu adalah Al Qur'an palsu). Hadis qudsi tersimpan oleh sahabat nabi dihati dan disampaikan dari mulut ke mulut dan diwarisi oleh orang-orang tertentu pula. Sebagaimana Abu Hurairah berkata, "Aku menerima sekantung ilmu dari Rasulullah. Separuh kantung aku bagikan kepada kamu semua dan separuhnya lagi aku simpan buat aku sendiri. Kerana jika yang separuh lagi itu aku bagikan juga, nescaya kalian akan mengkafirkanku dan menggantungku."

Untuk memahami hadis qudsi perlu terlebih dahulu memahami struktur insan, kerana pemahamannya sangat rapat dengan struktur diri kita ini.

Mengapa tidak ada dalam Al-Quran?

Kerana hadis qudsi bukan termasuk dalam wahyu Al-Quran. Al-Quran merupakan petunjuk umum bagi seluruh alam semesta dan umat manusia. Al-Quran adalah undang-undang dasar. Sudah tentu terlalu banyak dialog para Nabi dengan Allah yang sifatnya peribadi dan bukan untuk seluruh umat. Jika kita perhatikan, kalimat-kalimat Allah dalam hadis-hadis Qudsi itu lebih lembut dan mesra. Sedangkan dalam ayat-ayat Al-Quran terlihat lebih tegas dan umum.

Hadith Qudsi turut dinamakan Hadith Ilahi atau Hadith Rabbani. Wallahhu A’lam.


 " Daripada Ummul Mukminin, Ummi Abdullah Aisyah r.a. katanya : Telah bersabda Rasulullah SAW : ' Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam agama yang bukan darinya adalah tertolak ', ~ diriwayatkan dari Al-Bukhari dan Muslim. 

Dan pada riwayat yang lain oleh Imam Muslim : " Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tidak dari perintah kami, maka ia adalah tertolak. "

Khamis, 13 November 2014

A WALK AMONG THE TOMBSTONE (2014)


Liam Nesson melakonkan watak detektif NYPD Matt Scudder yang hebat umpama koboi diusia muda, namun setelah rasa bosan dengan korupsi serta tragedi kematian seorang kanak-kanak ketika beliau berbalas tembakan dengan 3 orang penjenayah yang berjaya ditumpaskannya. Beliau meletakkan jawatan.

Dalam edah pemulihan ketagihan alkohol itu, seorang pengedar dadah bernama Kenny telah merayu kepada beliau untuk mencari pembunuh isterinya. Penculik tersebut telah meminta wang tebusan yang telah ditunaikan namun isterinya tetap dirogol dan dibunuh dengan memotong kepada cebisan-cebisan kecil. Matt Scudder yang mengaku membuat kerja-kerja penyiasatan sambilan akhirnya simpati Kenny dan bersetuju membantu. Matt sebenarnya adalah penyiasat tanpa lesen.

Dari siasatan beliau yang rapi, akhirnya beliau dapat menjejaki penculik berkenaan yang merupakan pasangan gay gila serta penagih dadah. Mereka adalah bekas DEA yang mempunyai fail-fail profil taikun dadah di NY dan menyasarkan kumpulan-kumpulan ini untuk diperas ugut. Namun taksuban mereka terhadap pembunuhan dan penderaan menyebabkan tiada tebusan yang terselamat dari dibunuh dan dipotong lumat.


Matt berjaya memerangkap mereka dalam siri penculikan mereka yang terakhir melalui rundingan bijak dan bantuan seorang budak gendelangan. Awalnya Matt ingin membiarkan Kenny untuk menuntut bela ke atas pembunuhan isterinya dengan memperlakukan sepertimana yang dilakukan mereka pada isterinya. Matt telah menjelaskan sistem kehakiman US walaupun pembunuhan mereka kejam dan berjaya dibuktikan, penjenayah tersebut hanya akan dihukum penjara maksimum 30 tahun yang pastinya tidak adil bagi keluarga mangsa. Namun Kenny leka dan dia pula menjadi mangsa. Mujurlah Matt masih belum beredar dari kediaman pembunuh tersebut dan berjaya membunuhnya.

Filem genre penyiasatan dan thiller ada kala membosankan. Tetapi setelah mengetahui Liam Nesson menjadi Muslim makin tertarik pula untuk menonton semua filem-filem beliau walaupun yang underrated.

Bintang: 3.5/5

Selasa, 11 November 2014

KOETEAW KIN KUN NA





Sejarah ayat ‘kin kun na’ memang lawak, ia bermula bila kami mula membuka sebuah tapak untuk latihan muay thai di belakang Faithcraft Studio. Suatu malam selepas latihan, tiba-tiba kami bercerita tentang Ip Man dan Bruce Lee. Badril Dickenson dengan tidak sengaja tersasul menyebut ‘kin kun na’ merujuk kepada seni mempertahankan diri ciptaan Bruce Lee, ‘jeet kun do’. Haha! Sejak dari malam tersebut apabila kami bercerita fasal Kung Foo. Kami akan panggil kin kun na. Sekian. 

Pagi ini saya mencuba menu koeteaw kung foo buat pertama kali. Mudah. Ini brunch saya pada pagi ini:

 
BAHAN-BAHAN:
Koeteaw (kira-kira satu penumbuk)
1 biji telur
2 ulas bawang putih dilenyek
15 gm isi ayam
3 ekor udang
3 biji cili padi hijau
2 batang putik jagung
10 gram sew pak choy (ganti lobak pun ok)
3 sudu besar sos tiram
1 sudu tepung sos (ganti tepung jagung pun ok)
1 sudu kecil jus limau
Garam
Lada sulah
Air
Minyak masak


CARA-CARA MEMASAK:

Gaulkan koeteaw bersama telur dan sedikit garam. Panaskan minyak dan goreng.
Setelah koeteaw dan telur tadi digoreng. Angkat dan letakkan dalam pinggan. Biarkan.
Tumis bawang putih dan cili padi. Masukkan ayam dan udang. Goreng hingga mesra.
Seterusnya masukkan sayuran, sos tiram dan air cukup untuk satu orang makan. Apabila mendidih tambahkan garam, perisa (jika mahu), lada sulah dan jus limau. Rasa.
Bancuh tepung sos dengan sedikit air dan tuang ke dalam kuah yang sedang mendidih agar pekat.
Angkat dan tuang kuah tadi ke ke atas koeteaw di dalam pinggan sebentar tadi. Walla!

Extra: air tin Toya dalam foto hanya perhiasan. Sayang nak minum, simpan balik dalam almari display. Hehehehe. Makan dengan jeruk cili hijau best. Klik untuk resepi jeruk Green Goblin.

Selamat berpuasa dan jika sudi berbukalah dengan juadah ini. Sama juga dengan bubur asyura, resipi koeteaw ini tiada kena mengena dengan Nabi Nuh a.s turun dari kapal.

"Nabi tiba di Madinah, kemudian baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari asyura. Baginda bertanya : "Apa ini?" Mereka menjawab : "Suatu hari yang baik, ini adalah hari dimana Allah menyelamatkan Bani Israil dari musuh mereka, maka Musa berpuasa pada hari itu sebagai tanda syukur. Maka beliau (rasulullah) menjawab : "Aku lebih berhak terhadap Musa daripada kalian(Yahudi), maka kami akan berpuasa pada hari itu sebagai bentuk pengagungan kami terhadap hari itu." (HSR Bukhari 4/244, 6/429)

THE PRINCE (2014)


Bruce Willis makin tua makin merapu dan stereotype pula karekter-karektor pilihan beliau, bezanya dia pula yang jadi penjahat dalam filem-filem yang beliau lebih berhak jadi ‘hero’. Konon cuba bawa watak lain la tu. Line-up filem ini memang hebat, John Cusack, Rain (benci aku tengok muka K-pop ni! Taktau la apa salah dia…), Jason Patric, dan Jessica Lowndes.

The Prince mengisahkan Paul lakonan Jason Patric seorang taiko paling ganas di New Orleans yang bersara dari dunia jenayah setelah kematian isteri dan hidup bersama anaknya sebagai mekanik di sebuah pekan. Ketenteraman dan persaraan Paul hanya seketika apabila tanpa diduga anak daranya Beth yang selama ini disangkakan melanjutkan pelajaran di kolej telah menghilangkan diri dan paling merisaukan beliau apabila seorang lelaki tidak dikenali mengangkat telefon bimbit anaknya.

Paul bergegas ke rumah sewa anaknya dan berpandukan sekeping foto, dan bertemu dengan rakan anaknya Angela lakonan penyanyi seksi dari Kanada, Jessica Lowndes. Watak Angela sengaja diwujudkan oleh pengarang filem ini sebagai simbol seks kerana asyik horny pada Paul, ayah kepada rakannya setiap masa. Mungkin dalam jalan cerita asal mereka ‘mengawan’ kerana aksi dibawah tiada dalam DVD yang saya tonton. 

 
Dari petunjuk Angela, Paul mengesan lelaki-lelaki yang berpotensi menculik anaknya, sehinggalah membawanya kembali ke New Orleans setelah mendapat tips anaknya ada bersama taikun dadah bernama The Pharmacy lakonan 50 cent. Taiko berprofil tinggi mudah dikesan samseng-samseng setempat sehinggalah kehadirannya diketahui oleh musuh utamanya, gangster yang kini mengusai New Orleans bernama Omar lakonan Bruce Willis (kali pertama Willis memegang watak Muslim, tu pun gangster). Omar mempunyai dendam yang tidak pernah padam apabila Paul telah membunuh anak dan isterinya melalui bom kereta. Sejak dari hari tersebut Omar berjanji akan menuntut bela.

Dari maklumat yang diperolehi Omar mula menjejak Beth yang suka berfoya-foya dan terlibat dengan pengunaan dadah berat dan menjadi gundik The Pharmacy. Akhirnya tercetuslah gang war yang memihak kepada Paul seperti cerita Rajnikath walaupun Paul atau pada zaman kegemilangannya dikenali sebagai The Prince datang seorang diri berperang dengan satu kumpulan gangster. Omar berjaya dibunuh dengan mudah. Begitu kuat aroma Tamil dalam filem ini, lebih-lebih lagi dari mula hingga akhir seorang anggota polis pun tidak kelihatan.

John Cussack muncul sekejap sahaja berbanding Rain yang lebih menonjol wataknya sebagai penasihat kanan Omar. Dan ya… dalam cerita ini Omar tak gagah pun. Tembak pun tak tepat.

The Prince adalah idea cedok dari berbagai-bagai filem hero veteran yang dihidangkan Hollywood kebelakangan ini.

Bintang: 2.5/5