Selasa, 31 Mac 2015

NIGHTCRAWLER (2014)


Nightcrawler ini mempunyai jalan cerita yang sangat tulen dan menarik untuk dinilai, lebih-lebih lagi ia merupakan arahan dan garapan pertama direktor, Dan Gilroy. Adakah ia diinspirasikan dari kisah benar? Hanya beliau sahaja yang tahu.

Ia mengisahkan seorang pemuda bernama Lou Bloom (lakonan Jake Gyllenhaal) yang menjalani kehidupan jenayah demi kelangsungan hidup di bandaraya Los Angeles. Jika dinilai dari watak, Lou Bloom boleh dikatakan seorang genius yang mempunyai masalah psikologi. Suatu malam Lou mendapat ilham untuk mencebur diri dalam dunia jurnalis dan penyiaran berita mutakhir setelah melihat sekumpulan krew kamera freelance yang diketuai Joe Loder ( Bill Paxton) membuat liputan langsung sebuah kemalangan.

Lou mula mencuri dan mengumpul modal bagi mendapatkan sebuah kamera terpakai dan bertuah kerana rakaman pertamanya mendahului Loder. Footage berkenaan telah diterima-pakai dan dibeli oleh seorang pengarah siaran berita TV tempatan bernama Nina (Rene Russo). Dari situ bermulalah persaingan Lou dan orang-orang lama dalam dunia freelance journalism ini, sehinggalah Lou akhirnya berjaya mendapat pembantu bernama Rick (lakonan Riz Ahmed) yang terdesak untuk mendapat pekerjaan. Kerja keras mereka membuahkan hasil yang lumayan. Lou berjaya mendapatkan berbagai-bagai gajet dan peralatan yang lebih moden termasuklah jentera yang lebih laju, Dodge Challenger. Namun Lou sentiasa tewas ditangan Joe Loder yang mempunyai pasukan yang ramai dan akhirnya Lou bertindak mensabotaj kenderaan Loger yang akhirnya mengakibatkan kemalangan ngeri membunuh Loger. Lou merakam dan menjual rakaman saat kematian Joe Loger tanpa sedikit pun belas kasihan.

Lou seorang yang mempunyai perancangan jauh, taktikal dan kejam. Dia akan mengunakan apa sahaja untuk kepentingan diri sendiri dan nafsunya. Malah Nina turut tewas ditangannya oleh kerana kebergantungan beliau terhadap footage rakaman Lou yang mendapat banyak tontonan awam. Malah Lou bukan lagi peninjau atau pelapor dalam sesuatu tragedi, Lou tidak teragak-agak untuk terlibat dalam sesebuah kejadian jenayah, mengubah bukti dan mengarap suasana jenayah mengikut kehendaknya untuk dilaporkan umpama ia sebuah filem yang diarahnya sendiri. Dan beliau berjaya melakukan semua itu dengan baik hingga tertubuhnya firma liputan beritanya sendiri. Maklumat dan berita terkini laporan beliau dicurigai pihak polis namun gagal dibuktikan kerana kebijaksanaan Lou Bloom yang ‘menyeramkan’. Jika inilah etika kewartawanan tidak mustahil masyarakat binasa kerananya.

Bintang: 4/5

Isnin, 30 Mac 2015

OUTCAST (2014)


Baru sahaja saya memuji lakonan Nicolas Cage yang agak memberangsangkan dalam JOE. Dia buat hal pula dalam membawa watak hulubalang bernama Gallain. Hayden Christensen (takkan hangpa tak ingat Darth Vader kot? Anakin Skywalker ingat?) telah membawa watak Jacob, panglima tentera Salib yang membawa diri setelah peperangan terakhirnya menumpaskan sebuah istana kerajaan Islam menyaksikan si Permaisuri membunuh putera-puterinya sendiri dan membunuh dirinya sendiri kerana takut diseksa dan dirogol tentera-tentera Salib. Gallain sebagai guru tempur Jacob adalah yang pertama bertindak meninggalkan tentera Salib setelah kecewa dengan Jacob yang gila perang.

Yang lucunya kedua-dua mereka membawa diri ke pendalaman China (pengambaran berlangsung di wilayah Yunnan). Dalam masa yang sama, tahta maharaja China sedang bergolak disebabkan Putera sulung merangkap Panglima Maharaja membunuh Maharaja namun gagal untuk dinobatkan sebagai maharaja disebabkan mohor di Raja telah dilarikan oleh Putera bongsu dan Puteri baginda lebih awal lagi. Dua beradik tersebut akhirnya terdampar di sebuah perkampungan dimana Jacob sedang berkelana. Mungkin disebabkan keayuan Sang Puteri, Jacob membantu mereka mereka yang hampir berjaya diberkas oleh tentera Maharaja (Putera Sulong mendakwa adik-adiknya itu yang membunuh Maharaja) maka bermulalah siri pengembaran mereka yang akhirnya membuahkan bibit-bibit cinta.

Ditengah perjalanan mereka hampir ditangkap sekali lagi apabila dikhianati oleh seorang ibu ayam semasa menumpang disebuah rumah pelacuran. Akhirnya mereka melarikan diri ke kawasan yang terkenal dihuni penyamun. Dan lucunya ketua penyamun itu adalah Gallain. 


Menonton cerita ini rasanya seolah-olah menonton siri Power Rangers yang dibikin mat salleh. Tentu anda boleh bayang gaya sinematografi, kareografi tempur, teknik dubbing suara dan sebagainya yang sesuai untuk jiwa remaja. Tiada apa yang menariknya tentang filem ini kecuali, Jacob ditampilkan dengan gaya rambut qaza. Oleh itu jelaslah gaza adalah penampilan non-muslim TETAPI ia bukan haram seperti yang dihujah sesetengah pihak. Saya seringkali membuat gaza ketika membuat persembahan bersama Wreckär atau ke gig. Namun ia bukanlah kebanggaan saya untuk dikenali sedemikian, ia sekadar imej ketika band dipentas. Rujuk fatwa: 

Abdullah bin Umar melaporkan, "Rasulullah saw melarang daripada melakukan qaza'." (Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim).

Imam al-Nawawi menjelaskan, qaza' bermaksud mencukur sebahagian rambut di kepala dan dibiarkan sebahagian yang lain. (al-Nawawi, al-Majmu', jil. 1, hlm. 295). Para ulama bermazhab Syafi'i menjelaskan, hukum melakukan qaza' adalah makruh (al-Syirazi, al-Tanbih fi al-fiqh al-Syafi'i, jil. 1, hlm. 14; al-Syirazi, al-Muhazzab, jil. 1, hlm. 439; al-Khatib al-Syarbini, Mughni al-muhtaj, jil. 2, hlm. 269; al-Nawawi, al-Majmu', jil. 1, hlm. 295; al-Nawawi, Raudot tolibin wa umdat muftin, jil. 3, hlm. 234; Ibn Ruslan, al-Zabad fi al-fiqh al-Syafi'i, jil. 1, hlm. 40; Zakariyya al-Ansari, Asna al-matalib fi syarh raudot tolib, jil. 1, hlm. 491; al-'Abbadi, Hasyiah al-'Abbadi 'ala al-ghurar al-bahiyyah, jil. 2, hlm. 304; Ibn Hajar al-Haytami, al-Minhaj al-qawim, jil. 1, hlm. 22; Ibn Hajar al-Haytami, Tuhfat al-muhtaj, jil. 4, hlm. 119; al-Syarwani, Hasyiah al-Syarwani 'ala tuhfat al-muhtaj, jil. 4, hlm. 119; Shihabuddin al-Ramli, Nihayat al-muhtaj, jil. 8, hlm. 148; Qalyubi & 'Umayrah, Hasyiata Qalyubi wa 'Umayrah, jil. 1, hlm. 333; al-Jamal, Hasyiah al-Jamal, jil. 2, hlm. 466; al-Bujairami, Hasyiah al-Bujayrami 'ala al-Khatib, jil. 4, hlm. 346)

Walaupun hukum mencukur sebahagian rambut di kepala (qaza') hukumnya makruh, namun menggayakan rambut mengikut style golongan yang kafir adalah termasuk dalam larangan Nabi Muhammad saw. Abdullah bin 'Amr melaporkan, Nabi Muhammad saw bersabda, "Bukanlah dalam kalangan kami sesiapa yang menyerupai golongan selain kami. Janganlah kamu semua menyerupai golongan Yahudi dan Kristian." (Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi).

Oleh itu, sebagai umat Islam yang sayang kepada Nabi Muhammad saw dan memerlukan syafaat (bantuan) baginda di padang Mahsyar kelak, maka sewajibnya tidak meniru mana-mana gaya yang diperkenalkan oleh orang Yahudi dan Kristian.

Allah SWT memberikan peringatan bahawa Yahudi dan Kristian tidak akan sekali-kali redha dengan Nabi Muhammad saw dan umatnya, sehingga umat Islam meniru gaya hidup mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 120 yang bermaksud, "Orang-orang Yahudi dan Kristian tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)."

Atau layari e-fatwa sini.

Filem ini mungkin sesuai untuk tontonan seisi keluarga secara santai. Saya pun kurang pasti kenapa James Dormer tergerak hati untuk menulis kisah sebegini. Ia seolah-olah meniru Transformers untuk mengambarkan hubungan diplomasi antara Amerika Syarikat dan China yang kini semakin akrab. Saya teringat sesuatu yang unik disebut oleh Dr. Mohd Asri, Mufti Kerajaan Negeri Perlis dalam kuliah hadis 40 minggu lalu, China adalah satu-satunya negara yang berperang atas nama Maharaja, tidak seperti yang lainnya.

Pada April 2014, penerbit Outcast, Jeremy Bolt mengumumkan rancangan pengambaran untuk sekuel filem ini. Maknanya, Outcast ada peminatnya?! Pelik.

Bintang: 2/5

Khamis, 26 Mac 2015

TERINAI LAKEVIEW RESORT


Kelmarin ada sebuah Kursus Pemanduan Berhemat oleh JPJ Negeri Perlis berlangsung di Terinai Lakeview Resort dan kebetulan aku juga disenaraikan sebagai peserta. Entah kenapa jabatan kami terfikir untuk menjemput JPJ bagi memberikan ceramah fasal keselamatan lalulintas dan modifikasi kenderaan hanya mereka sahaja yang tahu? Mungkin atas kefahaman ‘semua orang adalah pemandu’ maka dianjurkan kursus ini bagi meningkat kesedaran pentingnya etika pemanduan selamat.

Sebenarnya inilah kali pertama aku datang ke kawasan ini setelah lama ia jatuh bankrap sewaktu dijadikan sebagai hentian rehat dan makan lama dahulu. Sebelum wujudnya tempat ini, aku sering berbasikal untuk melihat pemandangan diatas bukit ini bersama seorang sahabat (arwah Habizam) pada setiap pagi minggu. Mungkin kerana salah perancangan dan terlalu banyak campur tangan anasir politik menjadikan ia sukar untuk dimajukan mengikut kehendak setempat. Kebetulan seorang rakan pernah menyewa tapak kedai disini, maka aku sering mendengar keluhan-keluhan beliau hinggalah kedainya jadi kenangan. Pihak Koperasi Majlis Perbandaran Kangar membuat penjenamaan semula dengan menjadikan ia sebuah resort dan cafeteria terbuka mengadap Empangan Timah Tasoh.

Tasik ini asalnya adalah pertemuan dua sungai ia itu Sungai Timah dan Sungai Tasoh. Di dasar tasik yang dijadikan empangan bagi bekalan air seluruh Perlis ini asalnya adalah sebuah penempatan bernama Kampung Tasoh. Turut ditenggelamkan untuk pembinaan empangan ini adalah masjid, sekolah, rumah penduduk dan tanah perkuburan. Ketika Chainsore (vocals Wreckär) masih bertugas di unit stor Universiti Malaysia Perlis, kami sering ke Empangan Timah Tasoh untuk menyelenggara 2 buah jet ski kepunyaan mereka. Ada ketikanya kami singgah dibangunan-bangunan yang timbul ditengah-tengah tasik semasa air surut ketika memanaskan enjin jetski. Ini menguatkan fakta bahawa suatu ketika dahulu terdapat penempatan di situ. (rujuk blog ini untuk kisah jet ski di Timah Tasoh)

Memandangkan program Mufti Kerajaan Negeri Perlis, ‘Perkampungan Sunnah’ semakin hampir dan mungkin ada yang berminat untuk berkunjung ke sini disamping membeli belah di Padang Besar atau selatan Thailand. Ada baiknya jika anda tempah penginapan disini? Selain pemandangan yang cantik dan kebersihan yang terjamin, lokasi resort ini juga sangat berdekatan Padang Besar, Gua Kelam, IKM Beseri, MRSM Beseri, Tasoh Lake Resort and Retreat ( Bunkface pernah buat konsert mega di situ) dan restoran makanan Thailand popular, Tok Mek.









Terinai Lakeview Resort menpunyai 20 buah kemudahan bilik standard (berharga RM120), 5 buah chalet yang comel (RM120), sebuah asrama berkatil dua tingkat (RM20 seorang/kapasiti 20 orang), dewan seminar, café dan surau.

Hanya satu komen saya kenapa pelancongan negeri Perlis atau pengusaha hotel sendiri tidak memberi harga sewa yang murah sebagai polisi bagi mengalakan sektor perlancongan negeri Perlis? Bagaimana kita dapat menyaingi hotel-hotel negara jiran yang hanya beberapa kilometer sahaja dari disempadan Thailand yang menawarkan harga serendah RM50 –RM80 namun setanding hotel 3 bintang di Malaysia? Seterusnya kita hanya mampu berputih mata bila kebanyakan pelancong lebih gemar bermalam di Pulau Langkawi, Dannok, Padang Besa Thai atau Hatyai yang mempunyai lebih nilai pada wang serta hiburan.

Hubungi: Terinai Lake Resort
Tel: 04-9383223, HP: +6012-6558581
Email: terinailakeview_kop.mpkpb@yahoo.com
BLOG RASMI TERINAI LAKEVIEW