Isnin, 31 Ogos 2015

MINDA PALING KREATIF TAHUN 1949

Salam kemerdekaan...

Adakah orang Melayu benar-benar ketandusan inspirasi dan idea-idea tulen sejak dari dahulu lagi atau dikongkong dan didorong kuasa asing supaya mencorakkan pemikiran melalui asas yang mereka bina? Ia satu persoalan yang sentiasa bermain dalam minda saya, lebih lagi apabila terbaca beberapa teori daripada golongan nasionalis mengenai orang Melayu malas kerana diprogramkan oleh Inggeris. Apa benar Inggeris yang bersalah menyebabkan Melayu malas walaupun kemerdekaan telah diperolehi sejak 58 tahun lalu?



Melihat keratan akhbar ini, adakah ini idea terunggul seorang negarawan pada tahun 1949? Dan kenapa reka-lukis itu yang dipilih? Umum juga perlu tahu, reka bentuk bendera tersebut perlu mendapat kelulusan Raja George VI pada 19 Mei 1950. Ada pihak marah yang marah apabila dikritik mengenai reka-lukis yang mencerminkan minda terjajah ini. Bukankah mengkritik untuk penambahbaikan itu suatu hak dalam demokrasi? 

Saya teringat suatu liputan berita mengenai Angkatan Tentera Malaysia yang berkhidmat dibawah panji-panji NATO ditembak mujahiddin di Afghanistan oleh kerana bendera Malaysia yang dijahit dijaket tentera kelihatan seperti The Stars and Stripes. Peristiwa ini berlaku (mungkin pada tahun 2010, kebanyakan enjin carian sudah tidak mengarkibkan berita ini lagi). Pihak mujahiddin memohon maaf atas kekeliriuan itu namun ia tamparan hebat buat imej negara, dan bagi pemimpin yang ada jati diri. 

Saya seorang patriotik tetapi bukan nasionalis. Menurut George Orwell:

"Nationalism is not to be confused with patriotism. By ‘patriotism’ I mean devotion to a particular place and a particular way of life, which one believes to be the best in the world but has no wish to force on other people. Patriotism is of its nature defensive, both militarily and culturally. Nationalism, on the other hand, is inseparable from the desire for power. The abiding purpose of every nationalist is to secure more power and more prestige, not for himself but for the nation or other unit in which he has chosen to sink his own individuality."

Selamat hari kemerdekaan kali 58, Ya Rabb merdekakan kami dari kemalasan, kelemahan, kedegilan dan ketumpulan akal.

Jumaat, 21 Ogos 2015

KHUTBAH JUMAAT NOUMAN ALI KHAN

Nouman Ali Khan
Lahir pada 4 Mei 1979, Kelahiran Berlin, Jerman
Warganegara: Amerika Syarikat (Dallas)
Pengasas dan CEO Institut Bayyinah
Anak murid kepada Dr. Abdus-Samie Pengasas dan pengetua Quran College,
Faisalabad, Pakistan
Professor di Nassau Community College hingga 2006
Kini aktif dalam aktiviti dakwah peringkat antarabangsa terutamanya berdebat dalam isu Islamophobia.

Saya merasa bertuah hari ini kerana diberi kesempatan untuk mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan Ustad Nouman Ali Khan, atau mesra dipanggil bro NAK di Masjid Negeri, Arau. Gembira juga apabila Mufti Perlis dan Tuanku Raja Muda sangat aktif dalam membawa tokoh-tokoh dakwah untuk diperkenalkan kepada rakyat Perlis dan menimba ilmu dari mereka. Alhamdulilah, semoga Allah memberkati usaha kedua mereka.

Kali pertama saya lihat khatib menyampaikan khutbah tanpa teks sebaliknya dengan membawa senaskah al-Quran sahaja dan memfokuskan hanya kepada 2 ayat dari al Baqarah;

Dan kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim". (Al-Baqarah 2:35)

Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". (Al-Baqarah 2:36)

Benarlah apa yang saya baca mengenai kehebatan bro NAK dalam memberi penafsiran firman Allah SWT dengan begitu indah sekali. Sungguh mendalam dan mengkagumkan. Walaupun fokus utama adalah 2 ayat diatas, beliau turut mengaitkan beberapa lagi ayat dari al Baqarah juga untuk memberi kefahaman yang jelas kepada para jemaah.

Antara yang boleh saya kongsikan:

Manusia seringkali terlupa pada nikmat yang dipinjamkan, sehinggalah pada satu ketika manusia enggan menyerahkan semua apa yang dipinjamkan. Malah disebabkan kegigihan dan kesukaran untuk memperolehi nikmat itu, kita menganggap ia seperti sebahagian dari diri. Dan kita terikat padanya.

Manusia sentiasa terdorong untuk melanggar larangan Allah SWT walaupun pada hakikatnya Dia telah memberikan segala macam benda dan nikmat yang luas dan mengharamkan sedikit hal yang tidak baik untuk manusia. Namun manusia akan tetap menyukai yang haram itu. Kenapa? Lain tidak bukan, adalah tipu daya dan pengaruh dari syaitan. (Bro NAK menjelaskan bagaimana syurga yang luasnya seluruh langit dan bumi dan dipenuhi pohon-pohon berbuah, tidak terkira pokok-pokok, pernahkah anda bertanya dan bayangkan setelah Adam a.s merantau ke seluruh syurga dan menemukan bermacam-macam pokok, dia tetap kembali ke pohon larangan yang satu itu?

Cari harta dengan cara yang baik dan suci untuk beramal jariah. Bro NAK memberi contoh peruncit Muslim di USA yang menjual arak di kedai namun apabila tiba Ramdan mereka rajin bersedekah bagi ‘membersihkan’ duit mereka, begitu juga mereka-mereka yang menipu pelanggan dan mengamal rasuah yang berangkat ke Mekah untuk bertaubat di Kaabah kerana mendapatkan hasil dari jalan salah. Itu semua satu teori yang salah, kerana aturan 1 yang disebut Allah SWT (cari dari jalan yang baik lagi suci) telah anda cabuli. Langkah 2 (sedekah), Langkah 3 (taubat) dan seterusnya itu tidak akan menjadi sempurna dengan kecacatan pada langkah pertama tadi. Oleh itu usaha untuk mencari rezeki yang suci dan halal harus diutamakan. (al Baqarah 267)

Sentiasa gembira dan ikhlas untuk bersedekah kerana apa yang kita punyai adalah hak Allah SWT, dan jangan gusar kerana apa yang diberi hakikatnya kita kembalikan semula pada Allah. Berterima kasih pada yang fakir, miskin yang memohon bantuan pada kita. Bukan mengeji dan menghina mereka kerana Allah SWT memberi peluang untuk anda membuktikan iman melalui mereka. (al Baqarah 268 dan 276)


Raikan orang-orang fakir dan miskin. ( bro NAK menunjukan contoh secara langsung sebaik selesai solat Jumaat apabila ketika menyampaikan bantuan pada asnaf OKU, bro NAK sendiri berjalan mendapatkannya, bukan menunggu OKU itu datang mengadapnya apabila namanya dipanggil) (al Baqarah 262)

Semoga bro NAK dapat kembali lagi ke negeri Perlis dan moga Allah memberkati dan merestui usaha-usaha dakwah beliau. Kebetulan umur kami sama tapi terbukti usia beliau lebih barakah dengan ketinggian ilmunya.

“When seeking knowledge, remember that guidance is the ultimate goal. Having a lot of knowledge is not a sign of guidance from Allah”. –Nouman Ali Khan

Sabtu, 8 Ogos 2015

NORTHERN FIGHT CHAMPIONSHIP



Bila mendapat tahu rakan baik masuk bertanding dalam acara Mix Martial Art peringkat amatur yang buat pertama kali dianjurkan di Kedah saya teruja. Ini kerana saya kenal sangat dirinya. Membuat keputusan untuk bertarung dalam acara kickboxing digelanggang bukanlah satu perkara mudah. Samseng jalanan yang bengis menyinga belum tentu berani naik masuk ke dalam octagon untuk bertempur secara adil. Untuk itu, saya tidak malu untuk mengatakan I’m half the man he is. And I’m totally proud of you, my friend.

Badril atau saya panggil beliau Diken bukanlah natural born fighter, dia nerd, orang pekan, orang mengaji pandai. Saya ingat lagi sekitar tahun 1995-96 ketika saya dipengakhiran sekolah, kami tak pernah risau tentang SPM, malah kami turun belajar tomoi setiap malam dibelakang rumah kru. Ah Chuan lah yang sering memaklumkan Diken sangat-sangat berminat dengan tomoi tetapi susah nak turun belajar kerana keadaan beliau yang masih terikat dengan keluarga ketika itu. Kami budak-budak buas tiada undang-undang bebas buat apa sahaja yang kami suka, jangan sampai tertangkap dan busukkan nama mak ayah, itu dah kira ok. Jadi budak-budak macam saya terdedah dengan dunia tempur jalanan ini lebih awal.

Seingat saya, Diken mula berlatih tomoi sejak tahun 2013, bayangkan dalam jarak 2 tahun, beliau dah berani jejak kaki ke gelanggang. Dan yang bagusnya tentang beliau, walaupun tidak mengikuti sebarang seni mempertahankan diri sebelum itu, beliau menjaga fitness dengan rajin berjogging, tidak merokok dan mengamalkan diet yang sihat. Pentingnya displin itu telah terbukti hari ini! Apabila jelas kelihatan lawan beliau, dikenali sebagai pengamal karate berpengalaman tewas kerana semput dipusingan ke 3 walaupun berjaya membelasah Diken dengan kemahiran dan fokus. Diken berjaya menahan asakan tersebut dengan stamina yang tinggi dan berkekalan.

Lawan Diken adalah anggota polis, Dzulkilee Dennis yang mempunyai berat badan 76 KG dah berusia 35 tahun dari Karate Do Shotoshinkai. 

Saya bukan fighter pro, tetapi apabila diminta untuk memberi amanat sebelum bertarung, melalui apa yang dipelajari dan siapa Diken yang saya kenal. Saya meminta untuk beliau agar tidak terlalu membuat analysis mengenai lawan, jangan memandang terlalu tinggi pada lawan, keep it raw dan simple. Lakukan serangan mudah tetapi lethal. Paling penting jangan lupa element of surprise!

Saya kenal Diken, dia ulat buku dan terlalu memperinci dalam membuat tindakan, dan beliau bukan manusia yang pernah melibatkan diri dalam pergaduhan jalanan. Dia perlu jadi orang lain hari ini dan menghadapi cabaran tanpa beban otak memproses data, sebaliknya hilangkan beban itu. 

Bebaskan perikebinatangan itu.

Sebelum ke dalam octagon, saya menampar muka beliau untuk menaikan kemarahan. Itu satu pesanan dari seorang fighter berpengalaman kepada saya jika gentar untuk masuk menghadapi lawan. Suntik sedikit kemarahan, tampar dan malukannya sebagai motivasi. 
























Rasanya kira-kira 500-1000 orang menyaksikan perlawanan di kompleks membeli-belah The Village Mall itu. Dan perlawanan bermula dengan asakan ganas dilakukan Dzulkilee terhadap Diken hingga menyebabkan beberapa kali beliau terperosok dijaring besi dan terjelempuk di lantai. Kami semua terkejut dan risau. Jelas Dzulkilee mengunakan seluruh kekuatan, mempunyai kawasan target (muka) yang tepat pada sasaran.

Namun, tidak dijangka Dzulkilee mula menunjukkan tanda-tanda lelah dan keletihan pada penghujung pusingan kedua. Walaupun Diken menerima hampir 20 tumbukan di muka, saya sempat lihat beliau berjaya membuat pusingan badan sambil melibas penumbuk ke muka Dzul. Itu ada gaya dan full of surprise.

Alhamdulillah, walaupun teruk digasak, Diken tetap berdiri teguh dan stabil. Dipusingan ketiga, Dzulkilee terjelempuk dilantai dan bersetuju dengan pengadil untuk tidak meneruskan pertarungan kerana kepenatan. Diken dengan rasminya diumumkan sebagai pemenang dan mengharumkan nama The Stadium Fight Team yang menaunginya.

Pertarungan ini pastinya akan merubah dan memberi makna baru dalam perjalanan hidup beliau. Harapnya ia adalah titik permulaan karier beliau sebagai professional fighter.

Dari pertarungan itu, dapat disimpulkan bahawa tidak bermakna jika anda dilahirkan tidak berbakat, maka anda tewas kepada insan tersebut dari azali. Tidak!, bakat akan tewas jika sombong dan malas. Latihan dan ketekunan MAMPU menewaskan bakat.

Seni mempertahankan diri adalah kemestian untuk lelaki. Keberanian melangkah ke gelanggang adalah suatu kehormatan bagi pengamalnya. Ia mencabar keupayaan dan daya tahan diri sendiri, BUKAN lawan. Oleh itu aura karisma mereka akan dapat dirasai oleh orang lain sekitarnya.

Dan yang terakhir, jangan sesekali memukul lelaki dihadapan isteri dan anaknya. Kadangkala ada suatu kuasa pelik meresap dari jauh bila terdengar jeritan mereka!

Tahniah Badril Anuar @ Badril Dickenson.